Jumaat, 29 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Morsi angkat sumpah hari ini

Posted: 29 Jun 2012 01:49 PM PDT

Dunia

Presiden baru Mesir sampaikan ucapan di Dataran Tahrir

KAHERAH: Presiden Mesir, Mohamed Morsi, menyampaikan ucapan kepada rakyat negara itu dari Dataran Tahrir semalam, sehari sebelum beliau mengangkat sumpah di sebalik kesukaran menjalin kerjasama dengan tentera.

Morsi mengambil bahagian dalam perhimpunan jutaan rakyat Mesir di Dataran Tahrir dan di seluruh negara, agensi berita rasmi, MENA, memetik jurucakap Yasser Ali sebagai berkata, beliau akan memberi ucapan kepada rakyat negara itu.

Morsi berucap mengenai usaha melancarkan program untuk kelahiran semula Mesir. Sementara itu, Ikhwanul Muslimin menggesa perhimpunan besar-besaran diadakan di dataran itu dengan slogan: 'Hari peralihan kuasa'. - Yasser Ali, Jurucakap kerajaan

Ali berkata, Morsi akan berucap mengenai usaha melancarkan program untuk kelahiran semula Mesir. Sementara itu, Ikhwanul Muslimin menggesa perhimpunan besar-besaran diadakan di dataran itu dengan slogan: 'Hari peralihan kuasa.'

Pejabat presiden mengumumkan lewat kelmarin Morsi akan mengangkat sumpah esok (hari ini) di depan Mahkamah Perlembagaan, selepas perbezaan pendapat dengan tentera berhubung penyerahan kuasa kepada presiden awam pertama negara itu.

Morsi akan pergi ke Mahkamah Perlembagaan pada jam 11.00 pagi waktu tempatan untuk mengangkat sumpah, kata kenyataan yang dikeluarkan MENA.

Beliau kemudian akan pergi ke Universiti Kaherah untuk meraikan pengurniaan itu dan menyampaikan ucapan kepada rakyat.
Laporan media menyebut Morsi berunding dengan pelbagai lapisan masyarakat sebelum melantik Perdana Menteri dan Kabinet kebanyakannya dianggotai golongan teknokrat.

Secara tradisi, presiden mengangkat sumpah di Parlimen tetapi mahkamah tinggi Mesir mengarahkan pembubaran dewan yang dikuasai anggota perundangan Ikhawanul Muslimin itu.

Tentera memegang kuasa perundangan dan juga membentuk majlis keselamatan berpengaruh diketuai presiden tetapi dikuasai jeneral. Dengan bersetuju mengangkat sumpah di Mahkamah Perundangan, Morsi mengakui keputusan mahkamah membubarkan Parlimen.

Presiden awam pertama Mesir, dan yang pertama dilantik sejak kebangkitan rakyat yang menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak tahun lalu, masih perlu bersaing dengan Majlis Agung Pasukan Bersenjata (SCAF).

SCAF, yang mengambil alih kuasa selepas peletakan jawatan Mubarak, akan kekal memegang kuasa walaupun selepas ia secara rasmi menyerahkan kawalan kepada Morsi.

Ia turut mengekalkan hak melantik ahli perundangan baru jika yang dilantik Parlimen perlu dibubarkan oleh keputusan mahkamah yang dijangkat 1 September ini.

Namun Ikhwanul Muslimin menegaskan cuma Parlimen boleh berbuat demikian. – AFP


China tolak campur tangan isu Spratly

Posted: 29 Jun 2012 01:47 PM PDT

Dunia

BEIJING: China menolak sebarang campur tangan pihak ketiga dalam mencari penyelesaian isu tuntutan Kepulauan Spratly, termasuk oleh ASEAN atau Amerika Syarikat.

Ini disebabkan Beijing memegang pendirian bahawa penyelesaian isu tuntutan berkenaan perlu menerusi rundingan dua hala, kata jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei.

"Berikan kami sedikit masa dan ruang supaya rundingan dapat diadakan bagi menyelesaikannya. Tidak perlu ada campur tangan pihak ketiga.

Isu ini bukannya di antara China dan ASEAN tetapi dengan negara yang menuntut. - Hong Lei, Jurucakap Kementerian Luar China

"Isu ini bukannya di antara China dan ASEAN tetapi dengan negara yang menuntut (kawasan itu)," katanya.

Hong Lei memberi pandangan ketika ditemui 18 wartawan Asia yang menyertai program 'China dan media negara jiran' di sini.

Beliau menerangkan dasar China mengenai Spratly menjelang sidang Menteri Luar ASEAN di Phnom Penh tidak lama lagi yang dijangka turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton.

Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan mempunyai tuntutan di sebahagian Spratly manakala China menuntut keseluruhan kepulauan itu.
Kelmarin, seorang lagi pegawai China memberi amaran Beijing tidak dapat menjamin konflik tidak meletus di Spratly kerana ia bergantung kepada tindakan negara lain yang menuntutnya.

Spratly kembali menjadi isu selepas Vietnam meluluskan undang-undang mengisytiharkan kawasan tuntutan di Spratly sebagai miliknya.
Selain itu, Filipina pula memperkukuh tuntutan selepas membuka tadika di pulau Pag-asa di Spratly.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan