Ahad, 2 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Stesen TV diberi amaran

Posted: 02 Dec 2012 02:01 PM PST

Jakarta: Sebuah stesen televisyen Indonesia dikritik selepas menyiarkan satu rancangan hiburan yang memaparkan aksi gurauan olok-olok sehingga menimbulkan kemarahan dan memalukan mereka terbabit.

Trans TV melalui rancangan hiburan mingguannya dikenali sebagai Super Trap bukan saja disifatkan mengganggu hak peribadi tetapi turut melanggar syarat dan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI).

Dalam salah satu rancangannya Super Trap memaparkan satu segmen yang amat memalukan individu yang dipermainkan ketika mereka menggunakan sebuah tandas awam yang dilengkapi dengan kamera tersembunyi. Ketika mangsa yang langsung tidak mengesyaki apa-apa menggunakannya, dindingnya runtuh dan mendedahkan orang yang berada di dalamnya.

Segmen terbabit yang pada asalnya bertujuan mencetuskan ketawa akhirnya menarik banyak aduan dan kemarahan penonton.

"Trans TV sering kali menerima peringatan dari KPI antara Januari dan Oktober tahun ini. Kami menerima 1,500 aduan sejak semalam sebaik saja program itu disiarkan," kata timbalan pengerusi KPI, Nina Mutmainnah Armando. - Agensi

Syarikat hasilkan roti tahan 2 bulan

Posted: 02 Dec 2012 02:01 PM PST

London: Sebuah syarikat Amerika Syarikat membangunkan teknik terbaru yang didakwa mampu membuatkan roti tahan tanpa kulat selama 60 hari.

Roti terbabit dimasak di dalam ketuhar gelombang mikro khas yang mampu membunuh spora yang menyebabkan masalah kulat pada roti.

Syarikat terbabit mendakwa ini adalah penting untuk mengurangkan jumlah pembaziran roti di Britain sendiri yang hampir menyamai satu pertiga daripada roti yang dibeli.

Teknik berkenaan juga boleh digunakan untuk pelbagai makanan lain termasuk daging ayam belanda segar dan kebanyakan buah-buahan serta sayur-sayuran.

Satu daripada ancaman terbesar dalam roti adalah kulat atau cendawan. Ini kerana kebiasaannya roti akan dibungkus dalam plastik di mana air di dalam roti berkenaan akan menyejat dan terperangkap sekali gus mewujudkan permukaan yang lembap. Ini menggalakkan pertumbuhan kulat yang dikenali sebagai Rhizopus stolonifer yang menyebabkan roti terbabit cepat rosak.

Dalam kajian yang dilakukan di makmal Universiti Teknologi Texas di Lubbock, ketua eksekutifnya Don Stull menunjukkan alat ketuhar gelombang mikro yang digunakan dalam industri pengeluaran.

Bunuh kulat roti
Ia direka pada awalnya untuk membunuh bakteria seperti MRSA dan salmonella, tetapi penyelidik akhirnya mendapati ia mampu membunuh kulat dalam roti hanya dalam masa 10 saat.

"Kami memanaskan sepotong roti di dalam alat ini, kemudian memeriksa kulatnya sepanjang masa tanpa kawalan," katanya yang dipetik the Guardian.

"Dalam masa 60 hari ia memiliki kandungan kulat yang sama apabila dikeluarkan dari oven," katanya.

Stull berkata, mesin itu dibina mereka menggunakan teknologi yang sama yang didapati dalam ketuhar gelombang mikro komersial tetapi dengan beberapa perbezaan penting.

Sekiranya pembuat roti mampu menggunakan teknologi ketuhar ini, mereka juga boleh mengelak penggunaan bahan tambahan lain. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan