Ahad, 25 November 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Larry Hagman meninggal dunia

Posted:

Larry Hagman meninggal dunia

Larry Hagman meninggal dunia

GAMBAR fail menunjukkan barisan pelakon siri televisyen Dallas termasuk Hagman (dalam bulatan) dan Gray di sebelahnya.


LOS ANGELES - Pelakon Larry Hagman yang terkenal dengan watak hitam menerusi drama bersiri televisyen popular di dunia, Dallas meninggal dunia kelmarin pada umur 81 tahun kerana penyakit kanser.

Hagman yang memegang watak, J.R. Ewing dalam drama tentang sebuah keluarga usahawan minyak dan ternakan yang kaya di Texas itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Perubatan Bandar Dallas.

Beberapa ahli keluarga dan rakan rapat berada di sisinya semasa dia menghembuskan nafas terakhir.

Antara rakannya ialah aktres Linda Gray yang memegang watak isterinya, Sue Ellen yang mengalami masalah ketagih minuman keras dalam siri itu.

Seorang lagi pelakon drama itu, Patrick Duffy yang memegang watak Bobby iaitu adik J.R turut berada di sisi Hagman semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Hagman yang dilahirkan di Fort Worth, Texas pada 21 September 1931 berlakon dalam drama bersiri Dallas dari April 1978 hingga 1991 terbitan stesen televisyen CBS.

Walaupun terkenal sebagai pelakon berwatak baik sebagai Mejar Anthony Nelson dalam sitkom komedi I Dream of Jeannie pada 1965, Hagman mengecapi populariti di seluruh dunia menerusi watak J.R.

Dia melakonkan watak sebagai seorang pelaku rasuah yang mempunyai senyuman lebar, melakukan penipuan dalam perniagaan dan sebagai suami yang curang.

Salah satu siri itu yang berjudul Who Shot J.R? mencetuskan spekulasi hangat dalam kalangan peminat di seluruh dunia.

Ketika identiti pelaku yang menembak J.R didedahkan dalam satu lagi episod yang disiarkan pada November 1980, purata 41 juta penonton menyaksikannya sekali gus menjadikan ia sebagai antara program televisyen paling hebat.

Hagman pernah menjadi antara pelakon televisyen yang menerima pendapatan tertinggi menerusi Dallas.

Beliau berkahwin dengan Maj Axelsson pada tahun 1952 dan dikurniakan dua anak, Heidi Kristina dan Preston.

Namun, pada tahun 2008, Axelsson disahkan menghidap penyakit alzheimer.

Siri terbaharu Dallas mula disiarkan pada Jun 2012 di rangkaian televisyenTNT dengan Hagman masih memegang watak J.R., Gray sebagai isterinya dan Duffy kekal memegang watak Bobby.

Bagaimanapun, ia menumpukan kisah tentang anak Bobby dan J.R. - Agensi

Mesir kembali bergolak

Posted:

Mesir kembali bergolak

Mesir kembali bergolak


SEJUMLAH orang berkhemah bagi membantah dekri terbaharu Morsi di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Polis pencegah rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan para penunjuk perasaan yang berkhemah di Dataran Tahrir di sini semalam kerana membantah dekri yang dikeluarkan Presiden Mesir, Mohamed Morsi.

Pada 22 November baru-baru ini, Morsi mengeluarkan dekri yang mengumumkan setiap keputusan yang dibuatnya tidak boleh dicabar di mahkamah sehingga anggota-anggota baharu parlimen dipilih.

Para penunjuk perasaan itu dihalang polis dengan gas pemedih mata selepas mereka cuba untuk menyertai sejumlah lagi orang yang berkhemah di dataran tersebut.

Dataran itu menjadi tempat ratusan ribu orang berhimpun bagi mendesak Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada tahun lalu kerana penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Hosni kemudian meletakkan jawatan pada Februari tahun lalu.

Para penunjuk perasaan juga akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada Selasa ini.

Hakim-hakim di bandar Alexandria juga melancarkan mogok bagi membantah dekri tersebut.

Amerika Syarikat (AS) turut mengkritik dekri tersebut menerusi satu kenyataan daripada jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland.

Kelmarin, para penyokong dan penentang Morsi saling bertempur di serata Mesir selepas presiden itu mengumumkan dekri tersebut.

Pejabat parti Keadilan dan Kebebasan yang disokong Ikhwanul Muslimin turut menjadi sasaran serangan para penunjuk perasaan di Alexandria kelmarin. - Agensi

Tunjuk perasaan desak Yingluck letak jawatan

Posted:

Tunjuk perasaan desak Yingluck letak jawatan

Tunjuk perasaan desak Yingluck letak jawatan


SEBAHAGIAN penunjuk perasaan bertempur dengan polis dalam tunjuk perasaan anti-Yingluck di Bangkok semalam.


BANGKOK - Kira-kira 130 penunjuk perasaan ditangkap di sini semalam dalam tunjuk perasaan ganas yang mendesak Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan kerana pentadbirannya didakwa mengamalkan rasuah.

Jurucakap polis, Mejar Jeneral Piya Utayo berkata, sebahagian penunjuk perasaan membawa pisau dan peluru.

Beberapa anggota polis melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan para penunjuk perasaan yang hanya berjumlah ratusan orang.

Kumpulan tunjuk perasaan itu diketuai oleh bekas jeneral, Boonlert Kaewprasit yang menuduh pentadbiran Yingluck tidak mempedulikan perbuatan menghina institusi beraja dan menjadi boneka abangnya, Thaksin Shinawatra.

Thaksin digulingkan tentera pada 2006 selepas berlaku dakwaan pentadbirannya dicemari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan