Berita Harian: Dunia |
Posted: 01 Dec 2012 01:07 PM PST Luluskan pembinaan 3,000 rumah baru di Tebing Barat Washington: Beberapa jam selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk memberikan pengiktirafan negara kepada Palestin, Israel kelmarin bertindak balas dengan mengumumkan ia membenarkan pembinaan 3,000 rumah baru peneroka haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Pegawai, yang enggan dikenali, berkata kerajaan juga memutuskan untuk mempercepatkan kerja untuk beribu lagi rumah di kawasan sensitif dari segi geografi berhampiran Baitulmaqdis yang disifatkan pengkritik akan membunuh harapan Palestin untuk menubuhkan negara berdaulat. "Berikutan pengumuman hari ini, saya ingin menegaskan pentadbiran ini seperti pentadbiran terdahulu, menjelaskan kepada Israel aktiviti ini menjadi penghalang kepada rundingan damai," kata Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton. Beliau bercakap di forum di Washington yang dihoskan oleh Pusat Saban bagi Dasar Asia Barat, kepada penonton termasuk Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman dan Menteri Pertahanan rejim, Ehud Barak. Perdamaian menyeluruh "Penyelesaian paling baik bagi kebuntuan di Gaza adalah perdamaian menyeluruh antara Israel dan Palestin, diketuai wakil sah mereka, Pihak Berkuasa Palestin," katanya. "Undian minggu ini memberikan kita masa berhenti sekejap. Semua pihak perlu mempertimbangkan dengan hati-hati laluan di depan. Kita perlu bekerjasama mencari jalan seterusnya dalam rundingan yang boleh mencapai matlamat penubuhan dua negara. Ia matlamat utama kita. "Jika kedua-dua pihak bersedia memulakan rundingan secara langsung untuk menyelesaikan konflik, Presiden Obama akan menjadi rakan mereka," katanya. "Saya rasa jika seseorang tidak boleh mencapai perjanjian yang menyelesaikan semua isu sukar ini, Israel perlu mencuba. Ia memberikan Israel kedudukan moral tinggi yang saya mahu ia capai," katanya. - AFP |
Posted: 01 Dec 2012 01:06 PM PST Jumlah penghidap Aids di Indonesia semakin meningkat Surabaya: Suri rumah dan kanak-kanak kini menjadi kumpulan berisiko tinggi dijangkiti HIV di Indonesia berbanding pekerja seks di negara itu. Pegawai Suruhanjaya Pencegahan AIDS Surabaya (KPA) Emi Yuliana, berkata bahawa sejak dua tahun lalu ada kecenderungan meningkatnya bilangan suri rumah yang dijangkiti dengan HIV/AIDS.
Dr. Kartika dari Agensi Kesihatan Surabaya berkata, pusat kesihatan masyarakat tidak mempunyai program yang menekankan pengesanan HIV/AIDS di kalangan suri rumah kerana kebanyakan program di pusat kesihatan di Surabaya lebih memfokuskan kepada ibu hamil. Kartika mencadangkan penggunaan alat baru untuk mengesan HIV/AIDS di kalangan suri rumah seperti kad skor yang akan diedarkan kepada ibu hamil yang datang mendapat rawatan. Kad terbabit akan dapat mengesan sama ada wanita terbabit berisiko tinggi. Beri kaunseling "Misalnya kad terbabit antara lain menyoal mengenai tingkah laku seksual mereka dan pekerjaan suami. Jika misalnya suami bekerja sebagai pemandu di luar wilayah dan jarang berada di rumah ia mungkin disifatkan sebagai berisiko. Dari situ kita akan menilai dan memberikan kaunseling supaya mereka akan mengambil ujian HIV/AIDS," katanya. Sementara itu di Bogor, Jawa Barat, sebanyak 60 peratus kes HIV/AIDS adalah membabitkan suri rumah. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus dan menunjukkan kadar pertumbuhan yang cepat di kalangan kumpulan berisiko tinggi yang melebihi daripada kadar di kalangan pekerja seks komersial. Data 2012 menunjukkan bahawa 1,542 penduduk di Bogor menghidap HIV manakala 949 adalah didapati positif AIDS. Bandaraya itu juga merekodkan 65 kematian akibat penyakit itu tahun ini. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan