Jumaat, 30 Mac 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Budak ketagih judi dirantai bapa

Posted: 29 Mar 2012 10:56 AM PDT

PHNOM PENH: Bosan dengan perangai anaknya yang ketagih berjudi, seorang bapa merantai remaja terbabit ke tiang elektrik sebagai hukuman ponteng sekolah, kata polis semalam.

Pegawai polis Battambang, Cheth Vanny, berkata lelaki terbabit dipercayai terlalu berang apabila mendapati anaknya itu leka berjudi di sebuah kafe siber berhampiran, sedangkan pada waktu itu dia sepatutnya pergi sekolah.


Katanya, remaja berusia 13 tahun itu kemudian dirantai di tempat awam sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu.

"Remaja terbabit mendakwa dia turut dipukul bapanya," katanya.


Menurut Cheth, remaja itu hanya dibebaskan daripada ikatan kira-kira dua jam kemudian apabila orang ramai menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai insiden berkenaan.


Seorang tukang kunci turut dibawa ke lokasi bagi membuka mangga rantai itu, manakala bapa remaja terbabit melarikan diri dan kini diburu atas kesalahan mendera. - AFP




Warga emas maut ‘dipotong’ pesawat

Posted: 29 Mar 2012 10:54 AM PDT

NELSPRUIT (Afrika Selatan): Seorang pesara maut selepas tubuhnya terpotong dua dilanggar kapal terbang yang sedang mendarat, lapor media semalam.

Sinangele Asuza, 78, dirempuh pesawat ringan berkenaan ketika dia cuba melintasi landasan di sebuah lapangan terbang kecil di Ermelo, timur wilayah Mpumalanga.


Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa percaya Sinangele adalah satu daripada tiga wanita yang memanjat pagar landasan berkenaan untuk memungut kayu di sekitar kawasan itu.

Katanya, mangsa mati serta-merta selepas tubuhnya dirempuh sayap kiri pesawat ringan berkenaan.


"Ia insiden mengerikan," katanya.


Menurut jurucakap itu, Sinangele menetap tidak jauh dari lapangan terbang berkenaan dan leka memungut kayu di di kawasan berhampiran.

Katanya, tiga daripada mereka memanjat pagar landasan untuk mengambil jalan pintas ke bahagian lain kawasan itu.


"Ketika itu juga sebuah pesawat ringan mendarat dan mangsa menyangka dia sempat mengelak," katanya.

Bagaimanapun, kata jurucakap polis itu, perkiraan wanita terbabit tersilap apabila tubuhnya dirempuh sayap pesawat berkenaan. Sementara itu, pihak berkuasa berkata, mereka sedang menyiasat kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi Isnin lalu.


Pegawai Jabatan Penerbangan berkata, pesawat itu dipandu juruterbang berpengalaman dan memang melihat ada tiga wanita cuba melintasi landasan ketika ia mendarat.


"Juruterbang mencuba sebaik mungkin mengelak tetapi malangnya tidak banyak yang dapat dilakukan," katanya.


Juruterbang berkenaan tidak mengalami kecederaan, tetapi masih terkejut dengan apa yang berlaku, manakala sayap kiri pesawatnya rosak teruk. - DM




Tiada ulasan:

Catat Ulasan