Selasa, 14 Ogos 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


2 beradik kerdil ada siri realiti

Posted: 13 Aug 2012 09:26 AM PDT

CHICAGO: Bridgette dan Brad Jordan mungkin berkongsi nama akhir dengan legenda bola keranjang, Michael Jordan, tetapi hanya itu persamaan mereka.

Berbanding Jordan yang memiliki ketinggian hampir dua meter, Bridgette dan Brad diiktiraf sebagai pasangan adik-beradik paling kerdil di dunia oleh Rekod Dunia Guinness. Bridgette dan Brad menghidap penyakit jarang ditemui - dikenali sebagai Majewski osteodysplastic primordial dwarfism - dan menjejaskan pertumbuhan otak dan rangka.


Dianggarkan, kurang daripada 200,000 orang penduduk AS mengidap penyakit berkenaan. Bridgette, 23, hanya setinggi 0.68 meter dan terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke katil.

Adiknya, Brad, 21, mempunyai ketinggian 0.96 meter dan ia tidak menghalangnya aktif dalam sukan. Ibu mereka, Christy Jordan, berkata walaupun kerdil, Bridgette dan Brad kelihatan tidak canggung ketika keluar ke tempat awam. Tahun lalu, Bridgette pernah diiktiraf Guinness sebagai wanita paling kerdil di dunia selama beberapa bulan sebelum namanya digantikan dengan warga Nagpur, India, Jyoti Amge, yang mempunyai ketinggian 0.60 meter.


Di sebalik kekerdilan itu, adik-beradik terbabit mula mencipta nama di AS melalui siri realiti sendiri berjudul Big Tiny yang memulakan siarannya hari ini. Program itu difokuskan kepada kehidupan seharian Bridgette dan Brad berdepan urusan biasa yang dianggap remeh manusia biasa. Disebabkan badan yang amat kerdil, Bridgette - mempunyai berat badan 8.2 kilogram - terpaksa mandi di sinki dan membeli-belah menggunakan troli yang lebih tinggi daripadanya.


Brad - 15.9 kilogram - akan mempamerkan kemahirannya sebagai anggota kumpulan sorak kolej serta gerakan gimnastik.

Dalam Big Tiny itu juga, Brad akan menunjukkan gerakan karate dipelajarinya. Selain Christy, turut muncul dalam siri itu ialah kakak mereka, Brandi, yang mempunyai ketinggian normal.


Bagi Bridgette, dia bercita-cita mahu menjadi pereka fesyen, manakala Brad berangan-angan menjadi pelakon.

Mereka kini tinggal di Centralia, Illinois. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012


Ayam hasilkan telur luar biasa

Posted: 13 Aug 2012 09:22 AM PDT

LONDON: Ketika Annie Egginton meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-59 baru-baru ini, dia terkejut mendapat 'hadiah' luar biasa berbentuk telur ayam yang sangat besar, lapor media semalam.

Memelihara ayam betina berusia setahun, Annie dan suaminya, Steve Egginton, bagaikan tidak percaya apabila melihat telur seberat 170 gram berbanding telur biasa 57 gram.


Menetap di Chew Magna, Somerset, pasangan suami isteri itu mendapat kejutan istimewa pada hari pembukaan Sukan Olimpik 2012 baru-baru ini. Menurut Egginton, 60, dia tidak pernah melihat telur sebesar itu walaupun mula memelihara ayam lebih tiga dekad lalu. Ketika ini, mereka memelihara tiga ayam bernama Jessica, Doris dan Henryetta untuk membekalkan telur bagi kegunaan harian. Walaupun mempunyai keistimewaan begitu, Egginton tidak bercadang menyimpan telur dihasilkan Jessica itu, sebaliknya ia dijadikan hidangan sarapan. "Ia sangat lazat dan mengenyangkan," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan