Isnin, 1 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Lagi protes di Jakarta

Posted:

Lagi protes di Jakarta

SEBAHAGIAN penunjuk perasaan berhimpun di luar Kedutaan Amerika Syarikat
di Jakarta semalam.


JAKARTA, Indonesia - Beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di sekitar ibu kota Indonesia di sini untuk memprotes filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Jurucakap polis Jakarta, Kolonel Rikwanto menganggarkan sekurang-kurangnya 5,000 orang menyertai demonstrasi itu yang berlangsung semalam.

Mereka berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang dikawal ketat oleh ratusan anggota polis.

Demonstrasi tersebut berlangsung dalam suasana aman.

Tunjuk perasaan tersebut dianjurkan oleh sebuah parti politik berteraskan Islam, Parti Keadilan Sejahtera yang melaungkan slogan anti-AS.

Ramai antara mereka memakai jubah putih dan membawa sepanduk yang membidas kebebasan bersuara di AS.

Protes terhadap filem tersebut turut diadakan di beberapa buah bandar lain di Indonesia baru-baru ini. - Agensi

Tentera Bashar bedil kawasan pemberontak

Posted:

Tentera Bashar bedil kawasan pemberontak

BEBERAPA anggota tentera pemerintah berlari semasa pertempuran berlaku dengan anggota-anggota kumpulan pemberontak di Tal al-Zarazir, utara Aleppo kelmarin.


ALEPPO, Syria - Tentera Presiden Bashar Al-Assad membedil kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak di seluruh Syria semalam ketika beberapa pertempuran sengit dilaporkan berlaku di bandar raya ini.

Sebuah pasar lama turut terbakar semasa pertempuran tercetus di sini semalam.

Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, pertempuran di bandar raya ini melibatkan bedilan meriam.

Menurut kumpulan tersebut, serangan artileri menyebabkan sejumlah rumah musnah dan sekurang-kurangnya lima orang termasuk dua penduduk awam terbunuh.

Bandar raya ini yang merupakan bandar berpenduduk paling padat di Syria menjadi medan peperangan utama dalam konflik yang telah berlanjutan selama 18 bulan itu.

Namun, pertempuran di sini memuncak sejak beberapa hari lalu.

Kebanyakan keganasan berlaku di sekitar Bandar Lama di sini yang turut menyaksikan sebuah pasar lama terbakar.

Seorang koresponden agensi berita AFP dan kumpulan pemerhati itu memberitahu, banyak kedai musnah dalam kebakaran tersebut.

Pertempuran sengit turut dilaporkan berlaku di wilayah Aleppo, utara Syria dengan dua helikopter milik tentera rejim Bashar di lapangan terbang tentera Al-Nairab rosak terkena bedilan mortar pemberontak.

Di wilayah Damsyik pula, pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) membunuh lapan askar pemerintah dalam serangan ke atas sebuah pos kawalan tentera di sebatang jalan yang menghubungkan bandar raya Damsyik dengan bandar Qatana, di selatan negara itu.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Khaled Al-Masri memberitahu, Ketua Pejabat Utusan Keamanan PBB-Liga Arab di Syria, Mokhtar Lamani mengadakan pertemuan dengan seorang komander FSA, Kolonel Kassem Saadeddine di tengah negara berkenaan.

Namun, agenda perbincangan mereka tidak didedahkan.

Menurut kumpulan pemerhati berkenaan, seramai 118 orang iaitu 48 orang awam, 41 askar dan 29 pemberontak terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria kelmarin.

Laporan yang sama menyatakan lebih 30,000 orang terkorban sejak kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahan Bashar tercetus pada Mac 2011. - AFP

1,000 banduan menari tarian kuda

Posted:

1,000 banduan menari tarian kuda

PSY (tengah) menari tarian kuda di New York pada 14 September lalu.


MANILA - Seramai 1,000 banduan di Filipina menari tarian kuda yang dipopularkan oleh penyanyi rap Korea Selatan, Psy menerusi lagu Gangnam Style.

Klip video mengenai tarian kuda selama empat minit oleh banduan itu dimuat naik di laman perkongsian video YouTube oleh pihak berkuasa penjara di bandar Cebu kelmarin.

Para banduan tersebut menari di pekarangan penjara Pusat Pemulihan dan Tahanan di Cebu.

Sebahagian daripada banduan tersebut memakai baju berwarna oren.

Sejumlah lagi penari memakai baju berwarna hitam.

Rangkaian televisyen GMA melaporkan, lebih 1,000 orang telah menonton klip video itu di YouTube setakat ini.

Ia merupakan persembahan awam pertama oleh banduan berkenaan sejak Februari lalu.

Banduan-banduan tersebut pernah menjadi terkenal di internet pada 2007 selepas mereka meniru tarian Michael Jackson menerusi klip video Thriller.

Tarian kuda itu kini menjadi popular di kebanyakan negara termasuk di Amerika Syarikat.

Muzik video Gangnam Style itu telah ditonton lebih 324 juta kali di YouTube sejak ia dimuat naik pada 15 Julai lalu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan