Jumaat, 13 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Duta Syria ke Iraq belot

Posted:

Duta Syria ke Iraq belot

GAMBAR yang disiarkan Agensi Berita Syria Arab kelmarin menunjukkan tentera Syria melancarkan dua peluru berpandu dalam satu latihan ketenteraan di sebuah lokasi rahsia.


DAMSYIK - Duta Syria ke Iraq, Nawaf Fares merupakan pegawai berprofil tinggi kedua yang belot kepada pihak pemberontak semalam.

Ia sekali gus memberikan sokongan moral kepada pemberontak yang kini berjuang untuk menjatuhkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

Nawaf yang merupakan seorang pengikut Sunah dan anggota Parti Baath yang memerintah pernah memegang beberapa jawatan utama di bawah pemerintahan bapa Bashar, Hafez Al-Assad sebelum dilantik sebagai Duta ke Iraq pada tahun 2008.

Beliau berasal dari Deir Al-Zour, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Iraq di timur Syria.

Wilayah berkenaan menjadi lokasi pertempuran sengit antara tentera pemerintah dan para pemberontak sejak rakyat Syria bangkit menjatuhkan rejim Bashar 16 bulan lalu.

Sebelum ini, seorang pegawai tinggi Pengawal Republikan, Brigedier Jeneral Manaf Tlass yang merupakan rakan peribadi Bashar belot dan melarikan diri melalui Turki pada minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera rejim Bashar membedil kampung Treimsa di wilayah Hama, tengah Syria semalam, kata beberapa pemerhati dan aktivis manakala lapan orang terbunuh di seluruh negara berkenaan.

"Tentera rejim membedil kampung Treimsa di Hama dengan menggunakan sejumlah kereta kebal dan helikopter," kata badan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Menurutnya, sekurang-kurangnya seorang maut dan sejumlah lagi cedera dalam serangan tersebut dengan sebahagian daripada mereka parah.

"Sebuah sekolah di kampung itu musnah sama sekali akibat bedilan meriam," kata seorang aktivis di Hama yang menamakan dirinya sebagai Abu Ghazi kepada agensi berita AFP menerusi panggilan internet, Skype.

"Bedilan bermula pada pukul 6 pagi waktu Syria dengan kekuatan besar-besaran dihantar ke sekitar kampung ini. Kini, keseluruhan Treimsa dikepung," tambah aktivis berkenaan.

Badan pemerhati itu mengesahkan lapan kematian dengan lima orang awam dan tiga pemberontak berlaku di seluruh Syria termasuk seorang penduduk awam yang maut di Treimsa.

Kelmarin, seramai 85 orang terkorban termasuk 37 orang awam, 34 askar dan 14 pemberontak bersenjata.

"Antara anggota tentera yang maut termasuk enam askar yang dibunuh di wilayah Damsyik apabila mereka cuba belot," kata badan itu.

Menurut perangkaan badan pemerhati tersebut, lebih 17,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat Syria menentang Bashar bermula pada pertengahan Mac lalu.

Perkembangan itu berlaku selepas tentera pemerintah di Syria didakwa menjadikan wanita sebagai sasaran rogol dan serangan ketika pertempuran di negara itu terus memuncak.

Pertubuhan hak asasi manusia, Women Under Siege menyatakan pihaknya merekodkan 81 insiden serangan seks di Syria sejak demonstrasi antipemerintah bermula pada Mac 2011 dengan kebanyakan kes berlaku di bandar Homs.

Bandar berkenaan merupakan kubu kuat pemberontak dan berulang kali menjadi sasaran serangan tentera pemerintah.

Pengarah pertubuhan itu, Lauren Wolfe berkata, jelas berdasarkan sebilangan laporan oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia, kenyataan saksi dan media bahawa perbuatan menyerang dan memperkosa wanita secara bergilir-gilir dilakukan sebagai taktik perang.

Dalam pada itu di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, wakil Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat sepakat menyerahkan satu teks draf yang memberikan masa 10 hari kepada Bashar untuk melaksanakan pelan gencatan senjata anjuran PBB/Liga Arab atau berdepan ancaman sekatan ketat yang baharu. - Agensi

Anak saudara dakwa Israel racun Arafat

Posted:

Anak saudara dakwa Israel racun Arafat

GAMBAR fail menunjukkan Arafat dan isterinya, Suha.


RAMALLAH - Israel meracun bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat dengan bahan radioaktif polonium, kata anak saudaranya, Nasser al-Qidwa semalam.

"Kami menuduh Israel membunuh Arafat dengan meracunnya dengan bahan pembawa maut," katanya kepada agensi berita AFP.

Beliau merujuk bahan pembawa maut itu sebagai polonium.

Bahan itu ditemui pada pakaian yang dipakai Arafat semasa beliau sakit.

"Mereka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan itu sepatutnya dihukum," katanya.

Beliau merupakan Presiden Yayasan Yaser Arafat.

Dakwaan Arafat diracun muncul pada minggu lalu selepas stesen penyiaran Al-Jazeera melaporkan pakar-pakar menyatakan terdapat kadar kandungan polonium yang tinggi pada barang peribadi milik pemimpin terkenal Palestin itu.

Bahan itu pernah digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko yang mati pada tahun 2006 selepas beliau meminum teh yang mengandungi racun tersebut.

Namun, jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menafikan dakwaan Nasser.

Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Perancis pada tahun 2004. - AFP

McDonald's Kanada dedah resipi sos Big Mac's

Posted:

McDonald's Kanada dedah resipi sos Big Mac's

GAMBAR fail menunjukkan burger Big Mac's.


TORONTO - Cef Eksekutif Restoran McDonald's Kanada, Dan Coudreaut mendedahkan ramuan sos burger Big Mac's, menurut satu laporan kelmarin.

Portal berita New York Daily News melaporkan Coudreaut berkata, pendedahan tersebut yang merupakan sebahagian daripada program ketelusan McDonald's, dibuat bagi menjawab soalan seorang pelanggan yang ingin mengetahui cara membuat sos Big Mac's.

Menurut Coudreaut, sos itu mudah disediakan dengan menggunakan ramuan yang biasa didapati di kedai runcit atau pasar raya.

Katanya, sos itu memerlukan krim jeruk, sos mustard kuning, cuka wain putih, serbuk bawang putih, serbuk bawang dan paprika.

Namun, resipi sos tersebut katanya, adalah terhad untuk di Kanada sahaja dengan ramuan berbeza digunakan di negara-negara lain di dunia. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan