Isnin, 5 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Taufan landa Jepun, selatan AS

Posted: 04 Sep 2011 04:53 PM PDT

Dunia

Sekurang-kurangnya 17 terbunuh, 43 lagi hilang dibadai Talas

TOKYO: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh manakala 43 lagi hilang, selepas Taufan Talas melanda bahagian utara Jepun semalam, membawa bersama hujan lebat dan menyebabkan tanah runtuh, lapor media.

Agensi berita Kyodo melaporkan, pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan berpindah kepada kira-kira 460,000 penduduk di bahagian barat dan tengah negara itu. Rakaman stesen televisyen menunjukkan sebuah jambatan dibawa arus selepas hujan lebat, manakala sebatang sungai melimpahi tebing. Penduduk membawa payung mengharungi air sedalam paras lutut di jalan-jalan di bandar raya terbabit dan kawasan kediaman.

Agensi Meteorologi Jepun, menyatakan pusat taufan bermusim ke 12 itu berpindah secara perlahan ke utara Laut Jepun dan ia kini merentasi pulau selatan Jepun di Shikoku serta sebahagian pulau utara Honshu tengah malam semalam.

Disebabkan taufan terbabit bergerak perlahan, agensi itu memberi amaran bahawa hujan lebat dan angin kencang akan berterusan dan boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya tiga rumah tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di wilayah Wakayama, manakala seorang wanita yang diselamatkan tetapi masih belum dikenali identitinya disahkan meninggal dunia selepas itu.
Polis berkata empat mangsa masih lagi hilang manakala seorang gadis berusia 14 tahun diselamatkan dari runtuhan terbabit.

"Sekurang-kurangnya 10 maut dan 32 yang lain hilang di wilayah yang terjejas," kata pegawai kanan polis.

Seramai tujuh orang dilaporkan hilang di wilayah Nara berhampiran selepas beberapa rumah dihanyutkan sungai, lapor NHK.

Sementara itu di LOUISIANA, Amerika, New Orleans yang musnah dilanda Taufan Katrina enam tahun lalu, berdepan ancaman baru kelmarin dengan kedatangan Ribut Tropika Lee, membawa hujan lebat sekali gus mencabar sistem menghadapi banjir bandar raya itu.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat melaporkan, Taufan Lee diramal membawa hujan hingga 51 sentimeter ke tenggara Louisiana dalam tempoh beberapa hari akan datang, termasuk di New Orleans.

Ombak besar yang dibawa ribut itu boleh menyebabkan banjir di Louisiana, Mississippi dan Alabama sebelum melanda wilayah tenggara minggu depan.

Ribut yang bergerak perlahan itu membingungkan peramal kaji cuaca. Angin Lee semakin lemah malam kelmarin ke utara ke arah pantai Lousiana pada kelajuan tiga kilometer sejam selepas bertiup perlahan selama beberapa jam pada tengah hari.

Lewat kelmarin, pusat Lee terletak di luar pantai Louisiana kira-kira 137 kilometer ke barat barat daya Bandar Raya Morgan, dengan angin maksimum 80 kilometer sejam, kata pusat taufan. Angin dijangka kekal pada kelajuan 119 kilometer sejam ketika ribut itu bersedia melanda persisiran pantai, kemungkinan tengah malam kelmarin.

Sistem tambak New Orleans mengepam kira-kira 20 sentimeter hujan setakat ini, dengan laporan banjir mula dikesan di jalan raya dan rumah.

"Kita masih berdepan risiko. Ribut ini bergerak perlahan tetapi tetap berbahaya," kata Datuk Bandar Mitch Landrieu dalam satu sidang akhbar.

New Orleans berada dalam pemantauan sepanjang malam ini disebabkan potensi menerima hujan lebat, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan kelmarin. Kemungkinan berlaku kerosakan akibat kelajuan angin sehingga 80 kilometer sejam turut menjadi kebimbangan di bandar raya itu ketika Lee semakin dekat, katanya.

Prospek banjir di New Orleans membangkitkan memori Taufan Katrina, yang menenggelamkan 80 peratus daripada bandar raya itu, membunuh 1,500 orang dan menyebabkan kerugian lebih $80 bilion (RM232 bilion) pada tahun 2005.
Sebahagian daripada bandar raya itu terletak di bawah paras laut dan dilindungi oleh sistem tambak dan pagar banjir. – Reuters/AP


Thaksin hadapi dakwaan

Posted: 04 Sep 2011 04:51 PM PDT

Dunia

GAMBAR fail 25 Ogos meunjukkan Thaksin mendaki bukit ketika melawat wilayah Natori di timur laut Jepun yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac.

GAMBAR fail 25 Ogos meunjukkan Thaksin mendaki bukit ketika melawat wilayah Natori di timur laut Jepun yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac.

Bekas PM Thailand dituduh hasut penunjuk perasaan gunakan video

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang pernah melaksanakan undang-undang antikeganasan pertama negara itu dengan kuasa perintah eksekutif pada tahun 2003, kini berdepan dakwaan di bawah undang-undang sama atas kesalahan menghasut tunjuk perasaan menerusi video.

Turut berdepan dakwaan di bawah undang-undang itu ialah pemimpin demonstrasi kumpulan Baju Merah yang menyebabkan 91 orang terbunuh dan lebih 1,800 lagi cedera. Selepas disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera tanpa pertumpahan darah 2006, jutawan telekomunikasi itu melarikan diri ke luar negara untuk mengelakkan hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan ke atasnya selepas didakwa dengan rasuah, salah guna kuasa dan tidak menghormati Raja Bhumibol Adulyadej.

Thaksin kini menetap di Dubai. Adik perempuannya, Yingluck Shinawatra, dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama Thailand yang mengambil alih pucuk kepemimpinan Ogos lalu.

Perbalahan ketara antara penyokong Thaksin, 'Baju Merah' dan penentangnya, 'Baju Kuning', meletakkan Thailand dalam krisis politik. Kumpulan Baju Kuning merampas pejabat Perdana Menteri selama beberapa bulan dan menutup dua lapangan terbang di Bangkok hampir seminggu pada tahun 2008 untuk membantu menumbangkan kerajaan proThaksin.

Seramai 54 orang didakwa dengan keganasan dan berdepan hukuman penjara daripada tiga tahun hingga seumur hidup. Daripada jumlah itu, 36 adalah penyokong Thaksin dan 15 lagi kumpulan Baju Kuning.
Sementara di selatan Thailand, yang menyaksikan lebih 4,700 maut sejak kebangkitan pemisah Islam pada tahun 2004, tiada seorang pun didakwa dengan keganasan yang mendorong aktivis hak kemanusiaan mengisytiharkan undang-undang itu bertujuan menghalang kegiatan politik, bukan mengekang keganasan di selatan negara itu.

Peguam bagi pemimpin demonstrasi proThaksin, Karom Poltaklang, berkata undang-undang itu jelas bermotifkan politik dan menegaskan: "Penunjuk perasaan politik tidak boleh menjadi pengganas."

Thailand menjadi sekutu Washington dalam kempen memerangi keganasan, dan didakwa membenarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan teknik melemaskan ke atas suspek al-Qaeda, Abu Zubaydah, di sebuah penjara rahsia dalam wilayahnya pada tahun 2002. CIA turut menggunakan kaedah penderaan sama ke atas perancang pengeboman USS Cole, Abd Al-Nashiri, sebanyak dua kali di Thailand, menurut bekas pegawai perisik.

Pasukan keselamatan Thailand dan CIA bekerjasama menangkap suspek keganasan, Hambali, pada Ogos 2003 di Ayutthaya, 80 kilometer ke utara Bangkok.

Beliau kini ditahan di pusat tahanan Amerika di Teluk Guantanamo, Cuba.
Hambali, warga Indonesia yang nama sebenarnya, Riduan Isamuddin, didakwa sebagai ketua operasi Jemaah Islamiyah, dituduh melancarkan serangan bom di Bali yang meragut 202 nyawa pada tahun 2002. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan