Isnin, 27 Mei 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Assad dituduh guna senjata kimia

Posted: 27 May 2013 02:59 PM PDT

Wartawan dakwa mereka saksi serangan di zon perang

Paris: Tentera Syria yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad berulang kali menggunakan senjata kimia terhadap pejuang pembebasan di Damsyik, lapor akhbar Perancis, Le Monde.

Akhbar berkenaan, dalam laporan di laman webnya semalam, berkata seorang jurugambarnya mengalami masalah pandangan kabur dan kesukaran bernafas selama empat hari selepas serangan pada 13 April lalu di Jobar, di tengah Damsyik.

Saling menuduh

Kerajaan Assad dan pejuang pembebasan yang berjuang menumbangkan rejim beliau saling menuduh sesama sendiri menggunakan senjata kimia. Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah bersedia beberapa minggu itu tetapi masalah diplomatik dan keselamatan menangguhkan kemasukan mereka ke Syria.

Wartawan Le Monde dan jurugambar yang menyamar di Damsyik selama dua bulan bersama-sama pejuang Syria, berkata mereka menyaksikan serangan kimia di zon perang dan juga bercakap dengan doktor dan saksi lain.

Mereka menceritakan bagaimana pejuang batuk teruk, mata pedih dan anak mata mengecil.

"Mereka mengalami kesukaran bernafas, kadang-kadang lebih teruk; mereka mula muntah dan tidak sedarkan diri. Pejuang yang paling teruk terjejas perlu dipindahkan segera.
"Wartawan kami menyaksikan perkara ini selama beberapa hari berturut-turut di daerah ini, di pinggir Damsyik yang dimasuki pejuang Januari lalu," menurut Le Monde.

Syria, yang bukan anggota konvensyen antisenjata kimia, dipercayai mempunyai simpanan terakhir dunia senjata kimia yang tidak diisytiharkan.

"Dalam masa dua bulan diperuntukkan membuat laporan di pinggir bandar Damsyik, kami berdepan kes sama di seluruh wilayah lebih luas. Graviti, kekerapan yang meningkat dan taktik penggunaan senjata seumpama itu menunjukkan apa yang dibebaskan bukan sekadar gas pemedih mata, tetapi produk kelas berbeza yang lebih beracun," lapor akhbar itu.

Bulan ini, seorang anggota suruhanjaya siasatan PBB, Carla Del Ponte, berkata dia mengumpulkan keterangan dan kakitangan perubatan menunjukkan pejuang pembebasan menggunakan ejen saraf sarin yang dilarang. Kerajaan barat berkata mereka tidak mempunyai bukti.

Pemberontakan Syria bermula dengan bantahan aman pada Mac 2011 yang diilhamkan oleh kebangkitan Arab di rantau itu. Reaksi ganas Assad membawa kepada pemberontakan bersenjata. - REUTERS

Hashimoto mohon maaf kepada askar AS

Posted: 27 May 2013 02:58 PM PDT

Tokyo: Datuk Bandar Osaka, Toru Hashimoto memohon maaf semalam berikutan kenyataannya bahawa tentera Amerika Syarikat seharusnya menjadi penaung perniagaan hiburan dewasa sebagai cara mengurangkan insiden rogol.

Beliau bagaimanapun mempertahankan satu lagi kenyataan kontroversinya berhubung penggunaan khidmat hamba seks Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Hashimoto yang juga ketua bersama Parti Pemulihan Jepun, berkata kenyataannya dua minggu lalu berikutan 'peningkatan krisis' berhubung kes serangan seksual oleh tentera Amerika ke atas orang awam Jepun di Okinawa kerana sejumlah besar tentera itu berpusat di sana.

"Saya faham kenyataan saya mungkin ditafsirkan sebagai penghinaan kepada tentera dan rakyat Amerika dan ia tidak wajar," katanya pada sidang media di Kelab Koresponden Asing Tokyo.

Cetus kemarahan

Hashimoto mencetuskan kemarahan dengan ulasannya kepada wartawan dua minggu lalu berhubung perkhidmatan seks waktu perang dan moden Jepun.

Ia menambah kemarahan terbaru di negara jiran yang dijajah ketika zaman perang Jepun dan mengadu kurangnya permohonan maaf atas kekejaman dilakukan pada masa itu.
Hashimoto, 43, berkata dalam kunjungan terbaru 13 Mei ke pulau selatan di Okinawa, beliau mencadangkan kepada panglima tentera Amerika supaya tentera 'menggunakan sepenuhnya' industri seks sah di sana.

"Jika anda tidak menggunakan tempat seperti itu anda tidak dapat mengawal tenaga seksual lelaki gagah terbabit," katanya.

Kekalkan disiplin tentera

Beliau juga berkata, amalan waktu perang Jepun yang memaksa wanita Asia kebanyakannya dari Korea Selatan dan China, bekerja di rumah pelacuran barisan hadapan adalah perlu untuk mengekalkan disiplin dan menyediakan ketenangan kepada tentera.

Beliau tidak memohon maaf atas ulasan terbabit, namun penggunaan wanita pendamping adalah 'satu tindakan tidak dimaafkan yang melanggar maruah hak asasi manusia ke atas wanita, di mana sejumlah besar rakyat Korea dan Jepun terbabit.'

Sejarawan berkata sehingga 200,000 wanita terutama dari Semenanjung Korea dan China, dipaksa untuk menyediakan perkhidmatan seks kepada tentera Jepun di rumah pelacuran tentera.

Ketika sesetengah tentera di zaman Perang Dunia Kedua memiliki rumah pelacuran tentera, Jepun adalah satu-satunya negara dituduh menjalankan perhambaan seksual terancang dan meluas. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan