Rabu, 13 Julai 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Tiga letupan gegar Mumbai

Posted: 13 Jul 2011 01:09 PM PDT

Dunia

20 maut serangan di kawasan pusat bandar ketika waktu puncak

MUMBAI: Tiga letupan menggegarkan kota kewangan India, Mumbai, semalam ketika waktu puncak menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang maut dan lebih 80 lagi cedera.

Satu letupan berlalu di Opera House, sebuah lokasi pelancongan di selatan Mumbai, tempat militan berpangkalan di Pakistan melancarkan serangan pada 2008 menyebabkan 166 terbunuh. Letupan kedua juga di selatan kota itu bertempat di pusat berlian Zaveri Bazaar manakala letupan ketiga adalah di Dadar, pusat bandar itu yang terkenal dengan industri filem Bollywood.

Stesen berita CNN-IBN melaporkan, polis memberitahu mereka bahawa letupan itu adalah daripada bom buatan sendiri (IED) dan berlaku di kawasan padat penduduk khususnya ketika waktu puncak.

"Disebabkan serangan berlaku hampir serentak, ini adalah serangan pengganas," kata Menteri Dalam Negeri, Palaniappan Chidambaram.

Siaran televisyen CNN-IBN menunjukkan serpihan besi, motosikal dan kereta yang rosak teruk di kawasan kejadian.
"Kami ada dalam pejabat apabila satu bunyi kuat kedengaran. Keadaan kelam kabut di luar, kami lihat trak bomba dan anggotanya membawa dua atau tiga mayat," kata seorang saksi, Jasraj Jain.

Tiga letupan itu berlaku dalam tempoh 15 minit antara 6.45 petang hingga 7 malam waktu tempatan.

Saksi di luar bangunan urus niaga berlian di selatan Mumbai berkata, letupan kereta berlaku pada round 6.45 petang.

"Ramai orang cedera teruk. Kami tidak tahu berapa ramai mati tetapi letupan itu memang kuat," kata peniaga warung, Nimesh Mehta, 38.

"Saya mahu kerajaan segera ambil langkah untuk menyiasat siapa yang menjadi dalang serangan ini," kata Manohar Joshi yang mengetuai cawangan parti Shiv Sena di sini, ketika mengunjungi satu daripada tempat kejadian.

Pesuruhjaya Polis Mumbai, Arup Patnaik, memberitahu stesen televisyen bahawa IED itu diletak dalam payung di Zaveri Bazaar.

Seorang wartawan dekat Opera House berkata, anggota polis mengadakan sekatan di satu tempat letupan dan menghantar anjing pengesan bagi mencari sebarang kesan bukti manakala ambulans dan anggota bomba turut bersiap sedia.

Kementerian Dalam Negeri juga mengeluarkan arahan supaya kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh negara.

Letupan terbaru mengingatkan semula kepada keganasan tiga tahun lalu apabila militan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan, dipersalahkan.

Selain 2008, serangan lain ke atas Mumbai berlaku pada 1993 yang menyaksikan 260 orang maut di sekitar bursa saham dan kawasan lain.

Selain itu, pada 2006, lebih 180 orang terbunuh apabila militan melakukan serangan terhadap beberapa kereta api penumpang. – AP/AFP/Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

China tiada alasan kuat tuntut Spratly

Posted: 13 Jul 2011 01:05 PM PDT

Dunia

SATU kumpulan warga Filipina membantah dasar Beijing di Laut China Selatan dalam bantahan di depan konsulat China di Manila, baru-baru ini.

SATU kumpulan warga Filipina membantah dasar Beijing di Laut China Selatan dalam bantahan di depan konsulat China di Manila, baru-baru ini.

Beijing enggan rujuk tribunal PBB

MANILA: Filipina menyifatkan keengganan China untuk membenarkan sebuah tribunal tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan penyelesaian isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan menunjukkan tuntutan Beijing adalah berasaskan undang-undang lemah.

Bagaimanapun, China sekali lagi menegaskan bahawa ia tetap dengan pendirian bahawa ia sepatutnya diselesaikan secara dua hala iaitu antara pihak yang membuat tuntutan. China dan Filipina mempunyai tuntutan bertindih ke atas sebahagian Laut China Selatan yang dipercayai menyimpan banyak sumber gas dan minyak, bersama Vietnam, Brunei, Malaysia dan Taiwan.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario mengadakan mesyuarat bersama pegawai kanan di Beijing minggu lalu sebelum isu itu dirujuk kepada tribunal PBB namun China menolak cadangan itu kelmarin.

"Sikap China teragak-agak menerima cadangan Filipina boleh menjurus kepada kesimpulan bahawa Beijing mungkin tidak berupaya mengesahkan kedudukan yang dinyatakan menurut Konvensyen Undang-undang Laut PBB," kata del Rosario dalam kenyataan ringkas.

Filipina mahu pertelingkahan itu dihadapkan ke Tribunal Antarabangsa bagi Undang-Undang Laut, satu badan perundangan bebas yang ditubuhkan oleh konvensyen PBB pada 1982 bagi menguruskan hal sebegitu.
Filipina dan Vietnam sejak beberapa bulan kebelakangan ini menuduh China mengambil tindakan agresif bertambah dalam menguatkan tuntutannya ke atas perairan bertelingkah, termasuk satu insiden di mana China didakwa melepaskan tembakan ke arah nelayan Filipina.

Tuntutan China meliputi satu kawasan berbentuk U seluas 1.7 kilometer persegi (648,000 meter persegi) termasuk Kepulauan Spratly dan Paracel.

Menjawab pandangan del Rosario, jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei, berkata: "Pendirian China konsisten dan jelas. Pertikaian Laut China Selatan sepatutnya diselesaikan menerusi rundingan terus di kalangan pihak yang menuntut mengikut undang-undang antarabangsa."

Tentera China mengkritik keras tindakan tentera Amerika Syarikat pada Isnin lalu kerana mengadakan latihan di perairan yang meliputi tuntutan Beijing dan memberi amaran supaya Washington tidak campur tangan.

Ketika melawat China, Ahad lalu, pemimpin kanan tentera laut Amerika, Laksamana Mike Mullen, berkata Amerika komited untuk mengekalkan kehadirannya di rantau Asia dan menggesa isu itu diselesaikan secara aman.

China menekankan pendiriannya untuk merundingkan pertikaian itu dengan setiap negara lain yang menuntut kawasan berkenaan, strategi yang dianggap sebagai 'pecah dan perintah' oleh sesetengah pihak. – AFP/Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan