Jumaat, 9 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ulang tahun serangan 9/11 diancam bom

Posted: 09 Sep 2011 02:56 PM PDT

Dunia

SEORANG anggota keselamatan lengkap bersenjata berkawal di kawasan orang awam di New York. Pasukan keselamatan negara itu dikerah meningkatkan kawalan berikutan ada dakwaan ancaman bom menjelang ulang tahun ke-10 serangan 11 September 2001 esok.

SEORANG anggota keselamatan lengkap bersenjata berkawal di kawasan orang awam di New York. Pasukan keselamatan negara itu dikerah meningkatkan kawalan berikutan ada dakwaan ancaman bom menjelang ulang tahun ke-10 serangan 11 September 2001 esok.

Banjir landa kawasan timur AS, California tiada bekalan elektrik

NEW YORK: Bandar raya ini kelmarin mengerahkan tambahan anggota polis termasuk pegawai lengkap bersenjata selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat memberi amaran ancaman bom menjelang ulang tahun ke-10 serangan 11 September 2001 esok.

"Ada maklumat perisikan mengenai wujudnya ancaman, tetapi tidak dapat disahkan," kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, ketika Rumah Putih mengesahkan Presiden Barack Obama mengarahkan usaha anti-keganasan dipertingkatkan.

"Kami sudah mengambil semua langkah diperlukan bagi mencegah sebarang ancaman yang muncul," kata jabatan itu dalam satu kenyataan. Pegawai persekutuan di Washington, yang enggan dikenali berkata ada ancaman pengganas potensi termasuk kenderaan dipenuhi bom yang disasarkan sama ada di ibu kota itu atau bandar ini.

Beberapa perincian diberi, namun seorang pegawai Amerika memberitahu AFP, sebuah bom kereta "berada dalam senarai teratas apa yang kami akan cari."

"Ada cukup maklumat yang khusus dan sah yang anda perlu memburunya," kata pegawai menambah, "Saya menegaskan perkara ini masih belum disahkan."

Walaupun tiada perubahan segera terhadap paras ancaman rasmi negara, pihak berkuasa bandar raya ini segera mengumumkan langkah kawalan tambahan.
Jabatan polis "mengerahkan sumber tambahan, sesetengah yang anda sedari dan sesetengahnya tidak," kata Datuk Bandar Michael Bloomberg kepada media.

Pesuruhjaya polis bandar Raymond Kelly memberitahu sidang media bahawa langkah itu termasuk polis "terlatih dengan senjata berat diletakkan di luar Manhattan untuk bersedia."

Kelly berkata tambahan masa bekerja dilaksanakan di sekitar bandar raya ini, dengan pemeriksaan ke atas feri, terowong, jambatan dan mercu tanda, kata Kelly.

Sementara itu di WILKES-BAR-RE, hujan tanpa henti akibat sisa Ribut Tropika Lee menyebabkan banjir besar di timur Amerika Syarikat kelmarin, memaksa perpindahan kira-kira 130,000 orang di Pennsylvania, New York dan Maryland.

Pesuruhjaya Luzerne County Stephen Urban berkata kira-kira 65,000 orang dipindahkan dari daerah itu berikutan ancaman paras air sungai Susquehanna yang semakin meningkat.

Sekurang-kurangnya tiga orang maut di Pennsylvania akibat banjir. Hujan lebat berlaku akibat sistem cuaca yang terdahulu menenggelami Pantai Teluk Amerika dan menguji pertahanan banjir di New Orleans.

Di SAN DIEGO, gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran akibat 'kegagalan manusia' menyebabkan hampir lima juta penduduk di beberapa bahagian California, Arizona dan Mexico terpaksa bergelap kelmarin manakala pihak berkuasa berkata daripada mereka mungkin bercuti selama sehari atau lebih.

Gangguan berlaku selepas seorang kakitangan melakukan satu prosedur di sebuah sub stesen di Arizona, menyesakkan lalu lintas di lebuh raya California Selatan, menghentikan bekalan air di beberapa bahagian daerah San Diego dan Tijuana serta menyebabkan penduduk berusia dikejarkan ke bilik kecemasan.

Lapangan Terbang Antarabangsa San Diego membatalkan semua penerbangan keluar, lalu lintas terhenti ketika lampu isyarat bandar tidak bernyala dan kira-kira 70 orang terpaksa diselamatkan oleh jabatan bom kerana lif terhenti. – AFP/Reuters


Ban sokong Palestin merdeka

Posted: 09 Sep 2011 02:54 PM PDT

Dunia

CANBERRA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon mengulangi sokongan beliau kepada penubuhan sebuah negara Palestin merdeka semalam, tetapi menegaskan keanggotaan Palestin adalah satu isu yang perlu diputuskan oleh negara anggota.

Ban yang mengakhiri lawatan ke Australia dan Pasifik Selatan berkata, beliau memberi sokongan penuh kepada penubuhan dua negara di mana rakyat Palestin dan Israel boleh hidup berjiran dalam keadaan aman dan selamat,

"Saya juga menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat. Sudah terlalu lama kita menanti penubuhan negara itu," katanya kepada wartawan di Canberra sebelum meninggalkan Australia. Beliau berkata Presiden Amerika Barack Obama sudah mengemukakan rangka rundingan yang baik antara Israel dan Palestin tetapi semuanya bergantung kepada negara anggota PBB untuk membuat keputusan.

Sementara itu Amerika buat pertama kali berkata ia akan menggunakan kuasa vetonya terhadap cubaan Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB, kenyataan yang menimbulkan kemarahan Palestin yang bertegas ia akan meneruskan rancangannya.

Bekas utusan Amerika George Mitchell berkata Palestin mempunyai peluang tipis untuk diterima sebagai anggota penuh PBB kerana ia perlu diputuskan Majlis Keselamatan di mana Amerika mempunyai kuasa veto.

"Pegawai Amerika juga besar kemungkinan tidak akan berjaya untuk memujuk Palestin dalam usahanya mendapatkan pengiktirafan lebih tinggi di PBB," katanya.
Diplomat berkata mereka tidak pasti apa yang dilakukan Palestin apabila sidang Majlis Keselamatan PBB dibuka 19 September depan.

"Palestin boleh memohon status lebih rendah sebagai 'negara bukan anggota' yang memerlukan majoriti mudah daripada 193 negara anggota," kata seorang daripada mereka.

Amerika dan Israel berulang kali menyatakan penentangan terhadap usaha Palestin di PBB dan menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk menangani masalah itu ialah melalui rundingan.

"Amerika menolak usaha Palestin untuk cuba mewujudkan sebuah negara kerana ia hanya boleh dilakukan melalui rundingan. Jika ada usaha seperti itu di PBB, Amerika akan menggunakan kuasa vetonya," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Victoria Nuland.

Sementara itu jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdainah, mengeluarkan kenyataan yang menyebut:

"Kami akan ke PBB untuk memohon agar Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB bagi melindungi hak rakyat kami dan menubuhkan dua buah negara." – Reuters


Tiada ulasan:

Catat Ulasan