Rabu, 18 Julai 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Menteri Syria kena bom

Posted: 18 Jul 2012 08:28 AM PDT

Serangan berlaku ketika menteri, pegawai bermesyuarat

Beirut: Seorang penyerang menyerbu bangunan keselamatan kebangsaan di ibu negara Syria sebelum meletupkan bom yang mengorbankan Menteri Pertahanan Negara, Dawoud Rajha dan beberapa pegawai kanan kerajaan semalam. Rajha, 65, adalah pegawai kerajaan paling kanan yang terbunuh sejak perang saudara di Syria bagi menggulingkan Presiden Bashar Assad. Serangan berlaku ketika menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan sedang mengadakan mesyuarat.
Ibu negara Syria digegarkan dengan pertempuran berterusan antara tentera kerajaan dan pemberontak sejak empat hari lalu, insiden yang dilihat cabaran besar kepada pemerintahan kerajaan.

Rajha, bekas panglima tentera adalah pegawai paling kanan beragama Kristian di dalam kerajaan Assad. Beliau dilantik tahun lalu.

Kematiannya meningkatkan kebimbangan 10 peratus penduduk minoriti Kristian yang berkata mereka terdedah kepada keganasan dan terperangkap di tengah pertempuran antara puak Islam di negara dengan 22 juta penduduk itu.

Sementara itu, seorang panglima Syria dan beberapa anggota tentera dilaporkan berpaling tadah ke Turki, kata seorang diplomat Turki kepada AFP menjadikan bilangan jeneral dari rejim Bashar al-Assad yang belot kini sekurang-kurangnya 18 orang.
Turki menempatkan berpuluh pegawai berpaling tada yang merentasi sempadan dan membentuk Tentera Pembebasan Syria menentang rejim Assad.

Kejadian terbaru ini menjadikan bilangan panglima melarikan diri ke Turki seramai 18 orang sejak konflik di Syria tercetus Mac tahun lalu.

Diplomat Turki yang enggan mendedahkan nama berkata hampir 42,700 pelarian Syria kini tinggal di kem berhampiran sempadan Syria.

"Kami melihat peningkatan bilangan penduduk Syria tiba di Turki, termasuk tentera," kata diplomat terbabit. - AFP

Jong-Un jadi panglima tertinggi

Posted: 18 Jul 2012 08:26 AM PDT

Langkah perkukuhkan kuasa ke atas pertahanan Korea Utara

Seoul: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un semalam dianugerahkan panglima tertinggi tentera negara itu, jawatan yang pernah dipegang bapanya sebelum ini, kata Pyongyang semalam yang dilihat sebagai tanda pengganti muda dinasti komunis itu mengukuhkan kuasanya. Langkah itu menyusul rombakan dengan penyingkiran ketua tentera Ri Yong-Ho daripada pangkatnya berikutan 'sakit' manakala Hyon Yong-Cho yang kurang dikenali dinaikkan pangkat timbalan panglima, memberi laluan kepada beliau mengetuai tentera dengan kekuatan 1.2 juta anggota.
"Satu keputusan dibuat untuk menganugerahkan pangkat Panglima Republik Demokratik Rakyat Korea Utara kepada Kim Jong-Un, komander tertinggi Tentera Rakyat Korea," kata agensi rasmi Korean Central News Agency (KCNA) sebaik saja menyiarkan kenyataan mengenai satu laporan penting itu.

Keputusan dibuat bersama pada Selasa oleh beberapa parti dan pegawai tertinggi, kata KCNA. Pangkat Panglima itu dipegang kedua-dua bapa Jong-Un, Kim Jong-II dan datuknya, Kim II-Sung, pengasas Korea Utara.

II-Sung dinaikkan pangkat pada 1992, dua tahun sebelum kematiannya akibat serangan jantung, manakala Jong-II dinaikkan pangkat pada Februari selepas kematiannya pada Disember apabila Jong-Un berkuasa. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Komen