Selasa, 17 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Baling topeng ke arah ketua pentadbiran Hong Kong

Posted:

Baling topeng ke arah ketua pentadbiran Hong Kong

KWOK-HUNG membaling topeng ke arah Chun-ying.


HONG KONG - Seorang anggota perwakilan Liga Demokrat Sosial, Leung Kwok-hung diusir keluar dari dewan Majlis Perundangan selepas beliau membaling topeng ke arah Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying semalam.

Menurut akhbar The Standard, Kwok-hung melakukan perbuatan itu selepas beliau tidak berpuas hati dengan Chun-ying yang gagal memberi jawapan yang memuaskan.

Chun-ying memberi jawapan itu selepas Kwok-hung bertanya tentang kes pembinaan struktur haram di kediaman Ketua Pegawai Eksekutif tersebut.

Bagaimanapun, topeng itu tidak mengenainya.

Kwong-hung kemudian ditahan oleh beberapa anggota keselamatan dan dibawa keluar daripada dewan tersebut.

Kes pembinaan bangunan haram di kediaman mewah Chun-ying itu mendapat liputan meluas akhbar sebelum ini menyebabkan beliau meminta maaf berhubung isu tersebut.

Namun, dalam jawapannya, Chun-ying menyatakan beliau cuai tentang status pembinaan kediaman tersebut.

Struktur haram itu kemudian telah dirobohkan.

Chun-ying dipilih dalam pemilihan Ketua Pegawai Eksekutif pada Mac lalu bagi mengetuai pentadbiran Hong Kong. - Agensi

Lawat saudara selepas lima tahun dipenjara

Posted:

Lawat saudara selepas lima tahun dipenjara

SEORANG anggota keluarga Palestin yang menaiki bas di bandar Gaza menunjukkan isyarat keamanan tangan semasa dia dalam perjalanan ke sebuah penjara Israel semalam.


GAZA - Pihak berkuasa Israel membenarkan 40 penduduk Palestin dari Genting Gaza melawat saudara-mara mereka yang ditahan di beberapa buah penjara Israel semalam, kata beberapa pegawai.

Mereka berkata, lawatan itu yang pertama sejak lima tahun lalu dilaksanakan bagi memenuhi syarat perjanjian untuk menamatkan mogok lapar dalam kalangan banduan Palestin pada Mei lalu.

"Seramai 40 orang yang terdiri daripada anggota keluarga 24 banduan baru sahaja tiba di Penjara Ramon," kata seorang jurucakap Perkhidmatan Penjara.

Menurutnya, lawatan saudara banduan dari Gaza akan diadakan pada setiap minggu.

Israel melarang lawatan oleh keluarga banduan dari Gaza sejak tahun 2007, beberapa bulan selepas askar Israel, Koperal Gilad Shalit diculik oleh pejuang-pejuang Palestin.

Shalit dibebaskan bersama pertukaran 1,000 banduan Palestin dalam satu persetujuan yang diusahakan oleh Mesir pada 2011. - Reuters

Punca kematian anak Stallone belum diketahui

Posted:

Punca kematian anak Stallone belum diketahui

GAMBAR fail menunjukkan Sage (kiri) bersama bapanya, Stallone di Los Angeles pada 5 Disember 1996.


LOS ANGELES - Bedah siasat ke atas anak lelaki aktor Hollywood, Sylvester Stallone, Sage dilakukan di sini kelmarin selepas dia meninggal dunia secara mengejut, kata beberapa pegawai.

Anak sulung Stallone itu yang juga seorang pelakon ditemui mati di kediamannya pada Jumaat lalu di Hollywood.

Beberapa laporan mendakwa Sage, 36, mati akibat pengambilan dos dadah berlebihan.

Menurut agensi berita AFP semalam, jurucakap Pejabat Koroner Daerah Los Angeles, Cheryl MacWillie berkata, keputusan ujian toksikologi akan mengambil masa sekitar 10 minggu selepas bedah siasat itu dilakukan.

Sejumlah botol ubat preskripsi telah dibawa anggota-anggota pihak berkuasa daripada kediamannya.

Namun, pihak berkuasa menyatakan ubat tersebut mungkin antara punca kematiannya.

Menurut Penolong Ketua Koroner Daerah Los Angeles, Ed Winter, tiada tanda-tanda perbuatan khianat, trauma atau sekeping nota bunuh diri ditemui pada mayatnya.

Sage pernah muncul dalam filem Rocky V sebagai Rocky Balboa Jr. bersama Stallone pada tahun 1990 dan mereka turut bergandingan pada tahun 2006 dalam filem Daylight.

Stallone berada di San Diego untuk mempromosikan filem terbaharunya, Expendables 2 apabila dia diberitahu mengenai kematian anaknya.

Menurut peguam Stallone, George Braunstein, Sage tidak kelihatan murung sebelum kematiannya.

"Dia berfikir tetang perkahwinannya," katanya.

Sage dikatakan akan melangsungkan perkahwinannya dengan kekasih lamanya di Las Vegas. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan