Isnin, 19 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Israel terus mengganas

Posted: 19 Nov 2012 01:25 PM PST

Gaza: Mereka kata Mohammed masih hidup! jerit Khalil al-Dallu ketika penyelamat menarik mayat seorang pemuda dari sebuah kediaman musnah dek serangan udara Israel.

Seramai 29 lagi penduduk Gaza maut lewat kelmarin hingga semalam ketika operasi Israel masuk hari ke-6 yang digelar Pillar of Defence (Operasi Tunjang Pertahanan).

Khalil mengalirkan air mata apabila dimaklumkan bahawa sepupunya itu antara enam ahli keluarga al-Dallu yang maut selepas peluru berpandu Israel menggegarkan kawasan kejiranan Nasser, meruntuhkan kediaman tiga tingkat mereka.

Keluarga kami syahid! tangis beliau ketika mayat Mohammed al-Dallu dimasukkan ke dalam ambulans.

Apa dosa kanak-kanak dan bayi ini, Israel? jerit beliau. Sebelas mayat ditarik dari runtuhan bangunan itu dan kawasan sekitar.

Mayat isteri Mohammed, Suheila juga ditemui selain lima anak mereka, Jamal, Sara, Yussef, Ranin dan Ibrahim.

Mayat seorang wanita lain yang juga ahli keluarganya turut ditarik keluar. Serangan turut membunuh dua lagi jiran mereka dari keluarga Muzzana iaitu Amina Mattar, 83 dan Abdullah Mohammed, 22.
Bapa Mohammed, Jamal dan anak lelakinya, Abdullah, 17, terselamat. Ketika serangan mereka keluar membeli makanan.

Jamal sekadar mampu bersandar pada tiang elektrik sambil saudaranya memenuhi kawasan sekitar ketika cebisan mayat cucunya dikutip di kawasan yang pernah menjadi kediaman mereka.

Dalam keadaan yang hampir histeria kerana terlalu marah dan sedih, Ibrahim menjerit: Jangan beritahu abangnya Abdullah. Trauma akan membunuhnya! Abdullah, 26 pada masa ini belajar di Turki dalam bidang perubatan.

Di Ramallah, pergerakan Fatah dan Hamas memutuskan untuk bersatu ketika krisis berlangsung di Gaza.

Sesiapa yang kata kami tidak bersepakat adalah penjenayah mulai hari ini, kata pemimpin kanan Hamas, Mahmud al-Ramahi ketika 1,000 orang berhimpun membantah keganasan Yahudi.

Mulai sekarang, kami umumkan tiada lagi perpecahan, kata pegawai kanan Fatah, Jibril Rajoub.
AFP

Eropah boikot firma Yahudi

Posted: 19 Nov 2012 01:18 PM PST

Stockholm: Musim panas 2011 mencatat rekod baru bagi syarikat Israel dan antarabangsa yang terbabit dalam pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat.

Antara kesan paling ketara berikutan kempen pemulauan produk buatan Israel di Eropah ialah apabila pengeksport sayur terbesar negara Yahudi itu, Agrexco, bankrap.

Satu lagi firma ialah Veolia dari Perancis yang mendapat kontrak Kerajaan Israel untuk memberi khidmat kereta api kepada pendatang Yahudi di Tebing Barat. Veolia mengumumkan kerugian besar berikutan tekanan aktivis di seluruh dunia.

Terbaru, di Sweden, pengeluar minuman bergas Israel, Sodastream, menerima tamparan hebat selepas pasar raya Coop mengumumkan 19 Julai lalu bahawa ia akan berhenti membeli produk dari penempatan haram Yahudi.

Ia adalah kemenangan penting bagi pergerakan BDS (boikot, pilih pelaburan dan sekatan) kerana Sweden adalah pasaran terbesar Sodastream dengan seorang setiap lima pemilik rumah memiliki produknya.

Syarikat Israel itu menjadi sasaran kempen aktivis Sweden sejak dua tahun lalu. Aktivis mendedahkan syarikat itu menjadi tali barut penjajahan di wilayah Palestin.

Kilang utama Sodastream terletak di Mishor Adumim, zon industri terletak di penempatan Yahudi iaitu Maaleh Adumim di Tebing Barat.
Coop Sweden memiliki 21.5 peratus pasaran peruncitan tempatan. Ia membuat keputusan tidak lagi berurusan dengan Sodastream selepas televisyen menyiarkan laporan memaparkan operasi Sodastream di Mishor Adumim.

Menggunakan maklumat wartawan Israel dan pertubuhan hak asasi manusia selain data korporat Sodastream, laporan TV4 menunjukkan, firma itu dan pengedarnya di Sweden, Empire tidak bercakap benar, iaitu produknya yang dijual di Sweden adalah daripada penempatan haram Yahudi.

Tiga tahun lalu, Empire berjanji bahawa ia tidak lagi akan mengedarkan produk dari penempatan haram Yahudi.

Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan