Sabtu, 14 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


220 maut di Treimsa, Syria

Posted:

220 maut di Treimsa, Syria

SEORANG mangsa cedera dalam keganasan tentera Syria di Kampung Treimsa kelmarin.


BEIRUT – Seramai 220 maut kebanyakan orang awam terbunuh di Kampung Treimsa, tengah Syria apabila beberapa helikopter dan kereta kebal serta sekumpulan lelaki bersenjata membunuh sejumlah keluarga, menurut sumber kumpulan pemberontak semalam.

Ketua Pemantau Syria Untuk Hak Asasi yang menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad, Rami Abdel Rahman menyatakan tentera pemerintah dan askar-askar separa tentera membunuh penduduk di kampung tersebut.

Pasukan misi pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan dalam laporannya bahawa serangan di kampung tersebut merupakan operasi Tentera Udara Arab Syria.

Kampung itu terletak dalam wilayah Hama.

Seorang aktivis Rangkaian Berita Sham menyatakan kebanyakan yang terbunuh itu ialah anggota pemberontak dalam serangan yang berlaku kelmarin.

Sementara itu, White House semalam menyatakan 'kekejaman' di Syria oleh tentera Bashar itu sepatutnya menghapuskan sebarang keraguan tentang perlunya satu tindak balas antarabangsa.

Jurucakap White House, Josh Earnest memberitahu para pemberita dalam pesawat Air Force One bahawa keganasan yang dilakukan berulang kali itu terhadap penduduk awam menunjukkan Bashar kehilangan kelayakan untuk mengetuai Syria.

Di Geneva, Switzerland, Utusan Khas Keamanan PBB dan Liga Arab, Kofi Annan turut mengutuk pemerintah Syria ekoran kejadian pembunuhan itu.

Annan mendakwa pemerintah Syria melanggar rancangan pelan damainya ekoran kejadian tersebut. – Agensi

Bilionair didakwa dalam kes rasuah

Posted:

Bilionair didakwa dalam kes rasuah

RAYMOND keluar dari sebuah mahkamah di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Dua beradik bilionair yang merupakan pengerusi bersama firma hartanah Sun Hung Kai Properties, Thomas dan Raymond Kwok didakwa semalam dalam kes rasuah yang dianggap skandal terbesar di sini.

Bekas Ketua Setiausaha Pentadbiran Hong Kong, Rafael Hui turut didakwa dalam kes itu.

Kes rasuah itu melibatkan keluarga paling berpengaruh di Asia dan firma hartanah kedua terbesar di dunia dengan modal pasaran bernilai AS$32 bilion (RM101.9 bilion).

Dakwaan itu melibatkan pembayaran dan pinjaman lebih AS$4 juta (RM12.7 juta).

Dakwaan itu berlaku sehari selepas agensi antirasuah Hong Kong, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah menangkap setiausaha pembangunan pulau ini kerana disyaki terlibat dalam rasuah.

Dua individu lain turut didakwa dalam kes rasuah tersebut.

Mereka terdiri daripada Ahli Lembaga Sun Hung Kai, Thomas Chan dan bekas ketua pegawai operasi Bursa Niaga Hadapan Hong Kong, Francis Kwan.

Kelima-lima mereka dibebaskan dengan ikat jamin dan diarahkan tidak menghubungi senarai saksi pendakwaan yang diberikan kepada mahkamah.

Kes tersebut kemudian ditangguhkan sehingga 12 Oktober depan.

Lapan dakwaan difailkan terhadap lima tertuduh itu.

Mereka dihadapkan di hadapan seorang hakim.

Kelima-lima mereka menyatakan memahami semua dakwaan tersebut.

Raymond dalam satu kenyataan menyatakan beliau percaya tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Sistem kehakiman Hong Kong amat adil. Saya akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan diri saya berhubung tuduhan tersebut," katanya.

Thomas enggan memberikan sebarang komen. - Reuters

Swift ketepikan Bieber

Posted:

Swift ketepikan Bieber

NEW YORK - Penyanyi terkenal, Taylor Swift menduduki No.1 dalam senarai majalah dalam talian Forbes.com bagi kategori selebriti yang memperoleh pendapatan tertinggi di bawah umur 30 tahun.

Menurut Forbes kelmarin, Swift, 22, memperoleh pendapatan sebanyak AS$57 juta (RM181.4 juta) mengenepikan bintang remaja terkenal, Justin Bieber yang berada di tangga kedua.

Bieber, 18, yang menerima pendapatan kira-kira AS$55 juta (RM175.1 juta) merupakan selebriti lelaki tunggal yang memperoleh pendapatan tertinggi dalam lima kedudukan teratas.

Penyanyi sensasi Rihanna pula menduduki tangga ketiga dengan pendapatan AS$53 juta (RM168.7 juta) diikuti Lady Gaga dan Katy Perry.

Sementara itu, aktres Kristen Stewart menduduki tangga ketujuh dengan anggaran pendapatan AS$34.5 juta (RM109.8 juta).

Aktor Robert Pattinson berada di tempat ke-10 apabila memperoleh pendapatan sebanyak AS$26.5 juta (RM84.3 juta). - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan