Ahad, 25 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan

Posted: 25 Mar 2012 02:17 PM PDT

Dunia

BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai,  selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.

BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai, selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.

KANDAHAR: Keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh anggota tentera Amerika Syarikat (AS) akan menerima pampasan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Tentera AS membayar ganti rugi sebanyak AS$50,000 (RM150,000) bagi setiap mangsa yang terbunuh dan AS$11,000 (RM33,000) bagi setiap seorang yang cedera.
BBC melaporkan, keluarga mangsa menghadiri pertemuan sulit dengan pegawai tentera AS dan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di pejabat gabenor Kandahar untuk membincangkan mengenai perkara itu. Anggota majlis daerah Kandahar, Agha Lalai, berkata wang itu dipercayai diperoleh daripada Presiden Barack Obama tetapi pegawai AS enggan memberikan sebarang reaksi.
Keluarga mangsa diberitahu sebahagian saksi sudah dibawa ke AS untuk memberikan keterangan manakala yang lain akan mengambil bahagian menerusi video apabila Staf Sarjan Robert Bales dibicarakan berhubung tragedi di daerah Panjwai pada malam 11 Mac lalu.

Jumaat lalu, tentera AS berkata, Bales akan didakwa dengan 17 tuduhan secara rasmi melakukan pembunuhan terancang membabitkan sembilan kanak-kanak dan lapan orang dewasa Afghanistan.

Bales, 38, juga didakwa dengan enam tuduhan cubaan membunuh seorang lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak.
Dia kini ditahan dipenjara tentera di Fort Leavenworth, Kansas, selepas dibawa keluar dari Afghanistan minggu lalu.

Peguam Bales, John Henry Browne yang tidak mempedulikan laporan bahawa anak guamnya mabuk pada malam pembunuhan, berkata Bales tidak ingat mengenai kejadian itu.

John Henry Browne berkata, tiada bukti forensik terhadap Bales dan tidak pengakuan dibuat.

Bales ialah satu-satunya suspek dalam pembunuhan berkenaan di sebalik dakwaan Afghanistan lebih daripada seorang tentera AS terbabit dalam kejadian itu.

Perbicaraannya mungkin mengambil masa bertahun-tahun, bertentangan dengan tuntutan Afghanistan yang mahukan keadilan pantas dan tegas, dan dia berdepan hukuman mati jika disabitkan.

Kes terbabit mengeruhkan lagi hubungan Kabul dan Washington manakala Taliban menarik diri daripada rundingan damai berikutan kejadian itu. – Agensi/AP

Tentera Syria guna perisai manusia

Posted: 25 Mar 2012 02:15 PM PDT

Dunia

BEIRUT: Pergerakan Human Rights Watch (HRW) semalam berkata rejim tentera di Syria menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia untuk melindungi diri daripada diserang pemberontak.

Memetik kenyataan saksi dan video YouTube, ia menuduh tentera dan militan Shabiha pro-rejim memaksa rakyat berarak di depan mereka ketika memasuki bandar yang dikawal pembangkang di Idlib.

"Dengan menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia, tentera Syria menunjukkan secara terang-terangan tidak mempedulikan keselamatan mereka. "Tentera Syria perlu menghentikan perbuatan hina ini dengan segera," kata penyelidik kecemasan HRW, Ole Solvang, dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan, kumpulan hak asasi manusia yang beribu pejabat di New York itu berkata rejim tentera mula menggunakan perisai manusia di Idlib pada awal tahun selepas pemberontak cuba menyerang tentera.

Taktik itu dilaporkan digunakan di bandar Al-Janudyah, Kafr Nabl, Kafr Ruma dan Ayn Laruz di Idlib.

Di Kafr Nabl, seorang penduduk dikenali sebagai Abdullah berkata tentera memaksa dia dan beberapa penduduk lagi berjalan di depan kereta perisai ketika operasi memburu dan menangkap 2 Mac lalu.
"Kami hendak pergi solat Jumaat apabila tentera dari pangkalan berhampiran masjid mengepung kami. Mereka menahan 25 orang termasuk saya dan lapan kanak-kanak.

"Mereka memaksa kami berarak di depan dan di keliling kenderaan tentera ke beberapa rumah untuk menggeledah mencari aktivis pembangkang yang dikehendaki.

"Mereka menahan beberapa orang. Kemudian mereka memaksa kami berarak kembali ke pangkalan, sebelum membebaskan melepaskan kami selain aktivis yang ditahan. Seluruh operasi berterusan kira-kira dua jam," Abdullah dipetik sebagai berkata oleh HRW.

Aktivis pembangkan di Kafr Nabl, Raed Fares, berkata tentera meningkatkan kehadiran mereka di bandar apabila bantahan bermula tujuh bulan lalu dan mula menggunakan perisai manusia Januari lalu selepas cubaan menyerang mereka dengan bom tepi jalan. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Komen