Rabu, 11 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Bashar rancang tamatkan konflik

Posted:

Bashar rancang tamatkan konflik

IMEJ yang dimuat naik dari laman YouTube pada 9 Julai lalu menunjukkan asap akibat pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak kelihatan di wilayah Daraa.Bashar(gambar kecil)


GENEVA - Presiden Syria, Bashar Al-Assad bercadang untuk menamatkan konflik di Syria secara berperingkat bermula dengan beberapa daerah yang mengalami keganasan terburuk, kata Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/Liga Arab ke Syria, Kofi Annan pada satu sidang media di Teheran, Iran semalam.

"Beliau membuat cadangan melalui pendekatan bermula di beberapa daerah yang mengalami keganasan terburuk dengan mengekang keganasan di semua lokasi tersebut dan menamatkan keganasan di seluruh negara," kata Annan, menurut teks PBB.

Bekas Setiausaha Agung PBB itu enggan memberikan butiran lanjut tetapi memberitahu, pelan Bashar perlu dibincangkan bersama pihak pemberontak Syria.

Pada sidang media yang sama, Annan mengulangi pandangannya bahawa Iran boleh memainkan peranan positif dalam mencari penyelesaian politik di Syria.

Satu pertemuan antara kuasa besar dunia di Geneva pada 30 Jun lalu menegaskan bahawa elemen ketenteraan dalam konflik tersebut tidak akan diteruskan.

"Ia bermakna kita perlu mencari satu penyelesaian damai dan tidak lagi membekalkan senjata kepada pihak-pihak terlibat dalam konflik di Syria," jelas Annan.

Annan kemudian tiba di Iraq semalam dalam misi kunjungan ke negara-negara sekutu Syria di Asia Barat.

Jurucakap pemerintah Iraq, Ali Al-Dabbagh berkata, Annan akan menemui Perdana Menteri, Nouri Al-Maliki bagi membincangkan kaedah sesuai untuk menamatkan pertumpahan darah di Syria.

Ali memberitahu, Baghdad merancang untuk menawarkan beberapa jalan penyelesaian bagi menamatkan pergolakan di negara itu yang berlanjutan sejak 16 bulan lalu.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut.

Annan cuba mendapatkan sokongan sekutu-sekutu Damsyik untuk menyelamatkan pelan damainya yang kini menemui kebuntuan bagi menamatkan keganasan di Syria.

Beberapa aktivis memberitahu, pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak yang menentang pemerintahanya di Syria telah meragut nyawa lebih 17,000 orang setakat ini. - Agensi

Parlimen Mesir bersidang

Posted:

Parlimen Mesir bersidang

WAKIL-WAKIL rakyat duduk dalam Dewan Rendah Parlimen Mesir yang bersidang di Kaherah semalam.


KAHERAH - Dewan Rendah Parlimen Mesir bersidang semalam sekali gus mengingkari perintah mahkamah dan tentera.

Parlimen Mesir didominasi wakil rakyat daripada parti politik berfahaman Islam.

Presiden Mesir, Mohammed Morsi pada Ahad lalu mengeluarkan dekri supaya dewan tersebut bersidang semula.

Namun, Mahkamah Perlembagaan Mesir sebelum ini mengeluarkan keputusan untuk membubarkan dewan tersebut kerana terdapat undang-undang tentang pilihan raya Parlimen didapati tidak sah.

"Kami bersidang hari ini untuk menyemak keputusan Mahkamah Agung Perlembagaan Mesir yang memutuskan bahawa dewan ini tidak sah," kata Speaker, Saad Al-Katatni.

"Saya mahu menekankan bahawa kami bukan menentang keputusan ini tetapi mahu menyemak mekanisme pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan. Tiada agenda lain pada perhimpunan kali ini," tambahnya.

Wakil rakyat daripada beberapa parti politik bertindak memboikot persidangan itu dengan sebahagian mereka menyifatkan tindakan Morsi itu satu rampasan kuasa perlembagaan.

Namun, Katatni menegaskan dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen bahawa Parlimen menghormati undang-undang negara dan keputusan mahkamah tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton meminta semua pihak berbincang untuk mencari penyelesaian berhubung isu tersebut.

Hillary membuat kenyataan itu sebelum beliau melawat Mesir pada minggu ini. - Agensi

Bekas PM Israel didapati bersalah

Posted:

Bekas PM Israel didapati bersalah

OLMERT (dua dari kanan) tersenyum di Mahkamah Daerah di Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS - Sebuah mahkamah Israel membebaskan bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert daripada dua tuduhan rasuah semalam tetapi mendapatinya bersalah berhubung satu tuduhan yang lebih ringan dalam keputusan yang beliau sifatkan sebagai adil.

Mahkamah Daerah di Baitulmuqaddis membebaskan Olmert daripada tuduhan menerima beberapa sampul surat berisi wang dan mengemukakan caj palsu beberapa kali semasa melakukan lawatan ke luar negara.

Namun, Olmert didapati bersalah kerana memberi kemudahan kepada seorang bekas rakan sekerjanya ketika beliau memegang jawatan sebagai menteri.

Olmert masih berdepan satu perbicaraan lain berhubung tuduhan beliau menerima rasuah semasa memegang jawatan Datuk Bandar Baitulmuqaddis dalam projek pembinaan sebuah kompleks perumahan di sini.

Namun, keputusan untuk membebaskan beliau daripada dua tuduhan paling serius pada perbicaraan itu termasuk dakwaan yang memaksanya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2008 dilihat sebagai satu kemenangan peribadi buat Olmert.

Namun, beliau didapati bersalah kerana bersikap pilih kasih dengan meluluskan permohonan kontrak rakannya, Uri Messer semasa Olmert berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.

Beliau didapati bersalah kerana membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingan negara.

Kesalahan itu boleh menyebabkan beliau dihukum maksimum penjara tiga tahun.

Bagaimanapun, hujah tentang hukuman yang perlu dijatuhkan ke atas Olmert akan bermula pada September depan. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan