Utusan Online - Luar Negara |
Pakistan tolak berurusan dengan AS Posted: Pakistan tolak berurusan dengan ASISLAMABAD 29 Nov. – Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani menolak untuk menjalankan 'urusan seperti biasa' dengan Amerika Syarikat (AS) semalam, selepas satu serangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membunuh 24 tenteranya, Sabtu lalu. Kejadian yang menyaksikan tentera Pakistan cuba mengehadkan kerjasama perang bersama AS di Afghanistan itu juga, menyukarkan lagi usaha AS untuk meredakan krisis hubungan dengan Islamabad dan menstabilkan rantau tersebut sebelum tentera asing berundur dari Afghanistan. "Kami tidak akan menjalankan urusan seperti biasa. Kami perlu lakukan perkara lebih besar untuk memuaskan hati negara kami," kata Perdana Menteri ketika ditanya CNN sama ada pihaknya mahu meneruskan hubungan dengan AS. Tatkala serangan NATO telah mengalihkan perhatian dari apa yang disifatkan pengkritik sebagai kegagalan Islamabad memburu militan, kenyataan Gilani itu juga memperlihatkan kemarahan kerajaan dan tentera Pakistan selain tekanan yang dihadapi daripada rakyatnya. "Kamu tidak boleh memenangi mana-mana perang tanpa sokongan ramai. Kami perlukan sokongan rakyat," katanya. Gilani berkata, hubungan itu jika diteruskan hanyalah atas dasar 'saling hormat menghormati dan kepentingan bersama'. Ditanya Pakistan ada menerima penghormatan tersebut, Perdana Menteri itu menjawab: "Buat masa ini belum". Sabtu lalu, seramai 24 anggota tentera Pakistan terbunuh dekat sempadan Afghanistan dalam serangan udara NATO, sekali gus mendorong Islamabad menghentikan penghantaran bekalan kepada NATO di Afghanistan. – Reuters |
Rakyat Iran serbu Kedutaan British di Teheran, bakar bendera Posted: Rakyat Iran serbu Kedutaan British di Teheran, bakar benderaKAWASAN bangunan Kedutaan British di Teheran, semalam dipenuhi rakyat Iran yang menunjuk perasaan membantah sekatan kuasa Barat termasuk Britain. - AFP TEHERAN 29 Nov. - Kira-kira 20 orang penunjuk perasaan rakyat Iran hari ini menceroboh Kedutaan Britain di Teheran, menggeledah pejabat-pejabat dan turut membakar bendera Union Jack. Mereka juga dilihat di kaca televisyen tempatan membaling batu ke arah tingkap kedutaan itu, memecahkannya dan ada yang dilihat memanjat tembok bersama lukisan potret Ratu Elizabeth II yang dirampas. Barisan polis Iran hanya berdiri saja tanpa melakukan apa-apa ketika pencerobohan itu berlaku. Di luar tembok kedutaan itu, beratus-ratus penunjuk perasaan lain dilihat berkumpul, ada di antara mereka yang berteriak berulang-ulang "kematian untuk Britain" dan meminta duta Britain meninggalkan negara itu secepat mungkin. Tunjuk perasaan itu berlangsung sehari selepas Iran meluluskan undang-undang menyingkirkan duta itu dalam tempoh dua minggu sebagai tindakan balas terhadap sekatan baru oleh Britain yang menamatkan segala perjanjian dengan sektor kewangan Iran. Britain mengugut untuk bertindak tegas jika Kementerian Luar Negara Iran mengusir duta mereka, Dominick Chilcott yang baru saja memegang jawatan tersebut bulan lalu. Semasa sesi Parlimen di Teheran pada Ahad lalu, seorang penggubal undang-undang memberi amaran rakyat Iran yang marah terhadap sekatan itu berkemungkinan akan menyerbu Kedutaan British seperti yang pernah dilakukan terhadap Kedutaan Amerika Syarikat pada 1979. Sejak itu, kerajaan AS tidak membuka pejabat perwakilan setelah kejadian 1979 itu menyaksikan 52 diplomat ditawan sebagai tebusan selama 444 hari. Iran telah berulang-kali menafikan program nuklearnya memiliki tujuan ketenteraan dan menyifatkan laporan oleh pemantau nuklear PBB mengatakan Iran membina bom atom sebagai tidak berasas. Iran sudah pun dikenakan empat bentuk sekatan oleh PBB yang direka untuk menekannya agar menghentikan kegiatan mengayakan uranium, selain sekatan unilateral oleh kuasa-kuasa Barat. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan