Rabu, 27 Mac 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Musharraf pulang Pakistan

Posted: 24 Mar 2013 03:34 PM PDT

Karachi: Bekas pemimpin Pakistan, Pervez Musharraf pulang ke tanah air semalam selepas lebih empat tahun hidup dalam buangan.

Beliau tidak takut dengan ancaman bunuh Taliban dalam usaha bertanding pilihan raya tidak lama lagi.

Bekas diktator berusia 69 tahun itu berkata, beliau sedia berdepan sebarang risiko untuk bertanding pada 11 Mei depan. Ia peralihan kuasa demokratik pertama dalam sejarah negara bersenjata nuklear yang banyak kali diketuai pemimpin tentera.

Rampas kuasa 1999

Musharraf merampas kuasa sebagai ketua tentera pada 1999 dan meninggalkan negara itu selepas meletak jawatan pada Ogos 2008 apabila Asif Ali Zardari dipilih sebagai presiden selepas isterinya, bekas perdana menteri Benazir Bhutto dibunuh.

Penerbangan Emirates dinaiki Musharraf dari Dubai mendarat jam 12.45 tengah hari (0745 GMT). Akaun rasmi Facebook dan Twitternya memberi ulasan berterusan termasuk menyiarkan mesej dan gambarnya dalam pesawat.

"Sudah duduk dalam pesawat untuk memulakan perjalanan pulang. Pakistan negaraku!" kata mesej dihantar ke akaun Twitter @P—Musharraf, dengan gambarnya memakai pakaian tradisi shalwa kameez putih gading.
Sesetengah penyokongnya dalam pesawat menjerit 'panjang usia Musharraf' menjengkelkan penumpang lain, menurut wartawan AFP.

Diberi jaminan perlindungan

Musharraf yang diberi jaminan perlindungan untuk menarik balik ancaman penahanan segera sekembalinya ke Pakistan, memberitahu media sebelum berlepas ke Karachi bahawa beliau tidak merasa gentar namun mengakui sedikit bimbang.

"Saya bimbang, ada banyak faktor tidak diketahui berkaitan keganasan dan pelampau, faktor tidak diketahui berhubung isu perundangan, berapa banyak saya perlu tunjuk prestasi (dalam pilihan raya)," katanya.

Beliau terpaksa membatalkan rancangan memberi ucapan dalam satu perhimpunan awam di makam bapa pengasas Pakistan, Mohammad Ali Jinnah kerana kebimbangan keselamatan dan sebaliknya memberi ucapan kepada penyokongnya di lapangan terbang yang dikawal ketat.

Polis menarik balik kelulusan untuk perhimpunan pinggir bandar selepas ancaman Taliban Pakistan untuk mengerahkan satu skuad pengebom bunuh diri untuk membunuh Musharraf.

Dalam satu kes perundangan yang sekian lama menjerat Musharraf, adalah pembunuhan Benazir apabila beliau memerintah negara itu pada Disember 2007, tiga bulan sekembalinya ke Pakistan daripada hidup dalam buangan. - AFP

Iran nafi rakyat jadi pengintip

Posted: 24 Mar 2013 03:33 PM PDT

Dubai: Iran tidak ada hubungan dengan satu kumpulan didakwa perisik yang ditahan di Arab Saudi, lapor media Iran semalam.

Selasa lalu, Arab Saudi berkata ia menahan seorang warga Iran, Lubnan dan 16 warga tempatan kerana mengintip.

Penganalisis politik dan media di Arab Saudi menuduh Iran yang majoritinya Syiah menjadi dalang di sebalik dakwaan pengintipan itu.

Bergelut dapatkan pengaruh

Kedua-dua negara terbabit dalam satu pergelutan untuk mendapatkan pengaruh di seluruh rantau itu dengan menyokong pembangkang di Bahrain, Yaman, Syria, Lubnan dan Iraq.

Menteri luar negara Teluk Arab yang mengadakan rundingan di Riyadh bulan lalu mengeluarkan kenyataan mengutuk apa yang dikatakan sebagai 'campur tangan' Iran di negara mereka, tuduhan yang ditolak Tehran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, menafikan bahawa seorang warga Iran terbabit dalam rangkaian perisikan dan menggelar tuduhan itu pernah dibuat sebelum ini berulang, lapor Press TV dalam bahasa Inggeris milik Iran, semalam.
"Membangkitkan isu tanpa asas di peringkat media hanyalah untuk kepentingan domestik semata-mata," katanya menurut Press TV.

Pemimpin minoriti Syiah di Arab Saudi turut mengkritik penahanan 16 orang lain yang dikatakan menjadi punca ketegangan mazhab.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menyalahkan rusuhan di kalangan puak Syiah di daerah Qatif, Wilayah Timur pengeluaran minyak terhadap pengaruh kuasa asing.

Pihak berkuasa mengakui ia merujuk kepada Iran, satu dakwaan yang dinafikan aktivis Syiah tempatan.

Enam belas orang terbunuh di Qatif dalam pertembungan dengan polis sejak dua tahun lalu. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan