Rabu, 9 Mei 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


2 beradik kembali jadi kanak-kanak

Posted: 08 May 2012 12:05 PM PDT

LONDON: Sejenis penyakit yang menyebabkan usia penghidapnya berundur ke belakang menyebabkan pasangan adik beradik pertengahan umur kembali kepada zaman kanak-kanak mereka.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Britain (RAF), Michael Clark, 42, kehilangan tempat kediaman dan kini berkelakuan seperti budak 10 tahun.

Sementara adiknya, Matthew, 39, hilang pekerjaan di sebuah kilang dan mula berkelakuan seperti kanak-kanak walaupun mempunyai seorang anak perempuan berusia 19 tahun, Lydia, yang kini mengandung.

Keadaan menyedihkan itu mempunyai persamaan dengan filem lakonan Brad Pitt, The Curious Case of Benjamin Button, yang mengisahkan seorang lelaki tua kembali menjadi muda.


Pasangan adik beradik itu kini menghabiskan masa menonton siri The Smurfs, memakan keropok dan bermain permainan ular dan tangga.


Bapa, Anthony, 63, yang menjaga kedua-dua anaknya itu bersama isteri, Christine, 61, berkata: "Mereka berubah dari orang dewasa dengan berpekerjaan dan berumah tangga kepada keadaan kanak-kanak.

"Mathhew keluar beberapa hari lalu dan membeli set permainan kereta api.
Perkara yang menarik minat kanak-kanak menjadi minat mereka."

Bekas pengawal penjara itu yang berasal dari Lincoln juga berkata: "Matthew sering berkelakuan teruk. Dia akan menjerit, 'Saya tidak tahu apa yang saya lakukan.

"Tidak ada apa yang boleh kami lakukan untuk membantu mereka. Kami tidak berupaya."

Kedua-dua beradik itu mula berkelakuan ganjil selepas ibu bapa mereka bersara dan berpindah ke Sepanyol pada 2007.

Keadaan semakin teruk tahun lalu apabila Michael diusir dari rumahnya dan hidup bergelandangan selama tiga minggu.

Pekerja sukarela yang bersimpati membawanya menemui seorang doktor sebelum pakar mengesahkan dia menghidap leukodistrofi.

Ujian lanjut mengesahkan, Matthew yang pernah bekerja dengan syarikat pembuat biskut, Walkers, juga menghidap penyakit itu.

Penyakit neurologikal atau kecelaruan saraf itu adalah perkara biasa di kalangan bayi yang baru lahir tetapi dihidap oleh kira-kira 100 orang dewasa di Britain.

Ia menyerang otak, sistem saraf dan saraf tunjang.

Kedua-dua beradik itu kini semakin hilang kemampuan untuk bercakap dan kini tidak boleh berjalan.

Mereka mudah buat perangai dan merangkak sekeliling rumah ibu bapa mereka yang terpaksa berhenti daripada persaraan untuk menjaga kedua-dua beradik itu.

Dalam filem The Curious Case of Benjamin Button, Brad Pitt memainkan peranan lelaki yang usianya mengundur ke belakang.

Ia bermula dengan seorang pembuat jam yang meratapi kematian anaknya pada 1918 dan memutarkan jam untuk mengundurkan masa. - Mirror




Wanita mati dibaham buaya depan anak

Posted: 08 May 2012 12:03 PM PDT

HARARE: Seorang wanita mati dibaham seekor buaya di depan anaknya yang berusia belasan tahun ketika dia menangkap ikan.

Jestina Mutare, 33, berdiri di dalam sungai berhampiran kediamannya apabila haiwan berkenaan itu menerkam dan mengheretnya ke kawasan air dalam.

Anak lelakinya yang berusia 17 tahun tergamam ketakutan ketika buaya itu menyerang ibunya, menurut laporan akhbar The Herald.

Jurucakap polis, Tineyi Matake mengesahkan, anggota tubuh mangsa ditemui terapung di sungai berkenaan selepas kejadian.


"Jestina sedang menangkap ikan apabila diserang oleh seekor buaya yang kemudian mengheretnya ke kawasan air dalam.


"Mayatnya ditemui di sungai itu oleh penduduk kampung yang berjaya mengusir reptilia berkenaan," kata Matake.

Menurut laporan, anak mangsa berada bersama-samanya di dalam sungai itu.
Mereka menangkap ikan di empangan sepanjang Sungai Nyazvidzi River berhampiran bandar Gutu, selatan Zimbabwe.

Remaja berkenaan yang ketakutan hanya berada beberapa meter saja ketika buaya itu mengheret ibunya ke dalam air.

Dia meluru naik ke tebing dan berlari untuk memberitahu penduduk kampung.
Mereka berjaya mengusir buaya itu tetapi sudah terlambat untuk menyelamatkan Jestina.

Polis memberi amaran kepada penduduk kampung supaya mengelak menangkap ikan di sungai yang penuh dengan buaya. - Agensi




Tiada ulasan:

Catat Komen