Khamis, 28 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Sayedee dihukum mati

Posted: 28 Feb 2013 11:38 AM PST

Pemimpin Jamaat-e-Islami didapati bersalah lakukan jenayah perang

Dhaka: Tribunal jenayah khas perang Bangladesh semalam menjatuhkan mati ke atas pemimpin Jamaat-e-Islami, Delwar Hossain Sayedee 73, yang didapati bersalah melakukan jenayah ketika peperangan menuntut kemerdekaan dari Pakistan pada 1971.

Hakim Fazle Kabir berkata, Sayedee didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai, rogol, membakar, mencuri dan memaksa penduduk minoriti Hindu memeluk Islam.
Penyokong Sayedee bertempur dengan polis di daerah Sirajganj membantah keputusan, menyebabkan 15 maut," Laporan Ekattar TV

Penyokong bantah

Hukuman ke atas Sayeede, mencetuskan tunjuk perasaan penyokongnya di seluruh negara, menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang termasuk tiga anggota polis terbunuh, manakala 300 lagi cedera. Jamaat-e-Islami mengutuk perbicaraan itu dan menuntut Sayedee dibebaskan.

"Penyokong Sayedee bertempur dengan polis di daerah Sirajganj ketika membantah keputusan, menyebabkan 15 maut," kata saluran televisyen swasta, Ekattar TV.

Peguam bela Sayedee, Abdur Razzak memulaukan tribunal ketika keputusan dibacakan dan menyifatkan ia bermotif politik, tetapi berkata pihaknya akan membuat rayuan.
Sayedee adalah defendan ketiga disabitkan dengan jenayah kemanusiaan sejak kerajaan Perdana Menteri Sheikh Hasina mewujudkan tribunal itu pada 2010.

Dalam keputusan pertama Januari lalu, tribunal menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas pemimpin Jamaat, Abul Kalam Azad atas tuduhan sama.

Seorang lagi pemimpin Jamaat, Abdul Quader Mollah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bulan ini kerana melakukan kekejaman ketika perang.

Seramai tujuh orang pemimpin kanan Jamaat sedang menunggu perbicaraan atas dakwaan melakukan kekejaman ketika perang.

Jamaat-e-Islami, parti Islam terbesar di Bangladesh berkempen menentang perang kemerdekaan 1971, namun menafikan melakukan kekejaman.

Jamaat, sekutu utama pembangkang terbesar negara, Parti Nasionalis Bangladesh diketuai bekas perdana menteri, Khaleda Zia, adalah rakan kongsi kerajaannya dari 2001 hingga 2006.

Tribunal dipersoal

Parti Zia mempersoalkan perjalanan tribunal dan menegaskan perbicaraan itu mempunyai matlamat memusnahkan pembangkang.

Organisasi hak asasi manusia antarabangsa juga mempersoalkan keadilan perbicaraan, merujuk kehilangan saksi untuk Sayedee.

Bangladesh berkata, perang 1971 menyebabkan tiga juta rakyat maut, 200,000 wanita dirogol dan memaksa jutaan penduduk berlindung di negara jiran, India. - AP

Karzai beri masa 3 bulan

Posted: 28 Feb 2013 11:36 AM PST

Kabul: Presiden Hamid Karzai semalam memberi tempoh tiga bulan kepada tentera asing, yang diketuai Amerika Syarikat untuk memindahkan kawalan militia bersenjata kepada kerajaannya, selepas dakwaan penderaan oleh anggota militia.

Tindakan itu jelas tanda keyakinan Kabul untuk mengambil alih kawalan perang 11 tahun ke atas Taliban, terutama militia yang dilaporkan dilatih Amerika dan beroperasi tanpa kawalan Kabul. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Komen