Selasa, 11 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Bayi antara 6 korban terbaru selatan Thai

Posted: 11 Dec 2012 01:12 PM PST

Tiga lelaki berpakaian hitam serang kedai kopi

Narathiwat: Sekurang-kurangnya enam orang termasuk bayi berusia 11 bulan terbunuh, apabila sekumpulan lelaki bersenjata menarik trak pikap, melepaskan tembakan ke arah sebuah kedai kopi di Rangae, Narathiwat awal pagi semalam, kata polis.

Pegawai kanan balai polis Rangae, Kapten Boonsak Noomaad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7.30 pagi waktu tempatan.
Polis menemui sekurang-kurangnya 40 katrij raifal AK 47 dan M16 bertaburan di tempat kejadian," Boonsak Noomaad, Pegawai kanan balai polis Rangae

"Sepasukan polis dan askar dikejarkan ke lokasi kejadian, menemui sekurang-kurangnya 40 katrij raifal AK 47 dan M16 bertaburan di situ," katanya.

Beliau berkata, bayi malang itu dikenali sebagai Ephani Samoh. Mangsa lain yang terbunuh adalah Kabaree Hoh, 37, Pangor Nimae, 74 dan Ameesi Jehdoh, 23.

Cedera di kepala, badan

Semua mangsa mengalami kecederaan akibat tembakan di kepala dan badan.
Pemilik kedai kopi, Piyawat Mong berkata, sebuah lori pikap dinaiki tiga orang lelaki berhenti di luar kedai kopi ketika dia bersama isterinya, Kamera Mama berniaga.

Semua lelaki terbabit yang berpakaian hitam melepaskan tembakan ke arah kedai kopi itu yang biasanya penuh dengan pelanggan pada waktu pagi. Mereka kemudian melarikan diri.

Lima lagi mangsa cedera parah dalam kejadian terbabit antaranya termasuk seorang bayi berusia 10 bulan dan seorang lelaki berusia 74 tahun. Mereka dikejarkan ke Hospital Rangae tidak jauh dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian kedua pada sebelah petang, seorang guru besar wanita dan seorang guru lelaki ditembak mati ketika makan tengah hari di kafeteria kakitangan sebuah sekolah di Pattani.

Polis berkata, sekurang-kurangnya enam lelaki bersenjata mencuri kenderaan sekolah untuk melarikan diri.

Buka semula sekolah

Sementara itu, 300 sekolah dibuka semula selepas ditutup seminggu berikutan kegagalan kerajaan memberi jaminan keselamatan kakitangan pendidikan.

Penutupan sekolah berkenaan adalah berikutan kematian seorang guru perempuan, Nuntana Kaewchan, 51 yang ditembak mati 100 meter dari sekolahnya dalam kejadian di Pattani bulan lalu. - Agensi

PM Mali kena tangkap

Posted: 11 Dec 2012 01:09 PM PST

Bamako: Tentera Mali menahan Perdana Menteri Cheick Modibo Diarra lewat kelmarin ketika beliau cuba meninggalkan negara itu untuk menuju ke Perancis, kata jurucakap tentera.

"Beliau mahu meninggalkan negara selepas mencetuskan masalah," kata jurucakap sekumpulan tentera yang merampas kuasa dalam rampasan kuasa Mac lalu, Bakary Mariko. Kumpulan itu kekal berkuasa selepas menyerahkan kuasa kembali kepada kerajaan awam awal tahun ini. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan