Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Paip meletup angkara pencuri
PUEBLA, Mexico 20 Dis. - Sekurang-kurangnya 28 orang maut dalam letupan saluran paip minyak mentah di tengah Mexico semalam, mencetuskan kebakaran besar yang memusnahkan berpuluh-puluh rumah dan menyebabkan jalan bertukar menjadi 'sungai api'. Ratusan penduduk lari menyelamatkan diri apabila letupan kuat itu menggegarkan pekan Texmelucan, 100 kilometer ke tenggara Mexico City, sebelum subuh semalam, nahas yang dipercayai berpunca daripada pencuri yang cuba mengalirkan minyak mentah keluar dari saluran paip syarikat minyak Petroleos Mexicanos (Pemex). Bahang api itu begitu panas sehingga menyebabkan jeriji besi menggeleding, cermin tingkap dan pintu pecah, dan kereta menjadi rentung. Api menjulang dari pokok-pokok yang terbakar, dan anggota bomba menggunakan penyodok untuk membuang lapisan abu yang memenuhi jalan. "Sekumpulan penjenayah membocorkan saluran paip Pemex dan minyak mentah keluar mencurah tanpa dapat dikawal disebabkan tekanan tinggi. "Jalan mula dibanjiri minyak, kemudian berlaku percikan api dan kami melihat jalan berubah menjadi sungai api," kata Setiausaha Kerajaan negeri Puebla, Valentin Meneses. Pegawai perlindungan awam, Laura Gurza berkata, 52 orang cedera manakala 32 rumah musnah sama sekali dalam kebakaran yang akhirnya dipadamkan oleh pasukan kecemasan. Sebanyak 83 rumah lagi rosak dan Menteri Dalam Negeri, Francisco Blake yang melawat kawasan kejadian memberi amaran angka kematian mungkin meningkat. Kegiatan mencuri minyak dari saluran paip di Mexico semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, mengakibatkan kerugian 10 bilion peso (RM2.48 bilion) setahun. - AFP | ||
Enam pengganas Indonesia dihukum penjara hingga 9 tahun Posted: Enam pengganas Indonesia dihukum penjara hingga 9 tahunJAKARTA 20 Dis. - Sebuah mahkamah di Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehingga sembilan tahun ke atas enam lelaki kerana terlibat dalam kumpulan pengganas yang dikenali sebagai 'Al-Qaeda di Aceh'. Kumpulan itu didakwa menjalani latihan untuk melancarkan serangan ala Mumbai melibatkan beberapa kumpulan kecil penyerang berani mati bersenjata api yang menjadikan kepentingan Barat dan tokoh politik di ibu negara ini sebagai sasaran. Oman Rohman, 38, dikenakan hukuman penjara sembilan tahun kerana menyediakan wang AS$2,320 (RM7,192) untuk membiayai latihan ketenteraan kumpulan itu di dalam hutan di Aceh, kata Ketua Hakim, Mutarto di mahkamah daerah Jakarta Barat. "Dia menyerahkan wang itu terus kepada Dulmatin pada akhir 2009 untuk menganjurkan latihan," katanya yang merujuk kepada militan paling dikehendaki di rantau ini sebelum dia dibunuh oleh polis Indonesia pada Mac lalu. Dulmatin yang didakwa mendalangi serangan bom di Bali yang membunuh 202 orang pada 2002, disyaki mengetuai kumpulan Aceh yang dibongkar oleh polis pada Februari lalu. Dalam perbicaraan berasingan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hingga lapan tahun ke atas lima lelaki kerana menyertai kem latihan kumpulan itu selain memiliki senjata api secara haram. Hukuman tersebut jauh lebih ringan daripada penjara 12 tahun yang diminta oleh pendakwa raya dan hukuman mati maksimum bagi kesalahan itu. Beratus-ratus suspek militan telah dibunuh atau ditangkap berhubung rangkaian di Aceh itu, termasuk guru agama yang didakwa menjadi pemimpin dan pembiayanya, Abu Bakar Bashir. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan