Berita Harian: Dunia |
Mayat penumpang Sukhoi ditemui Posted: 10 May 2012 01:02 PM PDT Dunia Cubaan rampas pesawat antara teori punca nahasCIDAHU: Lima puluh penumpang kapal terbang penumpang baru buatan Russia disahkan maut selepas anggota pasukan penyelamat menemui mayat berhampiran bangkai pesawat berkenaan yang terhempas dekat kawasan gunung berapi di Indonesia ketika melakukan penerbangan ujian bagi menarik pembeli. Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan cubaan merampas pesawat itu antara punca nahas.Oleh kerana tempat kejadian terpencil, mayat perlu dimasukkan dalam jaring dan dibawa keluar dengan helikopter. - Gagah Prakoso, Jurucakap agensi mencari dan menyelamat kebangsaan "Kami belum temui sesiapa yang terselamat tetapi masih meneruskan operasi mencari. Saya tidak dapat cakap apa-apa mengenai keadaan mayat," kata Prakoso sambil menambah pesawat berkelajuan tinggi itu dipercayai melanggar cerun, meletup dan berkecai.Pihak berkuasa terputus hubungan dengan Sukhoi Superjet-100 sebaik berlepas dari lapangan terbang di Jakarta membawa wakil syarikat penerbangan Indonesia. Kebanyakan mangsa adalah eksekutif syarikat penerbangan Batavia Airlines; Pelita Air; Air Aviastar dan Sriwijaya Air selain lima wartawan dan seorang wakil firma pengeluar pesawat Perancis. Tiada warga Malaysia terbabit dalam nahas itu. Oleh kerana tempat kejadian terpencil, mayat perlu dimasukkan dalam jaring dan dibawa keluar dengan helikopter, kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat kebangsaan, Gagah Prakoso. Ahli keluarga kebanyakan menunggu semalamam di lapangan terbang menangis sebaik mendengar berita mengenai penemuan bangkai pesawat itu. Pesawat itu berlepas awal tengahari kelmarin untuk melakukan demonstrasi penerbangan. Kira-kira 21 minit selepas itu, juruterbang dan pembantunya dari Russia meminta kebenaran turun dari ketinggian 3,000 meter ke 1,800 meter. Pesawat itu kemudian hilang dari radar. Tidak diketahui mengapa krew meminta menukar laluan, katanya terutama apabila mereka terlalu hampir dengan gunung berapi setinggi 2,200 meter itu. Komunikasi antara juruterbang dan kawalan lalu lintas udara juga disiasat, kata ketua Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan, Tatang Kurniadi. Lebih 1,000 orang termasuk askar dan polis terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat terbabit. Helikopter yang melakukan pemantauan dari udara berhampiran gunung berapi itu menemui bangkai pesawat berkenaan. Pesawat penumpang pertama buatan Russia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet dua dekad lalu, melanggar rabung di Gunung Salak, gunung berapi yang tidak lagi aktif. – Agensi |
Askar Mesir dituduh cabul aktivis wanita selepas ditahan Posted: 10 May 2012 01:00 PM PDT Dunia KAHERAH: Kumpulan hak asasi dan penunjuk perasaan wanita kelmarin menuduh pasukan tentera Mesir dan pihak berkuasa penjara melakukan pencabulan seksual termasuk memeriksa kemaluan mereka selepas ditahan kerana terbabit dalam demonstrasi baru-baru ini.Tuduhan terbaru itu menambah ketegangan dalam kempen pemilihan Presiden Mesir yang bakal diadakan dua minggu lagi. Berpuluh-puluh wanita antara 300 penunjuk perasaan yang ditahan berikutan protes di luar Kementerian Pertahanan di sini, minggu lalu.Mereka menghina kami. Mereka buka tingkap van dan cuba sentuh tubuh kami. Kami diancam diperkosa dan mereka mengancam jika ada yang membuka mulut, mereka akan dibiarkan berada di luar bersama askar dan tiada siapa tahu apa yang terjadi. - Kamal, tahanan penjara tentera. Dalam pertuduhan yang membawa ingatan kepada pencabulan sama ketika protes terdahulu, seorang aktivis hak asasi, Aida Seif al-Dawla, berkata pengawal penjara wanita mencabul beberapa tahanan wanita dengan memeriksa kemaluan atas alasan mencari dadah."Ini pencabulan seksual. Wanita itu cedera fizikal dan emosi," katanya. Sesetengah tahanan wanita yang dibebaskan berkata, mereka didera secara lisan dan seksual oleh pasukan tentera selepas ditahan. Seorang bekas tahanan, Aya Kamal, memberitahu Jawatankuasa Hak Asasi Parlimen mengenai penderaan ketika beliau ditahan. Dia berkata, askar menyerbu masuk masjid dan mereka meluahkan kemarahan selain meraba, menyepak dan meludahnya serta beberapa tahanan wanita lain. Katanya, tahanan lelaki juga dipukul dan diancam dengan serangan seksual. Seorang tentera memukul kepalanya dengan cotar menyebabkannya pengsan buat seketika, sementara yang lain cuba melucutkan tudung kepalanya. Di sebuah penjara tentera, Kamal berkata anggota tentera meraikan ketibaan tahanan. "Mereka menghina kami. Mereka buka tingkap van dan cuba sentuh tubuh kami. Kami diancam diperkosa dan mereka mengancam jika ada yang membuka mulut, mereka akan dibiarkan berada di luar bersama askar dan tiada siapa tahu apa yang terjadi," katanya sambil mengalirkan air mata. Seif al-Dawla berkata, kebanyakan wanita tidak bersedia untuk tampil ke khalayak kerana stigma sosial yang membabitkan isu sosial dalam masyarakat dan kerana mereka boleh dipanggil semula untuk siasatan lanjut. – AP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan