Harian Metro: Global |
Posted: 20 Oct 2012 06:20 AM PDT LONDON: Doktor di hospital di Britain yang merawat remaja perempuan Pakistan berusia 15 tahun yang ditembak di kepala oleh Taliban, berkata, dia sudah semakin pulih dan mampu berdiri dengan bantuan dan menulis. Malala Yousufzai sudah sedar dan boleh membuka mata dalam gambar pertama yang dikeluarkan oleh Hospital Queen Elizabeth di Birmingham sejak dia tiba dari Pakistan, Isnin lalu. Semakin banyak perkembangan positif yang ditunjuk sejak dia ditembak, dalam usaha ganas Taliban untuk menutup mulut gadis itu yang lantang bersuara mengenai kebebasan remaja perempuan untuk mendapatkan pendidikan. Walau bagaimanapun, doktor berkata, terdapat tanda-tanda jangkitan dan dia akan mengambil masa panjang untuk sembuh. "Dia masih dalam bahaya," kata Pengarah Perubatan hospital itu, Dr Dave Rosser. Katanya, "Namun begitu, dia semakin sihat. Malah, dia mampu berdiri dengan bantuan, buat pertama kali pagi ini." Dave berkata, Malala bersetuju supaya gambar dan maklumat dirinya dikeluarkan dan mengucapkan terima kasih kepada penduduk dunia atas keprihatinan mereka dan memberi sokongan kepadanya sejak dia ditembak di Pakistan. Malala menjadi simbol hak remaja perempuan mendapat pendidikan. Ketika usianya 11 tahun, dia mula menulis di blog menggunakan nama samaran untuk BBC, mengenai kehidupannya di bawah perintah Taliban di Lembah Swat. Selepas tentera berjaya mengalahkan tentera militan pada 2009, Malala mula bersuara secara terbuka mengenai pentingnya remaja perempuan mendapat pendidikan. Dia sering muncul di media dan diberi penghormatan tertinggi untuk orang awam kerana keberaniannya. Malala ditembak dan cedera parah pada 9 Oktober lalu ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di barat laut Lembah Swat. Kumpulan Taliban berkata, mereka mensasarkan Malala yang berjuang untuk pendidikan remaja perempuan kerana dia mempromosikan "pemikiran Barat" dan sangat kritikal terhadap kumpulan militan. - AP Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20 |
South of Sanity, filem cereka pertama dibuat di Antartika Posted: 20 Oct 2012 06:17 AM PDT ANTARTIKA: Dikenali dengan judul South of Sanity, filem seram ini dikeluarkan oleh jurulatih memanjat dan pembuat dokumentari, Kirk Watson ketika bekerja di benua ais untuk Tinjauan Antartika Britain. Ia merupakan filem cereka pertama di buat di Antartika. Pelakonnya pula terdiri daripada staf dan rakan sekerja di situ, manakala skripnya pula ditulis oleh Matt Edwards, seorang doktor yang tinggal di London. Plot filem itu berkisar mengenai 14 pekerja yang bekerja di stesen terpencil, dibunuh seorang demi seorang oleh pembunuh. Kirk berkata, "Kami melakukan penggambaran ketika cuti hujung minggu dan selebihnya penggambaran dibuat dalam gelap untuk menjadikan filem berkenaan lebih menyeramkan."
Mereka juga terpaksa mengubah suai keadaan yang amat sejuk itu, manakala penulis skrip, Matt, yang juga bertugas sebagai jurumekap artis, menggunakan kit lukisan muka kanak-kanak dan resipi istimewa iaitu campuran pewarna makanan, tepung dan sirap untuk membuat darah tiruan. "Ada beberapa aktor kami yang mengalami sedikit hipotermia ketika penggambaran tetapi mereka sudah tinggal di sana setahun jadi mereka sudah biasa," kata Kirk. Filem yang dikategorikan untuk 18 tahun ke atas, mendapat perjanjian pemasaran dari syarikat di Amerika Syarikat itu akan mula ditayangkan pada 31 Oktober di Aviemore, Scotland. - BBC Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Global To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan