Ahad, 22 Julai 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


19,106 korban konflik Syria

Posted: 22 Jul 2012 02:57 PM PDT

Ratusan penduduk lari ketika helikopter lancar bedilan

Beirut: Seramai 19,106 terbunuh dalam keganasan di Syria sejak pemberontakan meletus tahun lalu, kata pertubuhan bukan kerajaan, Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, semalam. "Lebih 19,106 kebanyakannya orang awam, terbunuh sejak Mac tahun lalu," kata pegawai pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman.
Orang awam terbunuh

Daripada angka itu, 13,295 adalah orang awam, 4,861 askar kerajaan dan 949 yang berpaling tadah," katanya.

Ada sebahagian korban awam itu disebabkan mereka mengangkat senjata terhadap pemerintah.

"Angka itu tidak membabitkan beribu-ribu lagi yang hilang selepas ditahan. Ia juga tidak termasuk ribuan askar yang maut tetapi tidak dinyatakan bagi memastikan semangat tentera terus tinggi," katanya.
Pertempuran berterusan

Pertubuhan itu mendedahkan angka korban ketika tentera menggempur daerah Barzeh di Damsyik, manakala pertempuran berterusan di bandar kedua terbesar, Aleppo.

"Briged ke-4 menggempur Barzeh. Ia diketuai adik (Presiden) Bashar (al-Assad), Maher," kata Abdel Rahman.

Katanya, ratusan penduduk di situ lari ketika helikopter melancarkan bedilan dan penembak tepat ditempatkan di bumbung bangunan.

"Ramai anggota tentera terbabit dalam operasi di Barzeh," katanya.

Tentera kerajaan juga berkawal di pinggir daerah Mazzeh di Damsyik. Seorang maut dan beberapa lagi cedera di situ semalam.

Pertempuran juga sengit di beberapa kawasan Aleppo termasuk daerah Salaheddin dan Sakhur.

Seramai 164 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria kelmarin, termasuk 86 orang awam, 49 askar dan 29 pemberontak.

Daripada mereka yang terbunuh, 27 orang awam maut dalam pertempuran di wilayah Homs termasuk dua wanita dan enam kanak-kanak di bandar Rastan yang dibedil sejak beberapa bulan lalu oleh tentera kerajaan. - AFP

‘The Joker’ tiru aksi penyerang Norway

Posted: 22 Jul 2012 02:54 PM PDT

James Holmes ikut manifesto serangan Anders Behring Breivik

AURORA: Pembunuh 12 penonton di sebuah panggung wayang Denver dan menggelar dirinya 'The Joker' dilaporkan mengikut nasihat penyerang Norway, Anders Behring Breivik, apabila melakukan serangan ketika tayangan filem Batman: The Dark Knight Rises di sini, Jumaat lalu. James Holmes mengikut manifesto Breivik menyarankan penggunaan raifal, senapang patah, bom asap, senapang AR15 yang mampu melepaskan 100 kali tembakan, senapang Remington dan dua pistol Glock.
Holmes juga mengikut apa yang disuruh Breivik dengan memakai pelindung leher, badan dan topeng gas mengikut manifesto 1,500 muka surat itu.

Malah, Holmes, 24, menjadi ahli sebuah laman web dewasa mengikut cadangan Breivik supaya kerap melakukan hubungan seks sebelum serangan.

Pasang bom di rumah

Seperti dalam manifesto itu, Holmes memasang letupan untuk meledak jika diganggu dalam pangsapurinya. Wayar dipasang pada bom di kediamannya.
Anggota polis bagaimanapun berjaya mematikan bom dengan melakukan letupan terkawal di kediaman penyerang.

Breivik, 33, membunuh 77 orang tahun lalu dengan meletupkan bom kereta di Oslo sebelum melepaskan tembakan terhadap anggota Parti Buruh cawangan belia di Pulau Utoya.

Pihak berkuasa enggan membincangkan motif serangan terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat, ketika saudara-mara mangsa mula berkabung.

Holmes baru-baru ini menarik diri daripada meneruskan pengajian program ijazah sarjana muda dalam bidang sains saraf di Universiti Colorado-Denver sebagai seorang daripada enam pelajar yang mendapat geran Institut Kesihatan Nasional.

Dia mengambil bahagian dalam peperiksaan intensif lisan tiga bahagian menandakan tamatnya tahun pertama pengajian program empat tahun, namun pegawai universiti tidak mengatakan jika dia lulus.

Dalam satu biodata dihantar ke Monster.com, Holmes menyifatkan dirinya sebagai seorang saintis bercita-cita tinggi.

Biodata itu, kali pertama diperoleh The Press-Enterprise di Riverside, memberi gambaran seorang lelaki muda bijak penuh potensi. - AP/Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan