Jumaat, 3 Mei 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pendakwa utama Pakistan dibunuh

Posted: 03 May 2013 02:15 PM PDT

Chaudhry Zulfikar maut ditembak ketika memandu ke mahkamah

Islamabad: Kumpulan lelaki bersenjata menembak mati pendakwa utama Pakistan Chaudhry Zulfikar yang menyiasat pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto ketika beliau memandu ke mahkamah di ibu kota negara itu semalam.

Zulfikar mengendalikan beberapa kes kontroversi, termasuk pembunuhan Bhutto pada 2007 di mana Musharraf dituduh terbabit. Beliau juga mendakwa militan yang dikaitkan dengan serangan ganas 2008 di Mumbai.
Beliau sedang dalam perjalanan ke mahkamah di Islamabad apabila penyerang melepaskan tembakan ke arahnya dari sebuah teksi" Mohammed Ishaq, Pegawai polis

Kematian beliau menyebabkan pengendalian kes yang turut membabitkan bekas Presiden Pervez Musharraf kucar-kacir.

"Beliau sedang dalam perjalanan ke mahkamah di Islamabad apabila penyerang melepaskan tembakan ke arahnya dari sebuah teksi. Tembakan mengenai kepala, bahu dan dadanya," kata pegawai polis, Mohammed Ishaq.

Wanita turut maut terlanggar

Seorang lagi pegawai polis Mohammed Rafiq berkata tembakan itu menyebabkan Zulfikar tidak dapat mengawal keretanya lalu melanggar seorang wanita dan membunuhnya.
Beliau berkata pengawal Zulfikar, Farman Ali, membalas tembakan dan dipercayai mencederakan sekurang-kurangnya seorang penyerang.

Penyerang melarikan diri selepas membunuh Zulfikar dan usaha memburu besar-besaran dilancarkan untuk mencari mereka.

Motif pembunuhan tidak diketahui, tetapi pembabitan Zulfikar dalam dua kes berprofil tinggi berkemungkinan akan diteliti rapi.

Musharraf dituduh terbabit

Pendakwa kerajaan menuduh Musharraf terbabit dalam pembunuhan Bhutto dan tidak memberikan perlindungan mencukupi kepada Perdana Menteri wanita pertama Pakistan itu. Musharraf, yang berkuasa ketika kejadian itu, menafikan dakwaan itu. Ketika serangan, beliau menyalahkan pembunuhan itu ke atas Taliban Pakistan.

Kes Bhutto berlanjutan selama bertahun-tahun dalam sistem mahkamah Pakistan. Sebilangan yang didakwa penyerang dibicarakan tetapi tiada siapa disabitkan. Kes berkenaan menjadi tajuk utama apabila Musharraf kembali Mac lalu selepas empat tahun hidup dalam buangan.

Zulfikar juga adalah pendakwa utama dalam kes mengaitkan serangan pengganas 2008 di Mumbai yang mengorbankan 166 orang. Serangan dipersalahkan ke atas kumpulan berpangkalan di Pakistan, Lashkar-e-Taiba.

Pakistan membicarakan tujuh orang atas dakwaan membantu serangan di Mumbai tetapi tidak banyak kemajuan. India mengkritik Pakistan kerana tidak melakukan banyak usaha menghapuskan militan yang dipersalahkan di atas serangan itu.

Ketua kumpulan Hafis masih bebas

Ketua kumpulan itu, Hafiz Saeed, masih bebas dan ramai percaya beliau dilindungi kerajaan. Lashkar-e-Taiba diasaskan beberapa tahun lalu dengan bantuan perisikan Pakistan untuk menekan India berhubung wilayah Kashmir yang menjadi rebutan.

Musharraf kembali ke Pakistan untuk melakukan kemunculan semula di sebalik ancaman maut Taliban dan kes undang-undang terhadapnya. Namun malang terus menghantui sejak beliau tiba di negara itu. - AP

Lombong emas Darfur runtuh

Posted: 03 May 2013 02:05 PM PDT

Khartoum: Media Sudan memetik seorang pegawai di Darfur Utara sebagai berkata bahawa sebuah lombong emas runtuh di wilayah itu dengan 60 pelombong dikhuatiri terperangkap.

Cubaan untuk menghubungi pegawai terbabit kelmarin bagi mengesahkan kejadian di kawasan terpencil di Saraf Umra gagal.

Kawasan itu, selatan ibu kota wilayah Darfur Utara, menyaksikan keganasan puak awal tahun ini berhubung hak melombong. AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan