Isnin, 31 Oktober 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ribut salji luar biasa landa timur AS

Posted: 30 Oct 2011 05:24 PM PDT

Dunia

Dua juta penduduk bergelap selepas bekalan elektrik terputus, penerbangan dibatalkan

BOSTON: Ribut salji yang jarang berlaku pada Oktober melanda bahagian pantai timur Amerika Syarikat menyebabkan bekalan elektrik kepada lebih dua juta penghuni rumah terputus, memaksa penerbangan dibatalkan dan meragut sekurang-kurang tiga nyawa setakat ini.

New York, New Jersey, Connecticut dan Massachusetts mengisytiharkan kecemasan akibat ribut itu. "Kami menjangkakan salji akan terus turun di New York dan Maine. Menjelang pagi esok semua kawasan dilitupi salji," kata pakar kaji cuaca kanan AccuWeather.com, Alan Reppert.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan Connecticut, Scott Devico, berkata keadaan jalan yang licin menyebabkan kemalangan maut yang meragut satu nyawa di Colchester, Connecticut.

Di Temple, Pennsylvania, seorang lelaki 84 tahun terbunuh apabila pokok dipenuhi salji tumbang di atas rumahnya, kata jurucakap Jabatan Polis Pekan Muhlenberg.

Selain itu, seorang pemuda 20 tahun maut terkena renjatan elektrik apabila terpijak landasan kereta api elektrik sebaik keluar dari kenderaannya, kata jurucakap polis Springfield.
Salji turun dari tengah Pennsylvania ke Massachusetts selepas menyelimuti sebahagian Virginia, Virginia Barat dan Maryland awal pagi semalam, kata AccuWeather.com.

Salji tidak pernah berlaku pada Oktober, sementara ribut itu mencatatkan rekod dalam penurunan salji secara keseluruhan.

AccuWeather.com melaporkan ribut salji yang tidak diduga itu memecahkan rekod yang tidak pernah berlaku sejak 1925 untuk Taman Pusat New York.

Bandaraya New York dijangka dilitupi salji dengan ketebalan 7.5 hingga 15 sentimeter sebelum ribut menjadi lemah malam Sabtu, kata Reppert.

Salji turut turun di ibu negara Amerika, Washington.

Bekalan elektrik terputus disebabkan salji, ais dan pokok tumbang dilaporkan dari pertengahan Atlantik ke New England, menyebabkan jutaan penduduk dalam kegelapan.

Penangguhan penerbangan dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia dan lapangan terbang sekitar New York. Sekurang-kurang 1,000 penerbangan dibatalkan dan Lapangan Terbang Teterboro di New Jersey ditutup sementara, kata perkhidmatan pengesanan penerbangan FlightAware.com.

Di Connecticut, Gabenor Dannel Malloy mengarahkan kenderaan bukan untuk tujuan kecemasan tidak menggunakan jalan raya di Wilbur Cross dan Merritt Parkways berikutan keadaan pemanduan yang berbahaya.

"Ini adalah ribut kuat bulan ini. Kita jarang melihat ribut yang kuat seumpama ini," kata ahli kaji cuaca kanan, AccuWeather.com, Paul Walker.

Di Bandaraya New York, salji dan keadaan sejuk menguji penunjuk perasaan yang berkampung di Wall Street membantah mengenai ketidaksamaan ekonomi negara itu.

Bertahan dengan angin kuat, penunjuk perasaan berkelubung dalam khemah dari salji di taman di kawasan kewangan di Manhattan di mana pergerakan itu kali pertama membina khemah mereka enam minggu lalu, mencetuskan penempatan serupa di taman perbandaran di seluruh Amerika. – Reuters

Full content generated by Get Full RSS.

Ganjaran RM3 juta jika berjaya tangkap askar Israel

Posted: 30 Oct 2011 05:21 PM PDT

Dunia

RIYADH: Seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi menaikkan ganjaran sehingga AS$1 juta (RM3 juta) kepada sesiapa yang berjaya menangkap tentera Israel untuk ditukarkan dengan banduan Palestin.

Putera Khaled bin Talal, saudara lelaki kepada hartawan Putera Alwaleed bin Talal, memberitahu stesen televisyen al-Daleel menerusi telefon kelmarin, tawarannya sebagai membalas dendam berikutan ancaman dikeluarkan rejim Zionis itu terhadap Sheik Awadh al-Qarani, ulama terkenal Arab Saudi yang menjanjikan ganjaran AS$100,000 (RM300,000) bagi penangkapan seorang tentera Israel.

"Dr al-Qarani berkata beliau menawarkan AS$100,000 cuma untuk menangkap seorang tentera Israel tetapi rejim Zionis bertindak balas dengan menawarkan AS$1 juta untuk membunuh beliau. "Saya memberitahu Dr al-Qarani saya menyebelahinya dan membayar baki AS$900,000 (RM270,000) untuk menawan tentera Israel supaya banduan Palestin lain dapat dibebaskan," katanya.

Al-Qarani berkata dalam laman Facebooknya minggu ini yang beliau membuat tawaran sebagai reaksi kepada ganjaran hampir sama dibuat sebuah keluarga Israel bagi sesiapa yang dapat menangkap orang yang membunuh seorang anggota keluarga mereka pada tahun 1998, berikutan perjanjian pertukaran banduan awal bulan ini.

Al-Qarani memang terkenal di Arab Saudi kerana kelantangan beliau memberikan pandangan.

Arab Saudi, tempat lahir Islam, melihat dirinya sebagai juara mempertahankan hak penduduk Palestin tetapi pemimpin negara itu berusaha mengekang lebih banyak kenyataan radikal daripada ulama berhubung konflik Israel-Palestin.
Pada 2002, negara itu menawarkan inisiatif damai dengan mengiktiraf penuh Israel jika rejim itu menyerahkan semua tanah yang dirampas ketika perang pada tahun 1967 dan menerima penyelesaian bagi pelarian Palestin.

Tawaran al-Qarani dibuat berikutan pembebasan tentera Israel, Gilad Shalit, yang ditawan Hamas di Gaza lebih lima tahun. Israel terpaksa bersetuju membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran. – Agensi

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen