Rabu, 24 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Si mati ‘muncul’ pada majlis pengebumian

Posted: 24 Oct 2012 03:36 PM PDT

Brasilia: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta di timur laut Brazil menggemparkan keluarga dan orang ramai apabila muncul ketika majlis pengebumiannya.

Ia berpunca daripada kesilapan anggota keluarganya yang tersilap mengesahkan identiti Gilberto Araujo, 41, di sebuah rumah mayat, lapor media di sini, kelmarin.

Keluarga dan sahabat handai Araujo berhimpun dekat mayat seorang lelaki dikatakan Araujo di bandar Alagoinhas, negeri Bahia, apabila Araujo muncul.
Araujo berkata, dia menghadiri majlis 'pengebumiannya' itu selepas seorang rakan melihatnya dan memberitahu mengenai 'kematiannya.'

"Saya cakap, hai semua, saya masih hidup," kata Araujo kepada laman web berita akhbar O Globo.

Araujo sudah empat bulan tidak pulang ke kampungnya sehinggalah diberitahu mengenai perkara itu.

Lari lintang pukang
Ibunya, seorang pekedai, Maria Menezes, berkata ada beberapa orang yang hadir di pengebumian itu pengsan dan ada yang lari lintang pukang.

"Suasana memang agak mendebarkan. Saya gembira kerana ibu di mana pun akan rasa begitu apabila anaknya yang dilapor mati sebenarnya masih hidup," katanya.

Araujo juga berkata, selepas dimaklumkan dia sudah mati oleh rakannya, dia cuba menghubungi seorang lagi sahabat di majlis pengebumian bahawa dia masih hidup.

Cubaan menipu

Bagaimanapun, katanya, panggilannya dianggap sebagai cubaan menipu dan memaksanya hadir di majlis pengebumian itu.

Mayat lelaki itu sudah dikenal pasti sebagai Genivaldo Silva Gama dan polis masih meneruskan siasatan.

Inspektor Roberto Lima berkata, kekeliruan mengenai kematian Araujo boleh diterima kerana kedua-duanya ada persamaan iras selain bekerja sebagai pencuci kereta. - Agensi

Britney pernah ketagih dadah

Posted: 24 Oct 2012 03:33 PM PDT

LOS ANGELES: Bekas rakan Britney Spears mendakwa penyanyi terkenal itu pernah menjadi penagih dadah dan dia membantunya membuang tabiat buruk itu, lima tahun lalu.

Sam Lutfi yang menyaman Britney dan keluarganya mendakwa kelmarin, dalam usaha membantu penyanyi itu, dia membawa anjing pengesan dadah dan membuang satu beg berisi serbuk putih dalam tandas kediaman Britney.


Mahu buang ketagihan
"Dia mahu buang ketagihan itu tetapi menghadapi masalah untuk bersih daripada dadah.

"Saya beritahu dia perlu hentikan ketagihan kerana sudah ada dua anak lelaki. Saya beritahu dia bahawa masyarakat tidak akan simpati kepada ibu yang menjadi penagih dadah," kata Lutfi kepada juri dalam perbicaraan sivil di sini.

Lutfi mendakwa, Britney melantiknya sebagai pengurus selama beberapa bulan pada 2007 dan 2008 selepas penyanyi itu berselisih faham dengan keluarga dan kakitangan pengurusannya akibat masalah peribadi dan profesional.

Rakan tuntut RM2.45 juta
Dia menuntut 15 peratus daripada pendapatan Britney pada tempoh berkenaan dipercayai kira-kira AS$800,00 (RM2.45 juta) hingga AS$1 juta (RM3 juta) sebulan.

Peguam bela Britney pula berhujah bahawa Lutfi tidak pernah menjadi pengurus penyanyi itu.

Lutfi berkata, dia bertemu dengan Britney di sebuah kelab malam pada musim luruh 2007.

Ketika itu, katanya, Britney berhadapan kes hak jagaan anak dengan bekas suami Kevin Federline dan menghadapi masalah ketagihan dadah.

"Dia tidak bekerja dan memberitahu sudah pecat semua orang. Dia beritahu sudah pecat ejennya, pengurus, pengawal peribadi dan pegawai publisitinya," kata Lutfi.

Britney memberitahunya, dia membotakkan kepala pada Februari 2007 kerana takut rambutnya dikenakan ujian dadahdalam kesnya dengan Federline, kata Lutfi lagi. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan