Rabu, 11 Julai 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Penduduk Jakarta pilih gabenor baru

Posted: 11 Jul 2012 01:59 PM PDT

Jakarta: Penduduk Jakarta memilih gabenor baru semalam menerusi pengundian untuk lima calon dengan dua daripadanya diramal meraih sokongan terbanyak untuk membawa undian ke pusingan ke-2.

Penyandang jawatan itu, Fauzi Bowo, yang kaya raya dan memiliki lukisan asli Van Gogh, berdepan lima pencabar lain termasuk Joko Widodo, Datuk Bandar Solo di wilayah Jawa Tengah yang popular. Tinjauan pendapat meramalkan pertandingan akan menjadi persaingan antara Widodo dan Bowo, calon kegemaran yang disokong oleh Parti Demokratik pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Peninjau pendapat berkata, Joko dan Fauzi tidak akan mendapat undi majoriti dan memerlukan pusingan ke-2 undi untuk menentukan pemenang.

Kompas melaporkan, Joko meraih 42.61 peratus undi manakala Fauzi, 34.36 peratus diikuti Hidayat Nur Wahid (11.36 peratus) dan Faisal Basri, 5.05 peratus.

Calon memerlukan sokongan 50 peratus dalam pusingan pertama untuk mengelak daripada pengundian kedua.

Jakarta terkenal dengan kesesakan jalan raya teruk, banjir separas lutut dan infrastruktur lemah.
Pengundian juga tidak berjalan lancar dengan laporan menyatakan seorang budak berusia 15 tahun mendakwa turut mengundi.

M Khadafi Muslim mengundi balai undi TPS 059 di Tanah Merah, Koja, Jakarta Utara. Peraturan menetapkan, pengundi mestilah berusia 17 tahun ke atas.

Bandar raya paling padat penduduk di Asia Tenggara itu – yang menyaksikan bangunan pencakar langit dibangunkan di kawasan setinggan tanpa kemudahan air paip – dicemari skandal rasuah dan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap.

Sekurang-kurangnya 1,000 kenderaan baru bertambah setiap hari kepada hampir lapan juta yang sedia ada di atas jalan raya, yang memberi peluang kepada kanak-kanak dan pengemis mengetuk tingkap kereta yang jarang dapat bergerak ketika waktu puncak.

Menurut agensi persendirian, Persatuan Pengangkutan Indonesia, kesesakan dijangka menjadi lebih teruk menjelang 2014.
AFP

Raja Thai ampuni warga Amerika

Posted: 11 Jul 2012 01:58 PM PDT

Bangkok: Raja Thailand mengampunkan seorang warga Amerika Syarikat yang dihukum penjara selama dua tahun setengah kerana menghina institusi diraja, Disember lalu.

Lerpong Wichaikhammat, 55, juga dikenali sebagai Joe Gordon, mengaku bersalah menggunakan internet untuk menghina institusi diraja, berpunca daripada bahan dalam blognya di Amerika. "Joe Gordon diberi pengampunan dan dibebaskan daripada penjara malam kelmarin," kata jurucakap kedutaan Amerika di Bangkok, Walter Braunohler.
Kes berkenaan menonjolkan penggunaan keterlaluan undang-undang diraja untuk menghalang kritikan ke atas Raja Bhumibol Adulyadej, 84, monarki paling lama di dunia.

Kes itu menyebabkan Amerika mengkritik sekutunya di Asia Tenggara itu, menggesanya menghormati kebebasan bersuara.

Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini berharap Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra akan mengubah undang-undang berkenaan selepas menang pilihan raya tahun lalu.

Lebih-lebih lagi ada anggota partinya turut didakwa atas undang-undang itu. Tetapi, beliau mengambil langkah berhati-hati kerana sedar pembangkangnya dalam tentera dan keluarga diraja akan cuba menjatuhkannya jika ada petanda beliau tidak setia kepada institusi monarki.
"Kami gesa pihak berkuasa Thailand, secara peribadi dan terbuka, memastikan kebebasan bersuara dilindungi selari dengan peraturan antarabangsa," kata Braunohler.

Lerpong menterjemah bahan daripada sebuah buku mengenai raja yang diharamkan di Thailand, dan menyiarkan ia secara online.

Pegawai kedutaan Amerika tidak menyebut sama ada beliau akan pulang ke Amerika.

Warga asing yang didapati bersalah menghina monarki menurut undang-undang jenayah komputer secara umum diberikan pengampunan selepas menjalani sebahagian hukuman mereka. Pengakuan bersalah ketika perbicaraan cenderung membantu proses itu.

Pengampunan ke atas Lerpong dibuat dua bulan selepas seorang lelaki tempatan, Amphon Tangnoppaku, meninggal dunia dalam penjara ketika menjalani hukuman 20 tahun selepas didapati bersalah menghantar mesej teks yang dianggap mengancam dan tidak menghormati Ratu Sirikit. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan