Ahad, 13 Februari 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Bimbang pasca Hosni Mubarak

Posted:

Bimbang pasca Hosni Mubarak

Bimbang pasca Hosni Mubarak

Oleh Johardy Ibrahim

KAHERAH 13 Feb. – Wujud suatu perasaan kebimbangan pada sebilangan besar rakyat Mesir mengenai masa depan mereka pasca Hosni Mubarak, apatah lagi nasib mereka kini di tangan majlis tertinggi tentera yang mengurus tadbir negara sebelum pilihan raya.

Kekhuatiran itu disuarakan tatkala rakyat Mesir memenuhi jalan raya, menari, melaungkan slogan merdeka sambil mengibar-gibarkan bendera untuk malam kedua berturut-turut merayakan pengunduran presiden yang telah memerintah Mesir secara kuku besi hampir 30 tahun.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kota Kaherah juga mendapati beberapa jalan utama di daerah-daerah perniagaan ditutup oleh orang ramai yang berhimpun dan merayakan secara beramai-ramai sambil bermain bunga api dan cahaya laser.

Perintah berkurung masih dikuatkuasakan oleh tentera tetapi lebih singkat iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi, berbanding kali terakhir Khamis lalu iaitu 8 malam hingga 6 pagi. Di simpang jalan yang sesak, terdapat dua anggota berpakaian seragam iaitu polis dan tentera mengawal lalu lintas.

Hari Ahad ini yang merupakan hari bekerja di Mesir, menyaksikan Kaherah kembali sibuk dan kesesakan luar biasa mewarnai semula jalan raya di seluruh Kaherah. Pos kawalan tentera di sebelah hotel yang didiami Utusan juga telah bersurai dan tiada lagi pagi ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Dataran Tahrir semalam mendapati pemeriksaan masuk oleh petugas keselamatan penunjuk perasaan masih wujud tetapi tidak seketat sebelum kejatuhan Mubarak. Anggota tentera dalam dua kereta kebal juga masih berada di akses utama tetapi kelihatan santai dan melayan permintaan orang ramai untuk bergambar di atas kereta kebal.

Sekumpulan anak muda yang merupakan pelajar kolej dan universiti, menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar dataran. Lengkap dengan penyapu dan plastik sampah, mereka berbuat demikian sebagai simbol kepada hari baru di Mesir. Ada yang memakai sepanduk yang dilekat pada baju 'Maaf atas gangguan, kami sedang membina semula Mesir'.

Kumpulan penunjuk perasaan juga menari-nari di sekitar dataran dan di pentas utama, ketua-ketua penunjuk perasaan memberi ucapan kepada orang ramai. Mereka memberitahu mahu kekal berkampung di Dataran Tahrir sehingga kerajaan awam yang bebas dan terpilih berjaya dibentuk.

Di sebelah petang semalam, satu acara memperingati penunjuk perasaan yang terbunuh sepanjang 18 hari protes diadakan di dataran tersebut. Orang ramai menabur bunga di atas satu batu besar yang menjadi benteng keselamatan di situ.

Tamer Khyrat, 30, berasal dari daerah Giza di sini, telah menyertai tunjuk perasaan di Dataran Tahrir sejak seminggu yang lalu dan hari ini mahu pulang ke kampungnya untuk berehat.

''Hari ini adalah hari yang hebat bagi semua rakyat Mesir. Hari ini kita bergembira. Tetapi saya tidak pasti apa akan berlaku esok dan hari-hari yang akan datang.

''Ini kerana selepas Mubarak, kami belum ada calon presiden baru. Namun saya mahu percaya bahawa tentera akan memenuhi janji mereka untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat," katanya.

Rakannya, Al-Rahman, 22, pula berharap rakyat Mesir kekal bersatu selepas berjaya menamatkan penguasaan Mubarak.

''Jangan nanti bila berebut kuasa dalam pilihan raya, negara ini menjadi kucar-kacir. Hargailah pengorbanan syahid-syahid di dataran ini. Janganlah sia-siakan pengorbanan mereka," katanya.

Seorang pekedai, Hussayn juga mengambil pendekatan realistik terhadap konflik di negaranya itu. ''Sudah tiga minggu kawasan pelancongan tidak dikunjungi pelancong. Perniagaan saya dan semua di kawasan ini terjejas.

''Saya gembira dengan apa yang berlaku kerana tidak ada pertumpahan darah. Tetapi saya tidak pasti apakah saya gembira dengan pengunduran Mubarak sebab kita tidak ada calon pengganti yang sehebat dia," katanya.

Menurutnya, bagi golongan peniaga seperti dirinya, isu paling kritikal bagi mereka ialah bagaimana dapat mengekalkan kesinambungan hidup kesan daripada ketiadaan pelancong akibat penentangan terhadap Mubarak beberapa minggu ini. – UTUSAN

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berarak ke Istana Presiden

Posted:

Berarak ke Istana Presiden

Berarak ke Istana Presiden

SANAA 13 Feb. - Penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan polis dalam tunjuk perasaan yang masuk hari ketiga, apabila polis bertindak menghalang mereka berarak ke Istana Presiden di Sanaa, hari ini.

Empat cedera termasuk seorang wanita, apabila penunjuk perasaan bertindak balas membaling batu ke arah polis, manakala 10 penunjuk perasaan ditahan, kata saksi.

Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan sebahagian besarnya mahasiswa berarak menuju Dataran Universiti Al-Sabiine terletak berhampiran Istana Presiden, melaungkan slogan-slogan mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan.

Kejadian itu berlaku, tidak lama selepas pembangkang bersetuju mengadakan perundingan dengan Presiden Ali Abdullah Saleh, yang kini sedang berusaha untuk mengelak pemberontakan ala-Mesir merebak di negara ini.

Di selatan kota Taez, polis menggunakan cota bagi meleraikan beratus-ratus penunjuk perasaan, semalam dan 120 orang ditahan.

"Penduduk Yemen mahu menumbangkan rejim sedia ada," jerit penunjuk perasaan semasa mengadakan demonstrasi di Sanaa, sebelum berpuluh-puluh yang lain mula berarak menujuk ke Istana Presiden.

Tunjuk perasaan antikerajaan di Yemen terus meningkatkan momentumnya sejak ia mula tercetus awal bulan ini setelah mendapat inspirasi daripada tunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir dengan berpuluh-puluh ribu penduduk menyertai tunjuk perasaan sempena "Hari Kemarahan" anjuran pembangkang bagi menuntut perubahan kerajaan.

Sejak beberapa hari lalu, pertempuran mula tercetus antara penyokong kerajaan dan kumpulan antikerajaan.

Saleh, yang telah berkuasa lebih tiga dekad dan bimbang dengan pergolakan di beberapa negara Arab, telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada 2013 dan menyatakan bahawa anak lelakinya tidak akan mengambil alih kerajaan. Beliau juga mempelawa pembangkang untuk berunding.

"Pembangkang tidak menolak pelawaan Presiden untuk berunding dan bersedia untuk menandatangani perjanjian dalam tempoh seminggu," kata bekas Menteri Luar, Mohammed Basindwa, yang kini merupakan seorang ahli politik pembangkang, sambil menambah kata, rundingan akan disertai pemerhati dari negara Teluk dan Barat.

Pembangkang Yemen mahu jaminan daripada kerajaan untuk melaksanakan perubahan dan menuntut supaya taraf hidup 40 peratus rakyat Yemen yang tinggal dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang AS$2 sehari ditingkatkan, dengan satu pertiga daripada mereka hidup melarat. - Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan