Jumaat, 13 Julai 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lori ceroboh ruang tamu warga emas

Posted: 12 Jul 2012 01:24 PM PDT

LONDON: Seorang nenek nyaris maut selepas sebuah lori merempuh kediamannya ketika dia sedang menonton televisyen.

Warga emas berusia 76 tahun itu sedang duduk di ruang tamu kediamannya ketika ditimpa serpihan konkrit yang melayang apabila lori berkenaan merempuh dinding rumahnya.


Dia yang cedera ringan di kepala dan menggeletar akibat mengalami kejutan dikejarkan ke hospital.

Saksi pertama yang tiba di tempat kejadian, Kevin Carr berkata, dia bimbang wanita itu mungkin terbunuh.


Carr berkata, dia memandu di belakang lori itu di sepanjang Eastern Avenue di Ilford, Essex ketika ia melanggar kereta BMW yang diparkir di tepi jalan sebelum berpusing menghadap kenderaan dari arah bertentangan.


Lori itu kemudian menaiki kaki lama sebelum merempuh ke rumah berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari, Selasa lalu. Jiran mangsa, Minal Gadhavi, 38, sedang menyusukan anak perempuannya ketika mendengar bunyi rempuhan kuat itu.

Minal berkata: "Ia nyaris mengenai seorang wanita yang melalui kawasan itu untuk menghantar anaknya. Saya ingat ia akan melanggar kami," katanya.


Carr, 52, melompat keluar dari kenderaannya dan memeriksa tiada sesiapa di dalam kereta BMW itu. Dia berkata: "Ia seperti babak gerakan perlahan. Saya dan pemandu lain berlari ke kediaman mangsa dan lelaki dalam lori berkenaan kelihatannya tidak cedera kerana dia boleh bercakap. "Saya dengar seseorang menjerit meminta tolong, tetapi saya tidak faham apa yang dikatakannya dan saya fikir dia berada di bawah lori itu.

Carr masuk melalui ruang besar di dinding, di mana lori itu merempuh rumah berkenaan dan segera membawa keluar wanita tua itu yang mengalami trauma melalui pintu depan.


Mangsa dikejarkan ke Hospital Queen di Romford dengan ambulans. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13


70 laman web jual barang palsu berjenama disita

Posted: 12 Jul 2012 01:20 PM PDT

WASHINGTON: Pihak berkuasa menyita 70 laman web yang disyaki menjual barangan palsu menggunakan jenama mewah seperti Louis Vuitton, Tiffany atau Burberry dan logo sukan seperti NFL dan MLB, kata polis semalam.

Penyitaan itu yang dibuat di bawah lima waran berasingan di mahkamah negara ini adalah tindakan terbaru Projek Copy Cat, usaha pejabat Jabatan Dalam Negeri Keselamatan Imigresen dan Kastam AS (ICE).


Pengarah ICE, John Morton memberitahu media rampasan terbaru itu, termasuk beberapa operasi canggih yang mereka laman web yang kelihatan hampir sama dengan laman web barangan asli.

"Ia adalah laman tiruan dengan usaha yang canggih untuk menirunya seperti laman yang asli.


"Ia bukan menawarkan orang ramai untuk membeli dengan harga murah, tetapi dengan harga penuh atau harga asal," katanya. Sesetengah laman juga menggunakan sijil SSL (lapisan soket keselamatan) palsu yang mendorong pelanggan percaya kad kredit mereka dilindungi, kata pihak berkuasa. "Ia membolehkan mereka percaya maklumat kewangan mereka dilindungi tetapi logo itu juga palsu," kata jurucakap ICE, Justin Cole. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13


Tiada ulasan:

Catat Ulasan