Isnin, 31 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Datuk, nenek ketagih Facebook

Posted: 31 Dec 2012 02:52 PM PST

Warga tua Britain mahir komunikasi dalam talian

London: Berbanding mengangkat telefon, ramai datuk nenek masa kini menggunakan laman rangkaian sosial untuk berhubung dengan saudara mara, dengan hampir satu perempat nenek mendakwa mereka pengguna kerap Facebook.

Kajian turut mendedahkan separuh penduduk di Britain kini berhubung dengan datuk nenek dan saudara lebih tua melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan Facebook.

Hampir seorang bagi setiap 20 generasi muda mendakwa mempunyai datuk nenek dalam laman mikro blogging, Twitter.

Kajian syarikat filem

Menurut tinjauan dijalankan syarikat perfileman, Twentieth Century Fox untuk menandakan pelancaran filem Parental Guidance, hampir suku datuk nenek di Britain kini memiliki komputer riba dan seorang bagi setiap 20 orang sering berkomunikasi dengan cucu mereka dalam Skype atau ruang sembang. Seorang bagi setiap 10 malah memiliki komputer tablet canggih.

Separuh daripadanya mahir menghantar SMS, 46 peratus pengguna kerap e-mel dan 15 peratus menghantar mesej dalam Facebook, lapor akhbar Daily Mail.

500 responden

Daripada 500 datuk nenek yang ditinjau, 78 peratus menggambarkan mereka mahir berkomunikasi secara dalam talian.

Lebih 35 peratus berpendapat, penting menonjolkan diri secara online untuk berhubung dengan keluarga.

Kajian mendapati dua pertiga orang muda berkata, purata datuk nenek masa kini lebih mahir dalam teknologi maklumat berbanding lima tahun lalu. - Agensi

Syria sokong henti konflik

Posted: 31 Dec 2012 02:50 PM PST

Damsyik: Kerajaan Syria semalam mengalu-alukan sebarang inisiatif rundingan bagi menamatkan pertumpahan darah di negara itu, selepas utusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi krisis Syria, Lakhdar Brahimi berkata beliau memiliki satu pelan damai diterima semua pihak.

Pendirian terbaru rejim dilahirkan Perdana Menteri Wael al-Halaqi, ketika Brahimi meningkatkan usaha untuk mencari jalan menamatkan konflik 21 bulan itu.

Pelan damai

"Kerajaan sedang berusaha menyokong projek penyatuan kebangsaan dan akan memberi maklum balas kepada sebarang inisiatif serantau atau antarabangsa yang akan menyelesaikan krisis terkini menerusi dialog dan pelan damai serta menghalang campur tangan asing dalam hal dalaman Syria," kata Halaqi kepada parlimen.

Halaqi menekankan kebangkitan menentang rejim Presiden Bashar al-Assad, yang meragut 45,000 nyawa, perlu diselesaikan hanya oleh rakyat Syria, 'tanpa tekanan luaran atau dekri'.

Negara itu, katanya 'menuju ke arah saat bersejarah' apabila ia mengisytiharkan kejayaan ke atas musuhnya, dengan sasaran menempatkan Syria dalam pembangunan satu dunia baru yang mempromosi kedaulatan negara dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Kenyataan Halaqi dibuat selepas Brahimi berkata konflik Syria semakin teruk hari demi hari.
Bercakap selepas rundingan di Russia, tokoh veteran dari Algeria itu berkata kelmarin beliau sudah merangka satu pelan gencatan senjata "yang mungkin diguna pakai masyarakat antarabangsa."

Jangka gencatan senjata

"Saya sudah membincangkan pelan ini bersama Russia dan Syria. Saya fikir cadangan ini dapat diguna pakai masyarakat antarabangsa," kata Brahimi tanpa mendedahkan sebarang perincian.

"Ada cadangan untuk penyelesaian politik berdasarkan pengisytiharan Geneva yang menjangka satu gencatan senjata, membentuk kerajaan lengkap dengan keistimewaan dan satu pelan untuk pilihan raya parlimen dan presiden," katanya merujuk kepada satu inisiatif damai yang dipersetujui kuasa dunia Jun lalu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan