Berita Harian: Dunia |
Posted: 10 Aug 2012 10:35 AM PDT Kazan: Pihak berkuasa Russia membongkar satu kumpulan ajaran sesat berhenti berhubung dengan dunia luar selepas hidup di ruang bawah tanah sejak 10 tahun lalu. Pendakwa berkata, 27 daripadanya ialah kanak-kanak yang hidup dalam bilik tanpa alat pemanas dan bergelap. Mereka sudah dibebaskan dan ibu bapa mereka akan didakwa atas tuduhan mendera kanak-kanak. Pegawai kesihatan mendedahkan, ada kanak-kanak itu berusia satu hingga 17 tahun, tidak pernah melihat matahari.Mereka dihantar ke hospital untuk rawatan sebelum tinggal di rumah anak yatim buat sementara waktu, kata seorang doktor, Tatyana Moroz. Pengasas kumpulan berkenaan, Faizrakhman Satarov, 83, yang mengisytiharkan dirinya nabi didakwa mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin 'Muammin', kata timbalan pendakwa raya Kazan, Irina Petrova. Perkataan Arab 'muammin' bermaksud 'pengikut.' Namun, pihak berkuasa, tidak menahan pengikut Satarov. Kumpulan radikal Satarov adalah bekas imam di wilayah berdekatan, Bashkortostan. Dia mengisytiharkan kediamannya di luar Kazan sebagai negara Islam. Dia juga mengarahkan 70 pengikutnya tinggal dalam ruang bawah tanah di bawah bangunan tiga tingkat yang mempunyai menara kecil berbentuk bulan. Nabi kedua Hanya beberapa pengikutnya dibenar keluar kerana menjalankan perniagaan di sebuah pasar tempatan. Rumah Satorov itu dibina tanpa kelulusan dan akan dirobohkan. "Mereka akan datang dengan jentolak dan senapang tetapi mereka perlu bunuh kami sebelum musnahkan rumah ini," kata ahli kumpulan itu, Gumer Ganiyev di saluran televisyen Vesti. Satarov memilih Ganiyev sebagai 'nabi kedua', lapor media tempatan. - Agensi/AP |
Posted: 10 Aug 2012 10:30 AM PDT Manila: Duta Kemboja ke Filipina diarah pulang semalam selepas wakil khas itu menuduh Manila bermain politik kotor dalam perbalahan maritim dengan China membabitkan isu tuntutan di Laut China Selatan. Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario, memberitahu wartawan duta berkenaan, Hos Sereythonh, diarah pulang tetapi beliau tidak mendedahkan sebabnya. Ia dibuat selepas Rosario memanggil Sereythonh bulan lalu untuk menjelaskan komen yang dibuat duta itu dalam surat kepada akhbar tempatan menyalahkan Filipina dan Vietnam kerana mencetuskan pertelagahan di persidangan ASEAN di Kemboja.Sereythonh tidak menghadiri pertemuan itu dengan memberi alasan tidak sihat. Jurucakap jabatan luar Filipina, Raul Hernandez, pula berkata, Kemboja memegang kata putus memanggil pulang dutanya dari Filipina. Beliau tidak memberi ulasan lanjut. "Kami berharap duta Kemboja akan membantu mengukuhkan persahabatan yang wujud di antara kedua-dua negara," kata Hernandez dalam satu kenyataan. Bakal tambah ketegangan antara negara ASEAN Kenyataan duta itu disifatkan menambah perpecahan di kalangan 10 negara anggota ASEAN selepas pertemuan peringkat menteri di Kemboja yang berakhir dalam suasana tidak menentu berhubung perbalahan berkenaan. Dua minggu kemudian, dalam surat kepada akhbar popular di sini, Philippine Star, Sereythonh menuduh Filipina dan Vietnam berusaha mensabotaj dan menggagalkan perisytiharan bersama dalam sidang itu. China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan kawasan itu yang dipercayai kaya dengan sumber semula jadi. Pada masa sama, anggota ASEAN termasuk Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei serta Taiwan, turut menuntutnya. Ketegangan memuncak tahun ini, apabila Beijing terbabit dalam perbalahan diplomatik dengan Manila dan Hanoi. Diplomat berkata, Filipina menggesa rakannya dalam sidang anggota ASEAN supaya menyokongnya menentang tuntutan China mengenai isu Laut China Selatan. Langkah memanggil pulang duta itu jarang berlaku di kalangan anggota ASEAN tetapi meledak ketika pertubuhan serantau itu menyambut ulang tahun ke-45 dan banyak pihak meminta perpaduan diperhebatkan di antara mereka. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan