Khamis, 4 April 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Korea Selatan, Jepun sasaran

Posted: 04 Apr 2013 08:30 AM PDT

Peluru berpandu Korea Utara dihalakan kepada sekutu Amerika

Seoul: Korea Utara meletakkan peluru berpandunya yang mempunyai jarak sasaran jauh di pantai timurnya yang dipercayai menyasarkan lokasi di Korea Selatan dan Jepun.

Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Kwan-jin menolak laporan media Jepun bahawa peluru berpandu itu adalah KN-08 sebaliknya menegaskan bahawa senjata berkenaan tidak berupaya sampai ke Amerika Syarikat.

Tentera Korea Utara memberi amaran bahawa ia mendapat kebenaran melancarkan serangan terhadap Amerika menggunakan senjata nuklear lebih kecil dan ringan.

Retorik perang terbaru

Ia adalah retorik perang terbaru Pyongyang terhadap Washington dalam tempoh beberapa minggu.

Kim berkata, dia tidak tahu alasan Korea Utara mengambil langkah itu dan ia mungkin 'hanya latihan tentera'.

Kim memberitahu ahli perundangan di sebuah jawatankuasa Parlimen bahawa peluru berpandu itu ada jarak yang baik tetapi tidak mungkin sampai ke Amerika.
Beliau percaya, peluru berpandu dinamakan 'Musudan' itu mempunyai jarak sasaran 3,000 kilometer.

Ini menjadikan Jepun dan Korea Selatan sasaran berpotensi selain markas tentera Amerika di dua negara itu.

Jabatan Pertahanan Amerika pula mengumumkan ia akan menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu di Guam untuk mempertingkat perlindungan daripada serangan menerusi kerjasama serantau.

Ada pakar yang berkata, Korea Utara belum menunjukkan keupayaan peluru berpandunya mengenai jarak sasaran mahupun ketepatannya. - AP

Amaran serangan virus H7N9

Posted: 04 Apr 2013 08:28 AM PDT

Beijing: China berusaha memerangi jenis baru selesema burung yang mengorbankan tiga orang, ketika Jepun dan Hong Kong meningkatkan langkah berjaga-jaga ke atas virus itu manakala Vietnam melarang import ternakan.

Jenis baru selesema burung H7N9 tidak dipindahkan daripada manusia kepada orang lain namun pihak berkuasa di Hong Kong meningkatkan amaran awal dan berkata, mereka sedang mengambil langkah berjaga-jaga di lapangan terbang.

Tingkat amaran

Di Jepun, pihak berkuasa lapangan terbang meletakkan poster di pintu masuk memberi amaran kepada semua penumpang penerbangan dari China supaya mendapatkan pemeriksaan perubatan jika mengesyaki dijangkiti selesema burung.

Seramai 10 orang disahkan dijangkiti H7N9, semuanya di timur negara itu dan tiga yang dijangkiti meninggal dunia.

China akan mengukuhkan usaha dalam memerangi virus itu dan bekerjasama serta mengerahkan keseluruhan sistem kesihatan negara memerangi virus terbabit," kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan lewat kelmarin dalam laman webnya, (www.moh.gov.cn).

Di Hong Kong, pihak berkuasa mengaktifkan 'Tahap Maklum Balas Amaran' mengikut satu pelan persediaan untuk pandemik influenza, yang menggesa pemantauan rapat ladang ayam tempatan, pemvaksinan, latihan penghapusan dan satu penggantungan import ternakan hidup dari tanah besar.
Semua penumpang dalam penerbangan masuk dan keluar Hong Kong diminta memaklumkan anak kapal atau kakitangan lapangan terbang jika merasa tidak sihat.

Vietnam melarang import ternakan dari China, merujuk kepada risiko jangkitan H7N9, sambil meminta doktor melaporkan sebarang kes disyaki dan menasihatkan rakyat memberi perhatian terhadap kebersihan dan mengelak bersentuhan dengan haiwan, burung atau ternakan.

Sebar maklumat

Di Beijing, Kementerian Kesihatan berkata, kerajaan akan pantas menyebarkan perincian jenis baru virus ke dunia luar dan rakyatnya, selepas aduan ia terlalu lambat melaporkan wabak dan disyaki melindungi kes itu seperti Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) satu ketika dulu.

Pengguna internet China dan sesetengah akhbar mempersoalkan mengapa ia mengambil masa terlalu lama sebelum kerajaan mengumumkan kes baru.

Kerajaan berkata, ia memerlukan masa untuk mengenal pasti dengan betul virus berkenaan.

Pada 2003, pihak berkuasa pada mulanya cuba menutup epidemik SARS yang muncul di China dan mengorbankan satu persepuluh daripada 8,000 orang yang dijangkiti di seluruh dunia.

REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan