Rabu, 18 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pelacur antara tetamu ejen AS

Posted: 18 Apr 2012 12:44 PM PDT

Dunia

Mark Sullivan

Mark Sullivan

Senator Republikan dedah pengawal Obama berparti di kelab tarian bogel

WASHINGTON: Seramai 21 wanita, sebahagiannya pelacur, dibawa masuk bilik hotel penginapan ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat dan anggota tentera minggu lalu dengan setiap seorang diberi AS$60 (RM180), kata seorang senator Republikan, kelmarin.

"Sebelas 11 ejen sulit terbabit. Seramai 20 atau 21 wanita asing dibawa ke hotel manakala anggota Marin terbabit dengan selebihnya," kata Senator Susan Collins dari Maine menerusi e-mel, selepas diberi taklimat oleh pengarah Perkhidmatan Rahsia, Mark Sullivan.

Sullivan wajar berang dengan tindakan ejen terbabit dan sedang melancarkan siasatan dalaman secara intensif. Beliau mengarahkan semua ejen terbabit pulang ke Washington dengan segera dan semua sudah disoal. - Susan Collins, Anggota Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Senat

Stesen CBS News melaporkan, pasukan pengawal Presiden Barack Obama sedang berparti di sebuah kelab tarian bogel 'The Pley,' 48 jam sebelum Obama tiba di Colombia.

Sebelas ejen sulit dan 10 anggota tentera menemui wanita berkenaan dan membayar AS$60 setiap seorang untuk datang ke hotel Cartagena, tempat penginapan mereka.

NBC News pula melaporkan, dua penyelia ejen dan tiga anggota pasukan gerak khas adalah antara 11 petugas yang dituduh terbabit dalam salah laku di Colombia.
Sumber polis tempatan berkata, ejen terbabit membawa masuk pelacur ke bilik hotel mereka sebelum Obama tiba.
"Sullivan wajar berang dengan tindakan ejen terbabit dan sedang melancarkan siasatan dalaman secara intensif. Beliau mengarahkan semua ejen terbabit pulang ke Washington dengan segera dan semua sudah disoal," kata Collins, anggota Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Senat.

Semakin banyak butir-butir kejadian yang mencemarkan lawatan Obama ke Sidang Negara Amerika di Cartagena, disiarkan sejak kelmarin.

Jurucakap Marin, berkata dua petugas unit anjing yang ditetapkan menyokong pasukan Perkhidmatan Rahsia sedang disiasat bagi menentukan sama ada mereka terbabit 'mendapatkan' pelacur.

Kapten Kevin Schultz berkata, anggota Marin itu sebahagian daripada ahli pasukan tinjauan dan tidak berhubung secara langsung dengan Presiden.

Seorang lagi ahli perundangan yang menyoal Sullivan ialah Peter King dan beliau berkata, penyiasat Perkhidmatan Rahsia di Colombia sudah menemubual semua wanita yang terbabit.

"Hingga ini, tiada maklumat ada di kalangan mereka adalah anggota sindiket dadah atau pengganas mahupun jenayah terancang.

"Juga tiada tanda-tanda mereka yang mencari ejen berkenaan," katanya, menjawab pertanyaan kemungkinan ejen dan askar Amerika diperangkap. King berkata, seorang ejen membawa masuk seorang wanita ke bilik mereka.

"Sebilangan ejen terbabit juga menganggap wanita berkenaan bukan pelacur," katanya. – Reuters/Agensi

Taliban minta umat Islam hulur derma terus perjuangan

Posted: 18 Apr 2012 12:43 PM PDT

Dunia

KABUL: Pergerakan Taliban Afghanistan semalam mengemukakan rayuan kepada Dunia Islam supaya memberi sumbangan kepada mereka bagi membantu meneruskan perjuangan, suatu permintaan yang ditafsirkan penganalisis sebagai sebahagian perang media.

Rayuan itu yang turut mengandungi maklumat lengkap talian telefon dan alamat e-mel disiarkan menerusi laman web Taliban ditujukan kepada umat Islam di seluruh dunia supaya membantu mereka melaksanakan 'jihad' menentang penceroboh asing di negara Islam.

Pergerakan Taliban berkuasa di Afghanistan antara 1996 dan 2001 namun digulingkan dalam satu kempen ketenteraan diketuai Amerika Syarikat selepas enggan menyerahkan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, dikehendaki Washington sebagai dalang serangan 11 September 2001 (9/11) di New York dan Pennsylvania. Sejak disingkirkan pemerintahan, saki baki militia itu melancarkan pemberontakan.

"Mengikut syariah, semua orang Islam berkewajipan menyertai jihad sama ada dengan wang atau jiwa," kata kumpulan itu.

"Anggota Taliban masih melancarkan jihad bersendirian dengan bantuan orang perseorangan yang amat mencintai Islam dan memerlukan bantuan kewangan daripada saudara seagama di seluruh dunia untuk perbelanjaan ketenteraan dan bukan tentera," tambahnya.

Rayuan itu jelas sebahagian kempen media pemberontak, tindakan yang bertujuan menunjukkan kempen mereka disokong oleh ramai orang, kata penganalisis, Abdul Waheed Wafa.
"Saya fikir ia adalah sebahagian propaganda perang Taliban." kata Wafa, pengarah Pusat Afghanistan, sebuah badan penyelidikan di Universiti Kabul.

"Mereka cuba menunjukkan jihad mereka disokong dan dana mereka datangnya daripada sumber berkenaan," tambah Wafa.

Menurut perisikan Barat dan Afghanistan, kebanyakan dana Taliban dijana daripada pengeluaran candu berbilion dolar, bahan mentah membuat heroin. Afghanistan menghasilkan lebih 90 peratus candu dunia. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan