Ahad, 25 Mac 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Guru wanita digantung tugas kerana hormati penyerang Yahudi

Posted: 24 Mar 2012 09:06 AM PDT

ROUEN (Perancis): Kerajaan semalam menggantung tugas seorang guru kerana dituduh meminta pelajarnya bertafakur seminit bagi menghormati Mohamed Merah sehari selepas penyerang bersenjata api itu ditembak mati.

Menteri Pendidikan Perancis, Luc Chatel, mengarahkan guru wanita terbabit dikenakan tindakan selepas dia berkata kepada pelajarnya, Mohamed seorang "mangsa" dan hubungan lelaki itu dengan al-Qaeda direka media serta "Sarko" - gelaran yang merujuk kepada Presiden Nicolas Sarkozy.


Pegawai pendidikan tempatan, Florence Robine, berkata langkah penggantungan serta-merta itu diputuskan serentak dengan perintah melarang guru terbabit memasuki sekolahnya.

"Bagaimanapun, penggantungan ini tidak bermakna guru terbabit bersalah," katanya.


Perwakilan pelajar yang menduduki tahun akhir di utara bandar Rouen menulis kepada pengetua sekolah berkenaan bagi menyatakan rasa "terkejut" dengan pendirian guru terbabit.


Insiden itu dilaporkan berlaku ketika guru wanita itu mengajar subjek bahasa Inggeris.

Dia didakwa memberi penghormatan kepada Mohamed - yang mendakwa dirinya sebagai anggota al-Qaeda dan bertanggungjawab membunuh tujuh orang, termasuk tiga tentera dan kanak-kanak Yahudi.


Sebahagian besar pelajar kelas itu keluar, manakala selebihnya tidak berganjak da "cuba memahami apa yang diperkatakan" guru terbabit. - AFP



Waris Whitney belum puas

Posted: 24 Mar 2012 09:05 AM PDT

LOS ANGELES: Keluarga Whitney Houston merayu polis supaya meneruskan siasatan bagi mengesan individu bertanggungjawab membekal kokain yang menyumbang kepada kematian penyanyi itu.

Walaupun koroner setakat ini tidak bercadang meneruskan siasatan lanjut, ahli keluarga Whitney turut mengesyaki mungkin ada pihak tertentu yang membersihkan bukti di bilik Whitney menemui ajal sebelum polis tiba pada 11 Februari lalu.


Media semalam melaporkan, keluarga Whitney sukar menerima kenyataan bahawa penyanyi itu masih mengambil dadah.

Memetik sumber yang enggan dikenali, media melaporkan, keluarga Whitney yakin mendiang kini bebas daripada pengaruh dadah.


"Kenyataan polis bahawa Whitney mengambil kokain sesuatu yang baru dan pasti ada seseorang boleh dipersalahkan," katanya.


Kelmarin, koroner Los Angeles mengesahkan Whitney, 48, mati akibat lemas dalam tab mandi selepas mengambil dadah.

Ujian juga menunjukkan, bekas pelakon filem Bodyguard itu pengguna kokain tegar dan mengalami masalah jantung akibat pengambilan bahan berkenaan.


Semalam, pegawai koroner memberitahu media, pihak berkuasa tiada sebarang rancangan untuk melanjutkan siasatan kes kematian itu dan menganggapnya sebagai kemalangan.

Kes itu akan ditutup secara rasmi sebaik saja laporan mengenainya disiapkan. Kemelut hidup Whitney sering dikaitkan dengan perkahwinannya selama 14 tahun dengan penyanyi R&B, Bobby Brown ketika dia berada di puncak populariti. - TS



Tiada ulasan:

Catat Komen