Isnin, 17 September 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tingkat keselamatan siber

Posted: 16 Sep 2012 10:33 AM PDT

TREND Micro Inc, sebuah syarikat penyedia keselamatan cloud global, berharap Bajet 2013 yang akan diumumkan nanti akan mengandungi pendekatan holistik bagi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan memberikan penekanan lebih besar kepada keselamatan siber.

Ini sejajar dengan program Digital Malaysia (DM) yang bakal menjana pelaburan bernilai RM31.1 bilion dan mewujudkan 160,000 pekerjaan menjelang 2020.


Pengarah Urusan Trend Micro bagi rantau Asia Tenggara, Goh Chee Hoh berkata, dalam usaha merealisasikan DM dengan jayanya bagi meningkatkan tahap keselamatan siber seharusnya menjadi keutamaan teratas dalam agenda negara. "Melalui ini, keyakinan pelabur akan meningkat, sekali gus menghasilkan lebih banyak pelaburan yang akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan menjadi sebuah ekonomi digital yang maju menjelang 2020.

"Keupayaan bajet kali ini mengubah ekosistem sekarang dan memastikan Malaysia berdaya saing di peringkat global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Ali sudah temu jodoh

Posted: 16 Sep 2012 10:30 AM PDT

LONDON: Berdasarkan kecederaan parah yang dialami ketika perang Iraq pada 2003, tidak ramai menjangka Ali Abbas akan dapat hidup lama.

Tetapi semalam, pemuda kacak yang berusia 21 tahun itu, mampu bergaya dengan pakaian yang akan dipakai pada majlis perkahwinannya.

"Anda boleh kata saya melalui perjalanan yang jauh. Tetapi, dengan menaiki pesawat untuk pulang ke Baghdad esok bagi persiapan perkahwinan saya akan menjadi langkah paling besar pernah saya lakukan.

"Saya gementar, tetapi pada masa sama, teruja. Pernah saya terfikir bahawa saya tidak akan berkahwin," katanya dalam satu wawancara di London beberapa hari lalu.


Sembilan tahun lalu, gambar memilukan yang tersebar ke seluruh dunia, menunjukkan Ali dengan kesan melecur pada tubuhnya dan tanpa kedua-dua tangan, menjadikan dia wajah ikonik Perang Iraq.


Dia hanya berusia 12 tahun apabila dia hilang kedua-dua tangannya sementara 60 peratus badannya melecur akibat serangan tentera Amerika Syarikat.

Enam belas anggota keluarganya, termasuk ibu bapanya terbunuh dalam serangan itu.

Ali masih ingat saat menakutkan yang mengubah kehidupannya.

"Siling dan dinding rumah saya runtuh ke atas kami. Rumah kami terbakar. Saya mendengar keluarga saya menjerit dan badan saya terbakar," katanya.

Seorang jiran, pemandu teksi, menyelamatkan Ali dari kebakaran itu.

Kesengsaraannya menyentuh hati jutaan orang di seluruh dunia. Dia diterbangkan ke Kuwait untuk menjalani pembedahan menyelamat nyawanya sebelum dibawa ke Britain dan dilengkapkan dengan dua tangan palsu oleh pakar di Hospital Queen Mary di London.

Ali lulus ujian untuk mendapatkan kerakyatan Britain dan secara rasmi menjadi warga negara itu pada Jun 2010.

Meskipun berusaha menganggap Britain sebagai kediamannya, Ali pulang ke Iraq setahun sekali untuk menemui adik perempuan dan saudara maranya yang lain.

Dalam satu kunjungannya itu, dia terpikat dengan rakannya ketika kanak-kanak, Ankam Hamza.

"Saya masih mengingati Ankam ketika sama-sama kecil dulu. Dia anak perempuan seorang saudara jauh saya, Mohammed, orang pertama menjaga saya ketika di hospital di Kuwait dan apabila saya diterbangkan ke Britain.

"Kerana kecederaan yang saya alami, saya langsung tidak terfikir untuk berkahwin atau menemui gadis yang akan mencintai saya.

"Tetapi kunjungan ke negara asal saya pada 2010 mengubah segala-galanya.

"Ankam berkawan dengan adik saya, Hedel dan datang ke kediaman keluarga saya.

"Adik saya berseloroh, 'Ali masih bujang. Mungkin kamu boleh berkahwin dengannya.' Dia menjawab serta-merta, 'Saya bersedia.'

"Saya terlalu malu untuk bercakap dengannya. Saya meminta kebenaran ibu Ankam untuk bercakap dengannya mengenai kemungkinan kami bertemu dan bertunang.

"Dua hari kemudian, keluarganya menghubungi saya dan merestui hubungan kami. Kami berkenalan dengan lebih dekat selama dua bulan sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Saya berterus terang dengannya dan memberitahu keadaan saya yang cacat. Dia menjawab, 'Saya terima seadanya.'" - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Tiada ulasan:

Catat Ulasan