Khamis, 22 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


PBB, AS sambut baik gencatan senjata

Posted: 22 Nov 2012 02:05 PM PST

Washington: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat dan kuasa dunia menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Hamas kelmarin dan berterima kasih kepada kerajaan baru Mesir di atas kejayaan pusingan pertama di pentas diplomatik.

Kuasa dunia lega dengan perjanjian itu yang menawarkan sekurang-kurangnya penangguhan sementara daripada pertumpahan darah di Gaza dan selatan Israel, tetapi terhutang budi kepada Presiden Mohamed Morsi, yang muncul daripada pertubuhan Ikhwanul Muslimin.

Presiden Barack Obama, yang terpilih semula bulan ini selepas penggal pertama, mengetuai pemimpin dunia mengucapkan tahniah di atas usaha Morsi itu.Morsi, anggota tertinggi Ikhwanul Muslimin, dipilih Jun lalu dalam pilihan raya pertama Mesir sejak kebangkitan rakyat yang menjatuhkan pemimpin sekular, Hosni Mubarak.

Beliau keluar daripada parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang diketuai Ikhwanul Muslimin dan berjanji mewakili semua rakyat Mesir tetapi tindakan beliau menimbulkan kebimbangan mengenai perjanjian damai Kaherah dengan Israel dan hubungannya dengan Hamas.

Ketika krisis besar pertama pemerintahannya, Morsi dipuji sebagai pencetus damai, bekerjasama dengan pegawai Amerika untuk mengatur gencatan senjata.

Presiden berterima kasih kepada Presiden Morsi kerana usahanya untuk mencapai gencatan senjata dan kerana kepemimpinan peribadinya dalam merundingkan cadangan gencatan senjata, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Obama turut menegaskan mengenai hubungan rapat antara Washington dan Kaherah, kata Rumah Putih, sambil menambah kedua-dua pemimpin bersetuju dengan kepentingan bekerjasama ke arah penyelesaian lebih tahan lama di Gaza.

AP

Taliban Pakistan mahu balas dendam

Posted: 22 Nov 2012 02:03 PM PST

Islamabad: Pergerakan Taliban Pakistan mengancam menyerang sasaran India bagi membalas dendam terhadap hukuman bunuh ka atas Mohammad Ajmal Kasab, yang terselamat dalam serangan di Mumbai pada 2008.

Kasab digantung secara rahsia kelmarin berikutan masalah sensitiviti politik selepas serangan pada 26 November 2008 itu yang masih menjejaskan hubungan antara kedua negara kuasa nuklear itu.

Kami memutuskan untuk menyasarkan India bagi membalas dendam pembunuhan Ajmal Kasab, kata jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan melalui telefon dari sebuah lokasi yang tidak didedahkan.

Ehsan menuntut supaya India memulangkan mayat Kasab.

Jika mereka tidak mengembalikan mayat Kasab kepada kami atau keluarganya, kami akan menangkap rakyat India dan tidak akan memulangkan mayat mereka, katanya sambil menambah bahawa Taliban juga akan menyerang sasaran India di mana-mana saja.

Taliban yang dikaitkan dengan al-Qaeda dilihat satu daripada ancaman keselamatan terbesar Pakistan dan dipersalahkan dalam beberapa pengeboman bunuh diri di seluruh negara. Mereka tidak menjalankan serangan besar di luar negara.

Kasab didakwa dengan 86 kesalahan termasuk membunuh dan melancarkan perang terhadap India, dalam kertas dakwaan yang dikatakan melebihi 11,000 muka surat.
Ia adalah kali pertama pelaksanaan hukuman bunuh dijalankan di India sejak 2004. Hukuman itu diraikan di kebanyakan penduduk di Mumbai dan bandar raya lain sebaik saja berita pelaksanaannya tersebar tetapi kumpulan militan di Pakistan bertindak marah seperti juga penduduk di kampung halaman mangsa, Faridkot.

Penduduk memasang bunga api dan memberikan manisan di kebanyakan bandaraya di India. Beberapa orang lain turut membawa gambar Kasab yang diletakkan tali gantung di kepalanya.
Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan