Rabu, 30 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pengasas WikiLeaks kena ekstradisi

Posted: 30 May 2012 08:57 AM PDT

Dunia

PENYOKONG Assange  memegang poster di hadapan Mahkamah Agung Britain,  di London, semalam. - Foto EPA

PENYOKONG Assange memegang poster di hadapan Mahkamah Agung Britain, di London, semalam. - Foto EPA

LONDON: Mahkamah Agung Britain memutuskan semalam bahawa pengasas WikiLeaks, Julian Assange, boleh diekstradisi ke Sweden untuk disoal mengenai dakwaan melakukan jenayah seksual.

Pada masa sama, hakim turut memberi tempoh dua minggu kepada Assange untuk mencari jalan membuka semula kesnya.

Hakim mahkamah tertinggi Britain menolak dengan majoriti 5-2 hujah Assange bahawa waran tangkap Eropah ke atasnya tidak sah. Rayuan Assange bergantung kepada isu teknikal perundangan bukan dakwaan salah laku seksual atau tuduhannya bahawa Amerika Syarikat mendesak Britain dan Sweden bertindak ke atasnya.

Peguamnya berkata, Waran Tangkap Eropah (EAW) tidak sah kerana ia dikeluarkan pendakwa raya dan bukan seorang hakim atau mahkamah seperti diperlukan di Britain.

Pendakwa raya yang bertindak untuk Sweden berkata, negara berbeza memiliki prosedur perundangan berbeza yang dibenarkan mengikut format perjanjian EAW.

Dua mahkamah rendah sudah menyokong ekstradisi Assange, seorang juru kempen anti-dokumen rahsia yang mengkritik dasar Washington.
Pendakwa raya Sweden mahu menyoal Assange berhubung dakwaan merogol dan serangan seksual dibuat dua bekas sukarelawan WikiLeaks.

Assange berjuang menentang ekstradisinya sejak mula ditahan di Britain pada Disember 2010.

Bekas penggodam komputer itu mendapat perhatian antarabangsa pada 2010 apabila WikiLeaks mula mendedahkan rakaman video rahsia dan ribuan kabel diplomatik Amerika mengenai Iraq dan Afghanistan.

Ia adalah tindakan membocorkan butir-butir dokumen sulit terbesar dalam sejarah Amerika.

Meskipun tindakan itu menjadikannya seorang hero bagi aktivis yang menentang tapisan maklumat tetapi dia dianggap satu ancaman oleh Washington dan negara lain.

Assange juga dikritik banyak pihak yang menuduhnya menyebabkan nyawa orang lain dalam bahaya dengan mendedahkan identiti mereka yang bercakap dengan diplomat dan ejen perisikan kerana ia menyebabkan mereka terancam di negara tertentu.

Sejak itu, WikiLeaks semakin lenyap daripada tajuk muka depan akhbar berikutan kekurangan pendedahan sensasi selain sekatan syarikat kad kredit yang menyukarkan sumbangan kepada laman web pertubuhan itu.

Reputasi Assange juga terjejas disebabkan dakwaan seks terhadapnya di Sweden hingga kehilangan ramai penyokong daripada kalangan selebriti.

Sejak penahanannya, Assange dikenakan peraturan ketat di bawah syarat tahanan di sebuah rumah agam penyokongnya di timur England. Dia menjalani tahanan selama 540 hari tanpa didakwa. – Reuters


Awas virus Flame: PBB

Posted: 30 May 2012 08:56 AM PDT

Dunia

BOSTON: Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membantu negara anggota melindungi infrastruktur nasional, memberi amaran mengenai bahaya virus Flame yang baru-baru menyerang komputer di Iran dan tempat lain di Asia Barat.

"Amaran ancaman siber ini adalah yang paling serius," kata Marco Obiso, koordinator keselamatan siber Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) PBB di Geneva.

Amaran sulit itu akan memaklumkan negara anggota bahawa virus Flame adalah alat perisikan berbahaya yang berpotensi digunakan untuk menyerang infrastruktur kritikal, katanya ketika ditemuramah kelmarin. "Mereka perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga," katanya, menambah bahawa beliau percaya Flame kemungkinan dibangunkan untuk negara tertentu.

Amaran itu adalah isyarat terbaru satu era baru peperangan siber sudah bermula selepas serangan virus Stuxnet 2010 yang menyasarkan program nuklear Iran.

Amerika Syarikat secara terang-terang berkata buat kali pertama tahun lalu bahawa ia berhak bertindak menggunakan kekerasan jika menghadapi serangan siber.

Bukti menunjukkan virus Flame mungkin dibina satu atau negara yang melancarkan cecacing Stuxnet untuk menyerang program nuklear Iran pada 2010, menurut Kaspersky Lab, pembuat perisian keselamatan siber Russia yang menemui Flame.
"Saya fikir ia adalah ancaman lebih serius berbanding Stuxnet," kata Obiso. Katanya, ITU akan membangunkan satu program untuk mengumpul data, termasuk sampel virus, bagi mengesan penyebaran Flame di seluruh dunia dan memantau sebarang perubahan dalam komposisinya.

Kaspersky Lab menemui Flame selepas ITU memintanya menyiasat laporan terbaru Tehran bahawa satu virus misteri bertanggungjawab atas kehilangan data besar-besaran dalam sesetengah sistem komputer Iran. – AFP

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan