Sabtu, 15 Jun 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Iran mengundi pilih presiden baru

Posted: 14 Jun 2013 02:54 PM PDT

Tehran: Berjuta-juta penduduk Iran semalam mengundi untuk memilih presiden baru menggantikan Mahmoud Ahmadinejad.

Lebih 50.5 juta orang layak mengundi dengan golongan pembaharuan dilapor mengharapkan kemenangan calon reformis terhadap konservatif.

Jika tiada calon mendapat lebih separuh daripada keseluruhan undi untuk menang, pusingan kedua pengundian akan diadakan dalam tempoh seminggu.

Keputusan awal pengundian dijangka diketahui hari ini.

Golongan reformis yakin bahawa ulama berhaluan sederhana, Hassan Rowhani akan menang ketika puak konservatif tidak sepakat.

Lanjut tempoh

Calon konservatif termasuk bekas Menteri Luar, Ali Akbar Velayati; Datuk Bandar Tehran, Mohammad Baqer Qalibaf dan ketua perunding nuklear, Saeed Jalili. Bagaimanapun, kedua-dua pihak merayu pengundi supaya keluar beramai-ramai untuk mengundi.

Undi bermula pada 8 pagi (waktu tempatan) hingga pukul 6 petang tetapi tempoh boleh dilanjutkan jika kehadiran pengundi yang ramai.

Menurut laporan terbaru, tempoh mengundi terpaksa dilanjutkan kerana ramai terus datang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warga negara Iran.

Seorang wanita yang ditemui ketika menunggu untuk mengundi, berkata:
Mengundi satu tanggungjawab. Saya harap presiden baru dapat buat sesuatu yang baik untuk kami dan golongan pekerja.

Saya mahu undi Qalibaf kerana beliau datuk bandar yang baik. Saya harap janjinya akan dikotakan.

Di Dubai, warga Iran, Zahra, 20, yang kali pertama mengundi berkata dia menyokong Velayati yang berpengalaman dalam hal ehwal antarabangsa.
Apabila beliau menjadi Menteri Luar (1981 - 1997), hubungan Iran dengan semua negara lain adalah lebih baik, katanya.

AFP/REUTERS

Sokong berjihad di Syria

Posted: 14 Jun 2013 02:53 PM PDT

Kaherah: Beberapa ulama Sunnah termasuk dari Arab Saudi dan Mesir menyokong supaya jihad dilancarkan terhadap pemerintah Syria manakala Amerika Syarikat mengumumkan sedia menghantar senjata kepada pemberontak.

Kita mesti lancar jihad untuk bantu saudara kita di Syria dengan menghantar wang dan senjata selain memberi semua bantuan perlu bagi menyelamatkan penduduknya daripada pemerintah, menurut kenyataan mereka pada akhir satu pertemuan di Kaherah.

Kekerasan rejim Iran, dengan disertai pergerakan Hizbullah dan sekutu mereka di Syria adalah perisytiharan perang terhadap Islam dan umatnya.

Hizbullah menyertai askar pemerintah Syria pimpinan Presiden Bashar Al-Assad, anggota puak Alawiyah iaitu puak Syiah bagi menentang pemberontak Sunnah.

Gesa hukum Damsyik

Ulama kanan Arab Saudi, Abdulaziz al-Shaikh menggesa kerajaan menghukum Damsyik manakala Yusuf al-Qaradawi menggesa puak Sunnah menyokong pemberontak.

Sementara itu, setiausaha Presiden Mesir mengenai hal ehwal luar negara, Khaled Al-Qazzaz menjelaskan Mesir tidak menghalang warganya melakukan kerja sukarelawan di Syria.
Hak untuk melakukan perjalanan atau bebas daripada perang di Syria, katanya kepada wartawan tanpa penjelasan lanjut.

Peluru berpandu

Akhbar Wall Street Journal melaporkan, cadangan tentera Amerika memberi senjata kepada pemberontak Syria termasuk zon larangan terbang.

Zon itu akan berada 40 kilometer di dalam Syria dan dikuatkuasakan oleh pesawat dari Jordan dilengkapi peluru berpandu.

Panglima kumpulan pemberontak utama Syria berharap penghantaran senjata itu akan memberi semangat kepada mereka.

Jeneral Salim Idris dan Al-Arabiya TV memberi laporan itu selepas pentadbiran Presiden Barack Obama mengarahkan penghantaran senjata kepada pemberontak Syria.
AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan