Sabtu, 14 Julai 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bieber punca wanita pekak

Posted: 13 Jul 2012 02:38 PM PDT

LOS ANGELES: Bintang remaja, Justin Bieber disaman hampir AS$10 juta (RM30 juta) selepas seorang ibu mendakwa mengalami masalah kekal pada pendengaran akibat daripada jeritan peminat penyanyi itu pada satu konsert.

Stacey Wilson Betts membawa anaknya ke konsert Bieber dan mendakwa jeritan kuat peminat Bieber atau Beliebers menyebabkan pendengarannya rosak.

"Jeritan peminat penyanyi itu mengatasi tahap kekuatan bunyi dan menyebabkan wanita itu hilang pendengaran dan bunyi berdengung pada kedua-dua telinga," menurut laman web hiburan, TMZ.

Kejadian dikatakan berlaku di konsert Bieber di Portland, Oregon, Amerika Syarikat dua tahun lalu.


Ketika berada di atas pentas yang berbentuk hati, dia mengajak penonton supaya menjerit lebih kuat, kata wanita itu.


Stacey menyaman penyanyi itu sebanyak AS$9.23million (RM28 juta). - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14


Beg RM100 bernilai RM1.8j

Posted: 13 Jul 2012 02:34 PM PDT

LONDON: Seorang lelaki berusia 73 tahun seolah-olah tidak percaya selepas menyedari beg tangan yang dibelinya dengan harga 20 (RM100) di Oxfam sebenarnya bernilai hingga RM1.8 juta.

John Richard dari West Hampstead, London, tidak tahu nilai sebenar beg rekaan Philip Treacy itu ketika membelinya dalam jualan amal di Oxfam cawangan Kingston.

Treacy, pereka terkenal warga Ireland mereka topi untuk golongan kaya dan terkenal, termasuk Lady Gaga dan pengarang Tatler, majalah fesyen berpengaruh, Isabella Blow.

Dia terpaksa membela diri apabila topi yang direkanya untuk Puteri Beatrice di majlis perkahwinan Putera William dan Kate Middleton tahun lalu dikritik hebat.


Richard berkata, dia terkejut mendapati beg tangan Treacy di dalam kotak ketika mengunjungi Oxfam untuk mencari barangan jualan murah.


Beg tangan itu mempunyai rekaan wajah Elvis Presley oleh artis pop Andy Warhol dan dipercayai satu daripada 10 saja yang dihasilkan.

Richard mengambil keputusan untuk memeriksa sama ada ia asli atau tidak dua bulan selepas membelinya.

Richard memberitahu akhbar tempatan, Hampstead and Highate Express: "Saya memutuskan untuk membawanya ke kedai Philip Treacy dan mereka mengesahkan ia asli."

Beg tangan itu dijual dengan harga antara RM1,000 hingga RM2,000 apabila ia mula dibuat.

Lelaki itu berharap untuk menjualnya bagi membelikan sebuah kedai gunting untuk temannya walaupun pakar lelong memberitahunya supaya menyimpan beg itu untuk sementara waktu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14


Tiada ulasan:

Catat Ulasan