Rabu, 28 September 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kunyah bata macam makan biskut

Posted: 27 Sep 2011 09:41 AM PDT

TERRY HAUTE: Seorang kanak-kanak mempunyai selera makan yang ganjil sehingga pernah memakan seluruh mentol lampu dan mengunyah bata seperti mengunyah biskut.

Natalie Hayhurst sentiasa terdedah kepada meracun dirinya sendiri kerana menghidap penyakit yang membuatkan dia berselera terhadap objek yang tidak boleh dimakan.

Seleranya begitu teruk sehinggakan kanak-kanak berusia tiga tahun itu hampir mati selepas memakan mentol lampu yang dicabutnya di bilik tidurnya.
Makanan kegemarannya ialah batu dan kayu. Dia pernah memakan hampir sebiji bata seolah-olah seperti memakan biskut coklat

Ibunya, Colleen, 31 berkata, setiap hari dia terpaksa berusaha melarang anaknya memakan sesuatu yang boleh menyebabkan dia mati.

Colleen berkata: "Dia tidak mencuba makan kaca begitu banyak kerana ia mencederakannya. Tetapi dia akan cuba makan batu dan kayu yang ditemuinya di taman.

"Dia boleh makan bata seperti orang biasa makan biskut coklat. Dia sedar benda tu tidak bagus untuknya. Tetapi keinginan itu begitu tinggi bagi seorang kanak-kanak untuk menanganinya."

Natalie menghidap Pica, sejenis penyakit yang membuka selera penghidapnya terhadap bahan yang tidak berzat.

Colleen, dari Terre Haute, Indiana, Amerika Syarikat menceritakan bagaimana penyakit itu hampir menyebabkan dia mati.

"Saya menidurkan Natty sebelum pergi ke dapur untuk membasuh. Tiba-tiba dia masuk dan memegang seutas wayar kecil. Mulutnya berdarah dan saya tahu apa yang terjadi.

"Dia makan mentol lampu, semua sekali kecuali wayar itu. Saya serta-merta membawanya ke pusat perubatan.

"Saya begitu cemas,. Mujur dia tidak apa-apa," katanya.

Sejak kejadian itu, Natalie sentiasa diperhatikan oleh Collen, suaminya, David, dan anak lelaki mereka, Andrew.

Colleen, pengurus pejabat berkata: "Natalie tidak menunjukkan keganjilan setiap hari.

"Ada ketika, dia hanya sekali-sekala cuba memakan sesuatu yang berbahaya. Tetapi pada masa lain, dia sentiasa berkeinginan untuk memakan benda itu.

"Yang paling membimbangkan ialah mungkin satu hari kelak dia memakan sesuatu yang beracun dan kami tidak sempat untuk bertindak menyelamatkannya." - TS

Bayi dua muka dilahir di Pakistan

Posted: 27 Sep 2011 09:39 AM PDT

RAWALPINDI: Seorang bayi dengan dua muka dilahirkan di Holy Family Hospital (HFH) Khamis lalu.

Bayi itu yang seberat 3.2 kilogram, menghidap keadaan yang jarang berlaku yang dikenali sebagai salinan kraniofacial iaitu satu kepala dengan dua muka.


Kecuali telinga, bayi itu memiliki dua hidung, dua pasang bibir dengan sumbing pada bahagian atas bibir kanan dan dua pasang mata.

Bercakap kepada akhbar The nation, pakar perubatan di HFH, Dr Nasira berkata, kemungkinan bayi itu untuk hidup lebih lama adalah terlalu tipis.


"Kami tidak menaruh harapan mengenai hayatnya," katanya.


Menurut Nasira, keadaan bayi itu tidak sama seperti kembar siam yang boleh dipisahkan menerusi pembedahan.

"Pembedahan tidak mungkin dapat dilakukan kerana kedua-dua mukanya bercantum begitu rapat," kata pakar itu.


Nasira berkata, bayi itu dilahirkan menerusi proses biasa dan si ibu masih berada di bilik bersalin untuk menjalani rawatan.

Menurut doktor bertugas di Bilik Bersalin, keadaan ibu bayi itu, Shahida Perven stabil. Dia bagaimanapun kelihatan bimbang dan tidak banyak bercakap.


Shahida dibawa ke HFH dari Palandri, sebuah daerah di Azad Jammu dan Kashmir (AJK) beberapa hari sebelum melahirkan bayi dua muka itu.


Wanita itu mempunyai dua anak yang normal sebelum ini.


Suaminya, Khalil Ahmed bekerja sebagai buruh.


Kelahiran bayi dengan dua muka itu mencetuskan sensasi di bandar berkenaan menyebabkan sejumlah besar penduduk, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua bekerumun di Jabatan Kanak-Kanak untuk melihatnya.


Kesesakan yang berlaku menyebabkan pihak hospital terpaksa meminta bantuan polis bagi mengawal orang ramai. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Komen