Ahad, 24 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


44 ahli parlimen Zimbabwe bersunat

Posted:

44 ahli parlimen Zimbabwe bersunat

SEORANG doktor (kiri) bersedia untuk menjalankan prosedur berkhatan ke atas seorang ahli parlimen di dalam sebuah klinik sementara yang didirikan di luar bangunan Parlimen di Harare, Zimbabwe kelmarin.


HARARE - Seramai 44 orang ahli parlimen Zimbabwe mengambil bahagian dalam majlis bersunat secara beramai-ramai semalam sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran HIV/AIDS.

Dalam satu perpaduan politik yang jarang berlaku, ahli parlimen daripada parti ZANU-PF pimpinan Presiden Robert Mugabe dan ahli parti pembangkang MDC berbual-bual ketika mereka beratur di luar sebuah klinik sementara yang didirikan di luar bangunan parlimen.

Pengerusi Ahli Parlimen menentang Aids, Blessing Chebundo memberitahu tindakan itu dibuat bagi menggalakkan rakyat untuk turut bersunat. Chebundo merupakan individu pertama menjalani prosedur yang mengambil masa selama sepuluh minit itu.

Pengarah Unit Aids dan TB, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Kanak-Kanak Zimbawe, Dr. Owen Mugurungi memuji semua ahli parlimen yang terlibat.

Penyelidikan UNAids dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan bersunat boleh mengurangkan risiko penyebaran HIV dan Aids sehingga 60 peratus.

Lebih sejuta penduduk Zimbabwe dikatakan HIV positif dengan sekitar 500,000 orang menerima rawatan anti-retroviral. - Agensi

Assad keluarkan dekri tubuh kerajaan baharu

Posted:

Assad keluarkan dekri tubuh kerajaan baharu


AKSI Assad ketika berucap pada persidangan Parlimen di Damsyik 3 Jun lalu.


DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam mengeluarkan dekri untuk membentuk kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Syria, Dr. Riad Hijab, kurang dua bulan selepas pilihan raya parlimen yang kontroversi diboikot oleh parti pembangkang.

Menteri Luar, Walid al-Muallem serta Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Syria kekal dengan jawatan masing-masing.

Dekri itu turut mewujudkan beberapa kementerian baharu seperti Kementerian Perdagangan Dalaman dan Pelindungan Pengguna, Kementerian Ekonomi Luar serta Kementerian Pembangunan.

Hijab yang sebelum ini merupakan Menteri Pertanian dilantik sebagai Perdana Menteri ketika keganasan terus berleluasa di Syria.

Semalam, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam serangan tentera sementara 119 orang lagi, termasuk 69 orang awam terbunuh pada Jumaat, lapor Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.

Sejak bermulanya kebangkitan rakyat pada Mac 2011, keganasan telah membunuh lebih 15,000 penduduk negara tersebut. - AFP

Jerman bukan tandingan Greece

Posted:

Jerman bukan tandingan Greece

PEMAIN-PEMAIN Jerman meraikan kejayaan mara ke separuh akhir selepas menewaskan Greece 4-2 di Stadium Donbass Arena awal pagi semalam.


GDANSK, Poland - Percaturan jurulatih Jerman, Joachim Löw untuk merombak jentera serangan pasukan itu pada aksi suku akhir menentang Greece awal pagi semalam, membuahkan hasil.

Pada aksi di stadium Donbass Arena itu, anak-anak buah Löw tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 4-2.

Penyerang veteran, Miroslav Klose, 34, membuktikan bahawa dia masih lagi dianggap sebagai pencabar utama kepada Mario Gomez untuk mengemudi jentera serangan pasukan itu.

Pemain sayap, Marco Reus dan André Schürrle turut beraksi cemerlang untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Greece menerusi kelincahan mereka.

Dalam masa yang sama, Reus turut meletakkan namanya sebagai penjaring apabila meledakkan gol keempat Jerman.

"Hari ini (semalam) adalah hari perubahan. Saya telah memikirkan mengenai perkara ini sejak beberapa hari lepas," kata Löw.

"Saya bukan tidak gembira dengan barisan pemain sebelum ini tetapi saya mahu melakukan perubahan.

"Saya mahu menjadikan pasukan ini sebagai sebuah pasukan yang sukar untuk diramal."

Bagaimanapun, Löw tidak berpuas hati selepas strategi untuk melakukan rombakan itu diketahui oleh media Jerman sebelum perlawanan bermula.

Beliau berkata, ada kemungkinan 'rahsia' itu telah dibocorkan oleh ejen-ejen pemain, namun Jerman bernasib baik apabila berita tersebut tidak sampai kepada Greece.

Löw menggunakan khidmat Gomez dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan dan penyerang Bayern Munich itu berjaya menyumbang tiga gol ketika menewaskan Portugal dan Belanda.

Begitupun, Gomez kurang berkesan pada aksi terakhir menentang Denmark, sekali gus memberi laluan kepada Klose untuk diturunkan pada pertemuan menentang Greece. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan