Rabu, 9 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


AS sekat serangan bom seluar dalam

Posted: 08 May 2012 04:46 PM PDT

Dunia

GAMBAR muka depan majalah berbahasa Inggeris al Qaeda,   Inspire, keluaran kesembilan   berkempen mengenai siri pengeboman di Amerika.

GAMBAR muka depan majalah berbahasa Inggeris al Qaeda, Inspire, keluaran kesembilan berkempen mengenai siri pengeboman di Amerika.

Bahan letupan plastik gagal letup pesawat Amerika

WASHINGTON: Amerika Syarikat menggagalkan rancangan cawangan al Qaeda di Yaman untuk meletupkan pesawat penumpang Amerika menggunakan 'bom seluar dalam' bentuk baru, beberapa hari selepas ulang tahun pertama kematian Osama Laden, kata pegawai kelmarin.

Pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang memeriksa bahan letupan sama seperti bom yang pernah digunakan dalam rancangan pengeboman Krismas pada 2009, apabila bahan letupan plastik disorok dalam seluar dalam lelaki Nigeria gagal diletupkan dalam penerbangan menuju Detroit. Agensi kerajaan dan Rumah Putih berkata rancangan itu dilakukan al Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) dikesan pada peringkat awal dan ia tidak membahayakan orang ramai.

"Bahan itu digunakan untuk serangan bunuh diri dalam pesawat. Tiada pesawat berdepan risiko," kata pegawai anti pengganas Amerika yang enggan dikenali.

Plot itu disyaki bertujuan menyasarkan penumpang dalam penerbangan ke Amerika Syarikat.

Berita mengenai rancangan terbabit didedahkan hanya beberapa hari selepas ulang tahun serbuan komando Tentera Udara Amerika yang membunuh ketua al Qaeda, Osama bin Laden di tempat persembunyiannya di Pakistan.
"Tahniah CIA kerana menghalang rancangan AQAP memusnahkan pesawat Amerika menggunakan sejenis bom baru dan sukar dikesan meter magnet," kata Ketua Jawatankuasa Perisikan Senat, Senator Dianne Feinstein.

FBI berkata bahan letupan diperbaharui serupa dengan IED yang digunakan al Qaeda di Semenanjung Arab dalam cubaan serangan pengganas termasuk terhadap pesawat dan pembunuhan yang disasarkan sebelum ini.

"Penilaian awal bahan itu menunjukkan ia mempunyai beberapa perbezaan dengan bahan yang digunakan dalam serangan Krismas. Jelasnya, AQAP mengubah teknik bom untuk mengelakkan daripada kegagalan bahan letupan pada 2009," kata pegawai anti pengganas.

Presiden Barack Obama diberi taklimat mengenai plot pada April dan memberitahu timbalannya yang nyawa tidak berada dalam bahaya, kata jurucakap Majlis Keselamatan Nasional, Caitlin Hayden. – AFP


INTERPOL mahu tahan Hashemi

Posted: 08 May 2012 04:46 PM PDT

Dunia

Naib Presiden Iraq dituduh rancang, biaya keganasan dalam negara sendiri

PARIS: Agensi polis global, INTERPOL, semalam diminta menahan Naib Presiden Iraq, Tareq al-Hashemi, yang menjadi pelarian kerana disyaki merancang dan membiaya serangan di negara Teluk itu.

Hashemi, tokoh politik terkemuka Sunnah, meninggalkan Baghdad Disember lalu apabila kerajaan Iraq yang diterajui pemimpin Syiah menuduh beliau adalah ketua kepada skuad pembunuh. Pemimpin itu yang dipercayai berlindung di Istanbul, Turki, menafikan semua dakwaan dan menyifatkannya bermotif politik dan enggan menjalani perbicaraan di Baghdad.

INTERPOL yang beribu pejabat di Lyon, Perancis, mengeluarkan amaran menahan Hashemi menerusi penyiaran 'Notis Merah' atas permintaan Baghdad.

Notis Merah bukan waran tangkap antarabangsa tetapi satu arahan kepada pasukan polis di 190 negara anggota supaya membantu mengesan Hashemi dan membawanya ke muka pengadilan. Tiada reaksi diterima dari Turki yang juga anggota INTERPOL buat masa ini.

"Atas permintaan pihak berkuasa Iraq, INTERPOL mengeluarkan Notis Merah terhadap Hashemi kerana disyaki membiayai serangan pengganas di negaranya.
"Notis Merah INTERPOL akan mengehadkan pergerakan Hashemi dan menyeberang sempadan antarabangsa," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Stesen televisyen NTV di Turki melaporkan, Hashemi dikawal beberapa anggota keselamatan negara itu di sebuah pangsapuri mewah di Istanbul.

Seorang anggota polis bersenjata mesingan mengawal pintu masuk bangunan itu, manakala beberapa kereta polis berada dekat situ.

Minggu lalu, ketika ditemu bual di Istanbul, Hashemi memberitahu, balas dendam politik adalah penyebab beliau dikehendaki untuk dibicarakan yang akan memberi kesan kepada perpaduan di Iraq selain mewujudkan ketegangan antara puak Sunnah dan Syiah di Timur Tengah.

Beliau juga menuduh Perdana Menteri Iraq dari puak Syiah, Nuri al-Maliki, menjadi perancang untuk menghapuskan tentangan seperti yang berlaku di Syria.

Jurucakap Hashemi terus menyatakan bahawa beliau keluar dari Iraq untuk mengadakan pertemuan diplomatik dengan pemimpin serantau dan bukan untuk mengelak ditangkap. – Reuters/AP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan