Ahad, 11 Mac 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Komander PRC terbunuh

Posted: 10 Mar 2012 12:45 PM PST

GAZA CITY: Israel melancarkan satu serangan udara di Gaza menyebabkan komander kumpulan militan Zuhair al-Qaisisi, terbunuh.

Zuhair adalah komander yang bertanggungjawab menculik seorang anggota tentera Israel, Gilad Schalit, selama lebih lima tahun dan berjaya membuat pertukaran dengan lebih 1,000 tahanan Palestin.

Serangan yang dilakukan tengah hari kelmarin merupakan serangan paling buruk ke atas Gaza dalam beberapa bulan dan sekali gus menyebabkan keganasan semakin memuncak.

Beberapa kumpulan militan Palestin melancarkan serangan roket, menyebabkan Israel mengeluarkan amaran supaya penduduknya tidak keluar rumah.


Tentera Israel membalas dengan melancarkan serangan ke arah Gaza.


Kira-kira 12 anggota militan Palestin terbunuh akibat serangan udara itu, manakala seorang penduduk Israel cederah parah terkena roket yang dilancarkan oleh militan Palestin.

Tentera Israel berkata, pada asalnya mereka mensasarkan Zuhair, komander sayap kanan Jawatankuasa Penentang Popular (PRC), satu kumpulan militan besar yang selari dengan pemerintah Hamas.

Letupan itu memusnahkan kereta sedan biru yang dinaiki oleh Zuhair dan turut membunuh menantu lelakinya Mahmoud Hanini, juga seorang pemimpin tertinggi PRC.

Seorang anggota militan turut terbunuh.

Beberapa jam kemudian, tentera Israel membunuh dua anggota militan yang dikatakan cuba melancarkan roket.

Selepas tengah malam, pegawai Palestin berkata, lima lagi terbunuh di sekitar bandar Gaza.

Saksi berkata, dron Israel dilihat berlegar beberapa minit sebelum kereta Zuhair meletup dan terbakar.

Mereka berkata, letupan itu sungguh kuat hingga menyebabkan kepala Zuhair terputus.

Tentera Israel berkata, Zuhair sedang merancang serangan ke atas Israel seperti yang pernah dirancang Ogos lalu, dari Semenanjung Sinai yang membunuh lapan anggota tentera Israel dan mencederakan 40 yang lain.

Kumpulan sayap kanan PRC pula dikatakan bertanggungjawab dalam beberapa serangan maut ke atas Israel sejak beberapa tahun lalu dan anggotanya adalah yang paling aktif melancarkan roket dari Gaza ke Israel.

Zuhair juga dikatakan bertanggungjawab memindahkan dana dari kumpulan militan Lubnan, Hezbollah, ke kumpulan militan lain di Gaza.

Tetapi kumpulan itu lebih dikenali kerana menculik Schalit pada 2006 dan menawannya selama lebih lima tahun sehinggalah dia dibebaskan atas pertukaran tahanan terbesar, tahun lalu.

Israel bersetuju membebaskan 1,027 tahanan Palestin untuk ditukar dengan Schalit dan merupakan pertukaran berat sebelah paling besar dalam sejarah itu.

Beberapa ratus tahanan yang dibebaskan itu berikrar akan meneruskan serangan ke atas Israel. - AP



Polis China tembak 4 suspek buat bom

Posted: 10 Mar 2012 12:42 PM PST

SHANGHAI: Polis China menembak mati empat suspek dipercayai membuat bom, di wilayah Xinjiang yang mengalami persengketaan etnik dan keganasan.

Polis tempatan berkata, serbuan waktu subuh itu dilakukan Khamis lalu, apabila mereka curiga dengan seorang lelaki yang cedera ketika membuat bom di rumah.

Dua puluh satu orang ditahan polis ketika serbuan itu, di mana seorang daripada suspek memotong tangan anggota polis dengan kapak.

Pihak berkuasa China menyalahkan kumpulan pemisah Islam Xinjiang yang mahu menubuhkan negara merdeka yang dikenali sebagai Turkestan Timur.


Beberapa pegawai China turut menyalahkan serangan dilakukan oleh militan Islam yang dilatih di Pakistan.


Kumpulan Uighur dan aktivis hak asasi manusia berkata, China bertindak keterlaluan ke atas ugutan yang dibuat oleh militan di Xinjiang yang terletak di selatan dan tengah Asia.

Bulan lalu, sumber kerajaan berkata, penyerang bersenjatakan pisau membunuh 13 orang di Xinjiang sebelum polis berjaya membunuh tujuh daripada mereka.

Etnik Ughur merupakan 40 peratus daripada 21 juta penduduk di Xinjiang tetapi mereka merupakan penduduk majoriti di Kashgar dan beberapa kawasan di wilayah selatan.

Ramai di antara mereka membenci tindakan kerajaan mengawal budaya dan agama mereka. - Reuters



Tiada ulasan:

Catat Ulasan