Rabu, 29 Mei 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bayi dalam paip diselamat

Posted: 28 May 2013 10:40 AM PDT

Jinhua: Seorang bayi baru lahir diselamatkan anggota bomba selepas dia dibuang tersumbat dalam paip kumbahan di sebuah rumah di China.

Bayi berkenaan diselamatkan dari dalam paip selebar 10 sentimeter yang terletak betul-betul di bawah sebuah tandas selepas beberapa pejalan kaki mendengar dia menangis.


Polis menyiasat kes itu sebagai cubaan membunuh dan melancarkan gerakan menjejaki ibu bapanya. Rangkaian televisyen China, CCTV melaporkan, bayi itu ditemui di bawah sebuah kediaman di Jinhua, di kawasan mewah Zhejiang.

Pasukan penyelamat terpaksa memotong paip berkenaan dan membawanya bersama-sama bayi itu ke hospital berhampiran.


Doktor dengan berhati-hati memotong paip itu, kerja yang dilakukan hampir sejam, sebelum dapat menyelamatkan bayi lelaki seberat 2.3 kilogram itu.


Media China melaporkan, kanak-kanak itu yang dinamakan Bayi Nombor 59 sempena nombor inkubatornya, selamat dan stabil.

Foto

BAYI itu akhirnya diselamatkan oleh anggota bomba.

Foto

SEBAHAGIAN besar tubuh bayi sudah kelihatan.

Foto

PAIP kumbahan dipotong secara berhati-hati untuk menyelamatkan bayi di dalamnya.

Foto

ANGGOTA penyelamat cuba menarik keluar bayi, tetapi tidak berjaya.

Foto

PAIP dipecahkan sedikit demi sedikit agar bayi tidak cedera.

Rakaman video mengenai usaha menyelamat itu disiarkan di seluruh negara semalam dan mendapat ribuan ulasan menerusi Weibo, laman media sosial popular negara itu. Seorang pengguna menulis: "Saya tidak boleh menerima atau memaafkan perbuatan membuang bayi yang masih beruri dan bertali pusat ke dalam paip tandas. Adakah mereka yang bertanggungjawab layak dipanggil manusia. "Sifat kehaiwanan berbanding kemanusiaan di kalangan orang dewasa semakin meluas." Laporan mengenai bayi dibuang sering disiar media negara berkenaan. Antara punca yang dikatakan menyebabkan keadaan itu berleluasa ialah undang-undang merancang keluarga yang ketat. China melarang pasangan suami isteri mempunyai lebih daripada seorang anak. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Pelancongan Filipina rugi besar

Posted: 28 May 2013 10:25 AM PDT

Manila: Pihak berkuasa pelancongan Filipina berkata, mereka bakal kerugian AS$4.5 juta (RM13.6 juta) setiap bulan berikutan pembatalan tempahan dan penerbangan sewa khas dari Taiwan akibat pertelagahan diplomatik ekoran pembunuhan seorang nelayan negara itu.

Kebanyakan pembatalan dari pantai peranginan popular Boracay di tengah Filipina, di mana pelancong Taiwan menjadi kumpulan kedua terbesar selepas Korea Selatan. Pada 2012, lebih 90,000 rakyat Taiwan mengunjungi pulau itu.


Insiden tembakan nelayan Taiwan oleh pengawal pantai Filipina pada 9 Mei lalu mendorong kerajaan Taiwan membekukan pengambilan pekerja Filipina dan tidak menggalakkan melancong ke negara itu.

Jabatan Pelancongan berkata dalam laporan diterbitkan semalam bahawa sekurang-kurangnya 43 penerbangan dari 20 Mei hingga 30 Jun antara Taiwan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo untuk ke Boracay sudah dibatalkan.


Syarikat penerbangan murah tempatan, Zest Air Inc yang sebahagiannya di miliki AirAsia Filipina minggu lalu mengesahkan bahawa ia menggantung sementara perkhidmatan sewa khas harian antara Kalibo dan Taipei atas permintaan ejen sewa khas.


Sementara itu, Taiwan turut menghentikan perdagangan dan pertukaran sukan dengan Filipina. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Tiada ulasan:

Catat Ulasan