Rabu, 31 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Obama isytihar bencana besar

Posted:

Obama isytihar bencana besar

BEBERAPA buah kereta tenggelam di New York.


NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengisytiharkan bencana besar di New York ekoran taufan Sandy yang menyebabkan banyak kemusnahan.

Obama mengisytiharkan bencana besar itu di negeri New York dan New Jersey.

Taufan itu melanda kelmarin sebelum ia meninggalkan New York semalam.

Pengisytiharan itu akan menyebabkan pinjaman dan geran akan dikeluarkan bagi membantu mangsa-mangsa untuk membaiki dan memperoleh rumah buat sementara.

Taufan itu membawa ombak gergasi yang melanda kawasan Pantai Timur AS.

Bursa Saham New York dan Nasdaq turut ditutup semalam.

Sementara itu, sebanyak 50 buah rumah terbakar di kawasan kediaman di bandar raya ini akibat taufan tersebut.

Hanya dua orang dilaporkan cedera dalam kebakaran tersebut.

Menurut laporan media, seramai 25 orang dilaporkan terperangkap di tingkat atas sebuah apartmen dalam kejadian tersebut.

Anggota-anggota bomba menggunakan bot untuk tiba di lokasi tersebut kerana jalan dipenuhi air.

Dua buah loji nuklear AS juga ditutup iaitu di New Jersey dan di tepi Sungai Delaware.

Menurut firma Eqecat, kerugian akibat taufan itu dianggarkan AS$20 bilion (RM61.04 bilion). - Agensi

Angkasawan lihat Sandy dari angkasa lepas

Posted:

Angkasawan lihat Sandy dari angkasa lepas

IMEJ satelit yang dirakamkan kelmarin menunjukkan taufan Sandy di luar pantai timur Amerika Syarikat.


CAPE CANAVERAL, Florida - Taufan Sandy yang membawa kemusnahan besar di pantai timur Amerika Syarikat (AS) dapat dilihat dari angkasa lepas.

Komander Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sunita Williams semalam menyatakan dia dan seorang kru lain dapat melihat lingkaran besar Sandy semasa ia mendekati pantai timur itu.

Keluarga Sunita tinggal di New England dan dia membuat pemerhatian dengan teliti di wilayah tersebut.

Taufan Sandy itu melanda New York kelmarin sehingga mengakibatkan hampir keseluruhan bandar raya tersebut tenggelam.

Seramai 18 orang mati di tujuh buah negeri termasuk Kanada.

Kematian itu akibat dihempap pokok, rumah runtuh, terkena serpihan yang berterbangan dan renjatan elektrik.

Taufan itu tiba di New Jersey malam kelmarin dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam.

Lebih enam juta penduduk terputus bekalan elektrik dari Carolina ke Ohio.

Sementara itu, kempen pilihan raya presiden terpaksa ditangguhkan selama seminggu.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts dengan Presiden AS, Barack Obama.

Taufan itu juga menyebabkan sistem tren bawah tanah di bandar raya New York mengalami kerosakan teruk dalam tempoh 108 tahun.

"Ia akan menjadi salah satu rekod," kata Naib Presiden Kanan Consolidated Edison, John Miksad.

Beliau menyatakan, lebih 670,000 pelanggan syarikat itu yang tidak mendapat bekalan elektrik akibat taufan tersebut di bandar raya New York. - Agensi

Pesawat lama dijadikan tadika

Posted:

Pesawat lama dijadikan tadika

SEBAHAGIAN kanak-kanak yang belajar di dalam pesawat Yakovlev Yak-42.


RUSTAVI, Georgia - Pihak pengurusan sebuah tadika membeli sebuah pesawat lama, Yakovlev Yak-42 di bandar ini.

Pesawat itu diubah suai untuk dijadikan sebuah tadika yang mempunyai 15 kanak-kanak.

Menurut Reaktor Institut Hubungan Sosial Ukraine-Georgia, Gari Chapidze, pesawat kecil tersebut akan menjadikan kanak-kanak itu berasa seronok untuk belajar di tadika.

Chapidze berkata, kanak-kanak itu dibenarkan bermain dengan menekan 1,500 butang di kokpit pesawat berkenaan.

Institut itu menguruskan pentadbiran tadika tersebut.

Pihak institut berkenaan mengenakan bayaran sebanyak 70 euro (RM276.72) sebulan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Pesawat itu dibina syarikat Saratov Aviation Plant, Rusia. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan