Isnin, 31 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Masih hidup walau dua kali diisytihar mati

Posted: 30 Dec 2012 08:32 AM PST

TOMSK (Siberia) : Seorang nenek dua kali bangkit daripada mati, malah terselamat selepas tiga hari berada di sebuah rumah mayat.

Wanita Russia berusia 61 tahun itu diisytiharkan mati sebanyak dua kali oleh doktor tetapi hidup semula, termasuk beberapa minit sebelum dibedah siasat.

Hardy Lyudmila Steblitskaya menghabiskan masa tiga hari di rumah mayat yang sejuk ketika keluarganya meratapi kematian bekas tukang masak itu di rumah mereka.

Akhbar Siberian Times melaporkan, kali pertama Hardy mengejutkan doktor, rakan dan keluarganya ialah November tahun lalu dan kali kedua pada Oktober tahun ini.


Dalam kejadian tahun lalu, dia dibawa ke Hospital Wilayah Tomsk dan dirawat beberapa hari kerana tidak sihat.


Apabila anaknya, Anastasia, 29, menelefon hospital, dia diberitahu bahawa ibunya sudah mati.

Anastasia yang begitu sedih mula merancang majlis pengebumian ibunya dan menyampaikan berita itu kepada rakan dan anggota keluarga lain.

Dia membelanjakan RM6,000 untuk membeli bunga, keranda, urusan gali kubur serta makanan.

Apabila dia ke hospital untuk mengambil mayat Hardy, dia diberitahu supaya tunggu kerana doktor belum menjalankan bedah siasat.

Seorang doktor yang kelihatan terkejut kemudian memberitahu ibunya tidak mati dan masih bernafas di katilnya.

Anastasia yang hampir tidak percaya dengan kata-kata doktor itu, memasuki bilik ibunya dan mendapati wanita itu memanggill namanya. Dia menjerit sehingga beg yang dipegangnya terlepas.

"Saya begitu terkejut hingga terlupa untuk masuk semula ke bilik itu dan memeluk ibu saya. Sebaliknya saya menelefon rakan dan keluarga dan meminta supaya kerja menggali kubur dihentikan," katanya kepada akhbar itu.

Ibunya hanya ingat bahawa dia berada di hospital itu pada hari Jumaat dan terjaga di rumah mayat pada Isnin.

Pada Oktober lalu, Hardy yang menghidap sakit jantung, dikatakan sudah tidak bernyawa lagi ketika dimasukkan ke sebuah hospital tetapi kali ini doktor berjaya menyedarkannya semula selepas beberapa jam. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



2 organ suami selamat isteri

Posted: 30 Dec 2012 08:30 AM PST

LONDON: Tidak mungkin ada hadiah yang begitu berharga daripada yang diberikan David Whaymand kepada isterinya pada Krismas lalu.

Apabila Carolyn yang menghidap fibrosis sista (cystic fibrosis) diberitahu buah pinggangnya gagal berfungsi dan satu-satunya harapan untuk pulih ialah dengan menjalani pemindahan, suaminya tanpa teragak-agak menawarkan satu daripada buah pinggangnya.


Ia satu tindakan penuh kasih sayang dan membuatkan David gembira untuk melakukannya selepas 15 tahun berkahwin dengan buah hatinya sejak kanak-kanak lagi.

Namun, apa yang menjadikan pengorbanannya lebih menakjubkan ialah, dalam keadaan terdesak yang sama 13 tahun lalu, dia memberikan sebahagian daripada peparunya kepada Carolyn.


Dua sumbangan itu dipercayai adalah yang pertama di dunia. Doktor dan pakar pemindahan berkata, setakat ini tidak ada kes seorang penderma yang masih hidup menyumbangkan dua organnya. Ini kerana bahaya yang dihadapi dalam pembedahan seumpama itu.


Hakikat bahawa penerima dalam kedua-dua kes itu ialah isteri David sendiri menjadikan kisah ini lebih menarik memandangkan adalah sesuatu yang luar biasa bagi seorang suami berupaya mendermakan kepada isterinya kerana untuk mencari organ yang sesuai bagi tujuan pemindahan amatlah sukar.

Pembedahan terbaru itu berjaya dilakukan di Hospital Hamersmith di London Barat pada 12 Disember lalu dan pasangan itu sempat merayakan Krismas bersama di kediaman mereka yang berharga RM2.5 juta di Ingatestone, Essex.


David, 39, akauntan di bank JP Morgan berkata: "Mereka berkata, perkahwinan adalah dalam sakit dan sihat. Apabila saya mengahwini Carolyn. saya tahu ia bukan perkara mudah kerana dia mungkin mati tanpa menjalani pemindahan peparu. Saya tidak teragak-agak untuk menjadi penderma.

"Saya sudah bersedia untuk melakukan pengorbanan yang boleh menyebabkan kedua-dua kami mati.


"Saya tidak sanggup untuk melihat Carolyn mati kerana tidak dapat penderma peparu.


"Dan apabila dia memerlukan buah pinggang, sudah tentu saya bersedia untuk berkorban sekali lagi. "Ia lebih mudah daripada pembedahan pertama," katanya.


Bagi Carolyn, peguam yang berusia 42 tahun, ia amat sukar untuk menjelaskan pengorbangan David kepadanya.


"Dia lebih bimbangkan penderitaan saya daripada penderitaannya sendiri," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



Tiada ulasan:

Catat Ulasan